Skip to main content

UMPSA terima 8 pelajar baharu dari Kolej Vokasional Kudat, Sabah

PEKAN, 8 Oktober 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh peranan sebagai institusi pilihan bagi graduan pendidikan teknikal apabila menerima seramai lapan orang pelajar baharu dari Kolej Vokasional (KV) Kudat, Sabah bagi mengikuti program Ijazah Sarjana Muda bagi sesi kemasukan Oktober 2025.

Kehadiran enam orang pelajar lelaki dan dua orang pelajar perempuan itu diiringi oleh guru pengiring, Ts. Haji Mohd Fadzli Morad, sebagai tanda sokongan pihak KV Kudat terhadap kesinambungan laluan akademik pelajar ke peringkat universiti.

Menurut pelajar baharu Chris De Enrique Jasneh, beliau dan rakan-rakan sangat teruja untuk menyambung pengajian di UMPSA dan berharap dapat menyesuaikan diri dengan segera.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada UMPSA atas sambutan mesra di KLIA dan segala bentuk bantuan yang telah dihulurkan,” katanya.

Sementara itu Mike Rinie Julius pula berkata, tawaran menyambung pengajian daripada UMPSA merupakan peluang keemasan yang memang dinantikan, tambahan pula UMPSA mempunyai reputasi baik dalam bidang Tekologi dan Kejuruteraan.

UMPSA terima 8 pelajar baharu dari Kolej Vokasional Kudat, Sabah

Manakala menurut Guru Pengiring, Ts. Haji Mohd Fadzli, pihak KV amat menghargai usaha dan bantuan yang dihulurkan bagi memudahkan pendaftaran pelajar tersebut yang mana seorang mendaftar di Kampus Gambang dan tujuh pelajar lagi mendaftar di Pekan.

Menurut  Pengarah Pusat Pemasaran dan  Kemasukan Akademik (PPKA), Zainal Bahari pula, kemasukan pelajar dari KV Kudat ini merupakan kesinambungan daripada pengambilan tahun lalu yang melibatkan lima orang pelajar.

 
Peningkatan jumlah pelajar ini menunjukkan hubungan strategik dan kerjasama berterusan antara UMPSA dan Majlis Pegawai Kaunseling Kolej Vokasional/Sekolah Menengah Teknik (MAPEKA) dalam memperkukuh laluan akademik pelajar vokasional ke universiti.

Rombongan pelajar berkenaan disambut oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum dibawa ke Kampus Gambang dan diraikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed. 

Kehadiran pelajar baharu dari Sabah ini bukan sahaja mencerminkan kepercayaan institusi pendidikan vokasional terhadap UMPSA sebagai destinasi pendidikan tinggi teknikal, malah memperkukuh jaringan kolaborasi akademik antara kedua-dua institusi.

Disediakan Oleh: Anuar Abdul Aziz, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri