Skip to main content

Pelajar SKIS teruja terima sumbangan Yayasan UMP

Pekan 26 Ogos 2020 - Perasaan gembira dan teruja jelas terpancar buat 26 murid sekolah kelainan upaya (OKU) yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Indera Shahbandar (SKIS), Pekan apabila menerima sumbangan keperluan harian daripada Yayasan UMP. 
Program UMP Prihatin di sekolah ini adalah hasil kerjasama dengan Pejabat Naib Canselor sebagai salah satu aktiviti bersempena Bulan Kemerdekaan. 

Serahan sumbangan keperluan disampaikan oleh Timbalan Pendaftar, Pejabat Naib Canselor, Zainuddin Mat Husin. 

Turut hadir, Guru Besar SKIS, Mohammad Ismail dan Ketua Eksekutif Yayasan UMP, Mohd Jamil Mohd Jaafar.

Menurut Zainuddin, program ini merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi dana Yayasan UMP kepada golongan yang memerlukan.  

“Yayasan UMP yang dahulunya dikenali sebagai MyGift UMP berperanan untuk membantu pelajar dan masyarakat yang memerlukan.

“Yayasan UMP sentiasa agresif mencari dana bagi membantu lebih ramai mahasiswa dan masyarakat yang memerlukan. 

“Sehingga kini, dana ini diperoleh dari sumbangan staf UMP, syarikat korporat, rakan kerjasama dan orang ramai,” katanya.

Beliau amat berharap agar sumbangan ini mampu meniup semangat anak-anak ini untuk terus menimba ilmu dan memupuk semangat cintakan negara. 

Bagi Mohammad Ismail pula, beliau tidak menyangka kunjungan UMP kali ini merupakan rezeki kepada anak-anak istimewa melalui sumbangan Yayasan UMP. 

“Pihak kami  menghargai sumbangan UMP yang sinonim mengadakan pelbagai program dengan pihak SKIS.

“Sekiranya akan datang ingin menghulurkan apa juga jenis bantuan, kami amat mengalu-alukan dengan rasa kesyukuran untuk anak-anak SKIS,” katanya. 

Manakala penerima sumbangan, Muhammad Amirul Fikri Mohamad Fazir yang mengidap penyakit Achondroplasia sejak kecil berasa teruja menerima sumbangan dan mengucapkan terima kasih kepada penyumbang dan pihak UMP.

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohd Idris, Unit Perhubungan Awam, Pejabat Naib Canselor (PNC).

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris