UMPSA perkukuh jalinan alumni beri inspirasi buat mahasiswa melalui perkongsian pengalaman industri
PEKAN, 10 Oktober 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh hubungan antara alumni dengan universiti menerusi penganjuran Program Alumni Back to Campus (ABC) 2026 yang menghimpunkan alumni daripada pelbagai bidang profesional untuk berkongsi pengalaman, kepakaran dan inspirasi bersama mahasiswa, khususnya pelajar tahun akhir.
Program yang berlangsung di Dewan Cendekia Siswa, UMPSA Pekan itu turut menyertai program secara hibrid dalam Majlis Peluncuran Program Alumni Back to Campus Peringkat Kebangsaan 2026 yang disiarkan secara langsung dari Universiti Malaya (UM), bertemakan ‘Menggapai ke Langit, Mengakar ke Bumi.
Malah, ia turut dilaksanakan secara serentak di 20 universiti awam (UA) seluruh negara, dengan majlis peluncuran peringkat kebangsaan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, di Universiti Malaya (UM) secara hibrid.
Program peringkat kebangsaan itu turut dianjurkan bersama oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Majlis Alumni Universiti Awam Malaysia (MALUMNI) bagi menghimpunkan alumni universiti awam (UA) dari seluruh negara, selain mengukuhkan peranan alumni sebagai rakan strategik dalam pembangunan institusi dan generasi mahasiswa.

Hadir sama Pengerusi MALUMNI, Profesor Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif.
Majlis tersebut turut disertai Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias yang berkesempatan menyantuni alumni serta berinteraksi secara dalam talian bersama Menteri Pendidikan Tinggi.
Turut hadir, Penolong Timbalan Naib Canselor (Pembangunan Pelajar), Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Razali Daud dan Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMPSA, Ts. Dr. Azizul Helmi Sofian.
Seramai 500 peserta yang terdiri daripada alumni pelbagai bidang kepakaran dan latar belakang profesional serta mahasiswa tahun akhir telah memeriahkan program tersebut.
Ujar Profesor Ts. Dr. Yatimah, sesi perkongsian alumni bersama pelajar yang menampilkan alumni UMPSA daripada pelbagai fakulti dan latar belakang kerjaya memberi peluang buat alumni terus berbakti dan menyumbang kepada universiti.
“Kehadiran alumni daripada pelbagai sektor ini memberikan peluang kepada mahasiswa untuk memahami realiti pekerjaan, mengenal pasti kompetensi yang diperlukan oleh majikan serta mendapatkan pandangan berharga berkaitan perkembangan kerjaya selepas tamat pengajian,” katanya.

Malahan hubungan alumni dan universiti bukan sekadar terjalin ketika tempoh pengajian, malah berpotensi berkembang menjadi kerjasama jangka panjang yang memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak.
Penglibatan alumni dalam program seperti ini turut membuka ruang kepada mahasiswa untuk membina rangkaian profesional serta memperoleh inspirasi daripada perjalanan kerjaya graduan terdahulu.
Penganjuran Program Alumni Back to Campus 2026 mencerminkan kepentingan jaringan alumni sebagai penghubung antara institusi pendidikan tinggi dengan industri.
Sesi pertama menampilkan alumni Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Mohamad Abdul Fattah Ahmad, yang berkhidmat sebagai Senior Shift Superintendent di Kaneka Malaysia Sdn. Bhd.
Beliau berkongsi pengalaman profesional dalam industri dan memberikan gambaran kepada mahasiswa tentang cabaran dan keperluan dunia pekerjaan.
Seterusnya, sesi perkongsian kedua menampilkan alumni Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Rabiyatul Salwa Tarmizi, yang merupakan Assistant Manager, Supplier Management di Mercedes-Benz Malaysia Sdn. Bhd.
Perkongsian beliau memberi pendedahan mengenai pengurusan pembekal dan kepentingan kemahiran profesional dalam sektor industri automotif.
Program turut menampilkan alumni Fakulti Komputeran (FK), Mohammad Syarifuddin Mohammad Yusof yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Data Brain Sdn. Bhd., yang berkongsi pengalaman dalam bidang teknologi dan keusahawanan.
Turut serta perkongsian alumni Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Mohamad Nazlemin Mat Hassan, yang bertugas sebagai HSE Manager bagi ECRL – Section 2 di China Communications Construction (ECRL) Sdn. Bhd.
Perkongsian beliau memberi pendedahan tentang aspek keselamatan, kesihatan dan alam sekitar dalam pelaksanaan projek infrastruktur berskala besar.
Salah satu pengisian utama program ialah forum alumni bertajuk ‘Alumni dan Alma Mater: Membina Legasi, Menyemai Budaya Memberi’ yang berlangsung di Dewan Cendekia Siswa.

Forum ini dikendalikan oleh Muhammad Nur Aqmal Nazri, alumni universiti, dengan menampilkan dua orang panel jemputan, iaitu Pensyarah Kanan, Jabatan Pengurusan Sumber Manusia, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Luqman Mahmud dan usahawan daripada SKYBO Resources Sdn. Bhd., Datin Rohaizan Zanudin.
Menurut Dr. Luqman dan Datin Rohaizan, peluang yang diberikan amat bermakna buat mereka dan menyeru alumni yang lain dan bakal alumni untuk menyimpan niat untuk menyumbang kembali kepada universiti.”
Perbincangan mengetengahkan kepentingan hubungan berterusan antara alumni dengan alma mater serta peranan alumni dalam menyumbang kembali kepada universiti melalui perkongsian ilmu, kepakaran, bimbingan kerjaya, jaringan profesional dan pelbagai bentuk sokongan.
Budaya memberi kembali atau giving back bukan sahaja memperkukuh hubungan alumni dengan universiti, malah membuka peluang kepada kerjasama strategik yang dapat memberikan manfaat kepada mahasiswa dan pembangunan institusi.
Program ini juga bertepatan dengan aspirasi untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja memiliki pengetahuan akademik dan kemahiran teknikal, malah mempunyai daya saing, kepimpinan, nilai profesional serta kesediaan menghadapi perubahan landskap pekerjaan.
Melalui penglibatan aktif alumni, UMPSA juga berpeluang memperluas jaringan kerjasama industri, memperkukuh ekosistem pembangunan bakat dan menyemai semangat untuk terus menyumbang kepada universiti serta masyarakat.
Satu lagi detik bermakna dalam program ini ialah peluncuran buku baharu hasil penulisan Dr. Luqman Mahmud, alumni UMPSA, yang diterbitkan oleh Penerbit UMPSA dan diperkenalkan kepada Naib Canselor UMPSA.

Inisiatif ini memperlihatkan bahawa sumbangan alumni kepada universiti bukan sahaja terhad kepada bidang profesional dan industri, malah turut merangkumi pembangunan ilmu, penulisan dan penerbitan yang dapat dimanfaatkan oleh warga akademik serta masyarakat.
Penghasilan karya ilmiah oleh alumni juga menjadi bukti bahawa hubungan dengan alma mater boleh diteruskan melalui perkongsian kepakaran dan sumbangan intelektual yang memberi nilai tambah kepada komuniti universiti.
Program turut diserikan dengan aktiviti Fun Run secara maya (Virtual Run) sebagai usaha menggalakkan penyertaan dan kebersamaan komuniti alumni serta warga universiti.
Pelaksanaan aktiviti tersebut melengkapkan pengisian program yang menggabungkan elemen kesihatan, jaringan sosial, perkongsian kerjaya dan pembangunan hubungan alumni dalam satu platform yang menyeluruh.
Program turut diserikan dengan aktiviti Fun Run secara maya (Virtual Run) sebagai usaha menggalakkan penyertaan dan kebersamaan komuniti alumni serta warga universiti.
Pelaksanaan aktiviti tersebut melengkapkan pengisian program yang menggabungkan elemen kesihatan, jaringan sosial, perkongsian kerjaya dan pembangunan hubungan alumni dalam satu platform yang menyeluruh.
Sebagai pengisian pendahuluan, ‘Online Forum Alumni Back to Campus 2026’ turut berlangsung pada 7 Oktober 2026 menerusi platform Microsoft Teams dengan tema ‘From Campus to Global Career: Alumni Journeys Beyond Borders’.
Forum anjuran Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) itu menampilkan tiga alumni UMPSA yang kini membina kerjaya di peringkat antarabangsa, iaitu Process Safety Engineer di SLB, Dubai, UAE, Muhd Bashori Abu Bakar; Lead Piping Engineer di COOEC, Tianjin, China, Mohd Khairul Afizan Harun; serta Engineer, Machinery Operations di Seatrium SG, Singapore, Pavithran Ravinchandran.
Perkongsian tersebut memberikan pendedahan kepada mahasiswa mengenai peluang kerjaya di peringkat antarabangsa, pengalaman menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja global serta kepentingan mempersiapkan diri dengan kemahiran dan kompetensi yang diperlukan oleh industri.
Melalui semangat ‘Menggapai ke Langit, Mengakar ke Bumi’, program ini diharap terus menjadi platform bermakna untuk menyatukan alumni, memperkasa mahasiswa dan mengukuhkan legasi universiti demi manfaat generasi akan datang.
Oleh: Wallid Wahidi Hamzah, Pusat Komunikasi Korporat, Nur Azian Rapah dan Ts. Dr. Azizul Helmi Sofian, Pusat Perhubungan Alumni
Foto: Zaffaruddin Hamzah, Pejabat Naib Canselor
- 34 views
Reports by: