28 sukarelawan sumbang khidmat bakti di Kembara Eksplorasi ASEAN Yayasan UMP@Vietnam
HO CHI MINH CITY, 17 November 2023- Yayasan Universiti Malaysia Pahang (UMP) bersama beberapa rakan strategik telah mengadakan Kembara Eksplorasi ASEAN Yayasan UMP di Vietnam.
Menurut Pengurus Projek yang juga pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM) UMPSA, Muhammad Zubair Faiz Zulkefly, program ini memberikan impak positif yang signifikan dengan mencipta platform yang menyeluruh untuk pertukaran pengetahuan, budaya, dan kebajikan.
“Program selama enam hari itu melibatkan aspek pendidikan, kesihatan, kerohanian, teknologi, dan kebajikan mencerminkan usaha bersama pelbagai lapisan masyarakat di Vietnam.
“Melalui aspek pendidikan, kerohanian dan kebajikan, peserta dan komuniti setempat mendapat manfaat yang berkekalan.
“Sumbangan sosial seperti kenduri rakyat, agihan bakul makanan dan aktiviti kebersihan diri untuk kanak-kanak turut memberikan rasa kepedulian masyarakat tempatan,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, pembentangan program di Pejabat Konsul Pendidikan dan kunjungan hormat ke University of Management and Technology Ho Chi Minh City di Vietnam secara tidak langsung memperkukuhkan ikatan diplomatik dan budaya di antara Malaysia dengan Vietnam.
“Program ini tidak hanya meninggalkan kesan positif dalam pendidikan dan kebajikan, tetapi juga merapatkan hubungan di antara peserta dengan masyarakat yang terlibat." katanya.
Selain itu, para sukarelawan turut berkunjung ke Mahaad Darulssalam Al-Liltadrib Alislami.
Warga Mahaad telah didedahkan dengan pelbagai aktiviti seperti English is Fun, Kursus Asas Canva, Smart Solat, Asas Pengurusan Jenazah, Street Science, Projek STEM, Tahsin Al-Fatihah, dan program kebersihan diri untuk kanak-kanak serta penjagaan wanita.
Mereka juga diberi pendedahan kepada Kursus Asas Hidroponik.
Para sukarelawan juga menziarahi Kampung Nourul Islam memberikan sumbangan 50 set bakul makanan dan 50 set al-Quran, 100 set sejadah, 100 set kit penjagaan gigi, dan 160 set tuala wanita kepada keluarga di sana.
Turut diadakan penyembelihan lembu yang kemudiannya dimasak dan diagihkan kepada warga Mahaad dan penduduk kampung.
Dengan tambahan elemen rewang dan makan bersama, program ini tidak hanya meningkatkan ilmu pengetahuan dan kebajikan, tetapi juga membentuk ikatan sosial dan kebersamaan yang erat di antara peserta dengan komuniti setempat.
Ia telah membentuk satu pengalaman kebersamaan dalam kalangan peserta dan komuniti setempat.
Sebelum mengakhiri program, sukarelawan turut mengadakan pembentangan di Pejabat Education Malaysia Ho Chi Minh City dengan Pengarah Education Malaysia Ho Chi Minh City, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) selaku Pegawai Konsul Pendidik Malaysia, Dr. Azriey Mazlan bagi menunjukkan kesungguhan dan pencapaian program ini.
Program kembara ini telah disertai 28 orang sukarelawan UMPSA termasuklah alumni, Politeknik Kuala Terengganu, Muslim Care Global (MCG) dan RDC Berhad.
Ia juga adalah hasil kerjasama strategik dengan MCG, RDC Berhad, dan Politeknik Kuala Terengganu, Rainbow Girl, Ascenity Solution, Pretech Global, Anees Pharmacy, Klinik Pergigian Premium, Seremban Sublimation, Al-Amin Jihas Venture, dan Nasyrul Qurab.
Disediakan oleh: Noor Izzah Atikah Mohd Ghazali, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA)
- 145 views