Skip to main content

Warna-warni EKSA Pusat Bahasa Moden UMPSA

PEKAN, 20 Disember 2024 – Kempen Kesedaran Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA), Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah melabuhkan tirainya pada tahun ini yang bermula pada bulan Julai 2024 yang lalu. 

Kempen ini berjaya dilaksanakan dalam kalangan semua warga PBM dengan melibatkan lima pilihan warna dengan tema tertentu seperti berikut biru untuk penjimatan air, merah untuk penjimatan elektrik, hijau untuk ‘go green’, ungu bagi budaya kerja berpasukan dan coklat untuk budaya kerja cemerlang melalui EKSA.

Menerusi kempen ini, satu hari pada setiap bulan akan dipilih sebagai hari kempen kesedaran EKSA dan semua warga PBM akan mengenakan pakaian mengikut warna pilihan bulan tersebut. 

Penganjuran kempen kesedaran ini merupakan usaha berterusan untuk memastikan aktiviti EKSA di PBM sentiasa konsisten dan melibatkan semua warga PBM secara menyeluruh. 

Walaupun kempen ini hanya melibatkan aktiviti mengenakan pakaian mengikut warna yang ditetapkan pada hari yang tertentu, namum kempen ini tetap membantu menjadikan amalan EKSA sebagai sebahagian daripada rutin setiap warga PBM. 

Kempen ini juga berjaya menyemarakkan semangat kerjasama dan kesedaran terhadap kepentingan persekitaran yang bersih, teratur, dan kondusif di tempat kerja.

Menurut Penyelaras Unit Eksekutif EKSA PBM, Hanisah Bon (Kasbon), beliau sangat terharu dengan penyertaan yang begitu menggalakkan daripada seluruh warga staf PBM terhadap kempen kesedaran berwarna EKSA ini. 
“Setiap kali kempen berlangsung, saya merasa teruja untuk melihat semangat dan komitmen rakan-rakan yang mengenakan pakaian dengan warna yang sama sebagai tanda sokongan terhadap aktiviti EKSA di PBM.

“Lebih membanggakan lagi, staf PBM tidak hanya sekadar berpakaian dengan warna yang seragam, malah mereka juga tidak ketinggalan untuk menghantar gambar dan video-video kreatif mereka. 

“Ini bukan sahaja menunjukkan semangat kerjasama dan kesungguhan, tetapi juga sebagai cara mereka untuk turut serta dalam memeriahkan dan menyemarakkan kempen EKSA di PBM,” ujarnya. 

Tambah beliau lagi, di samping itu juga, aktiviti ini membuktikan bahawa melalui tindakan kolektif yang sederhana dapat membawa perubahan yang bermakna. tambah beliau

“Selain itu, warna juga sebenarnya merupakan elemen psikologi yang memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran dan penglibatan. 

“Warna-warna tertentu dapat mempengaruhi mood dan emosi, sekaligus merangsang rasa tanggungjawab dan komitmen dalam kalangan staf.

“Dengan mengenakan pakaian yang seragam mengikut tema warna, setiap individu secara tidak langsung dipengaruhi untuk lebih peka terhadap amalan EKSA, menjadikan ia bukan hanya satu kempen, tetapi satu budaya yang diterapkan dalam kehidupan kerja seharian,” katanya. 

Hal ini katanya adalah selaras dengan matlamat membentuk Amalan EKSA sebagai budaya. 

Warna-warni EKSA Pusat Bahasa Moden UMPSA

Semoga amalan EKSA akan terus diterapkan dalam kalangan semua warga staf untuk mewujudkan persekitaran kerja yang bersih, teratur, dan kondusif di sektor awam bagi meningkatkan prestasi organisasi dan kualiti perkhidmatan yang diberikan.

Disediakan Oleh: Jamilah Bebe Mohamad, Pusat Bahasa Moden (PBM)
 

Reports by:
Admin UMP News