IPS serah sumbangan raya untuk warga emas dan anak yatim
Kuantan, 4 Jun- Peluang bertemu dan menziarahi warga emas di Rumah Kebajikan Orang-orang Tua Seri Permai Taman Tas Kuantan dan iftar bersama penghuni Rumah Anak Yatim dan Miskin Nur Iman menjadi kenangan buat pelajar pascasiswazah dalam dan luar negara sempena penganjuran program Ziarah dan Iftar oleh Persatuan Pascasiswazah UMP (PGA) dan Institut Pengajian Siswazah (IPS) baru-baru ini.
Menurut Dekan IPS, Profesor Dato’ Dr. Hasnah Haron, program ini diadakan dengan tujuan dapat mendidik hati dalam kalangan staf dalam aspek mensyukuri nikmat kasih sayang dan kekeluargaan yang dikurniakan Allah SWT dan juga dapat berkongsi rezeki bersama insan yang memerlukan.
“Dengan program ini juga dapat mengeratkan silaturrahim antara staf, pelajar dan komuniti luar. Program ini juga merupakan program ‘Corporate Social Responsibility’ (CSR) yang julung kalinya dianjurkan oleh pihak IPS sendiri. Sumbangan yang disampaikan berbentuk duit raya, kain pelikat, sejadah, biskut, sabun basuh, hamper dan beberapa keperluan harian lain hasil sumbangan dan komitmen pihak kami,” katanya.
Selain itu, ianya juga dapat merealisasikan agenda kesukarelawan dalam menjadikan universiti ini sebagai universiti komuniti dan mendokong aspirasi universiti dalam menjayakan inisiatif Universiti Malaysia Pahang (UMP) dalam menjayakan program MyGift UMP.
Program menyaksikan penglibatan seramai 17 orang staf IPS dan 20 orang pelajar pascasiswazah UMP hadir menyampaikan sumbangan meringankan beban kepada 18 orang warga-warga tua di sini dalam melaksanakan ibadah puasa dan menyambut keriangan Aidilfitri kelak.
Bagi Pengurus Rumah Kebajikan, Mohd Fauzi Ramli, berkata, beliau dan warga tua di sini berbesar hati menerima kunjugan warga UMP dan pelajar pascasiswazah yang sudi menghulurkan sumbangan bersempena Ramadhan Al-Mubarak ini.
Beliau juga berterima kasih kepada warga UMP yang tidak pernah jemu menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada rumah kebajikan ini bukan sahaja pada bulan Ramadhan, bahkan pada hari dan masa yang lain. Katanya, segala bantuan dan sumbangan yang disalurkan oleh warga UMP amatlah mereka hargai untuk dimanfaatkan penghuni di sini.
Hadir sama dalam program, Timbalan Dekan IPS, Profesor Datin Dr. Mimi Sakinah Abd Munaim dan Timbalan Pengerusi 1 PGA, Amri Muaz Amrimuraz yang mewakili pelajar pascasiswazah dalam menyampaikan sumbangan pakaian, beras, minyak masak, Milo, biskut, barangan keperluan diri, sejadah, kain pelikat dan sumbangan duit raya dalam keriangan menyambut Aidilfitri kelak.
Bersempena program ini mereka juga singgah berbuka puasa bersama anak-anak di Rumah Anak Yatim dan Miskin Nur Iman. Turut disampaikan beberapa sumbangan seperti beras, minyak masak, duit raya, barangan alat tulis, dan keperluan harian yang lain yang diterima Pengetua Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Nur Iman, Ustaz Badrul Huzaini Mohd Yusof.
Disediakan oleh Ahmad Zarif Ahmad Fauzi dari Institut Pengajian Siswazah
- 135 views