Program Infaq Ramadan #BPACare Hulur Sumbangan Ceriakan Murid Sekolah
Pekan, 24 Mei - Dalam menyemarakkan bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, Bahagian Pemasaran & Pengambilan Pelajar (BPPP) Universiti Malaysia Pahang (UMP) meraikan seramai 44 murid sekolah kurang berkemampuan dan anak yatim yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Serandu Pekan bersempena Majlis Infaq Ramadan & Khatam Al-Quran anjuran sekolah berkenaan.
Dalam majlis ini Pengurus Besar Jabatan Pendaftar, Abd. Hamid Majid dan Pengurus Bahagian Pengurusan Akademik (BPA), Zainuddin Mat Husin hadir menyerahkan sumbangan berupa barangan keperluan harian dan persiapan menjelang hari raya serta duit raya duit raya setiap mereka.
Menurut Zainuddin, Program Infaq Ramadan #BPACare merupakan program tahunan sejak tahun 2017 yang diadakan bagi mendekati golongan yang kurang berkemampuan dan menceriakan kehidupan mereka terutamanya pada bulan Ramadan yang mulia ini.
“Program ini diharapkan dapat mengeratkan lagi hubungan baik dan sinergi UMP dengan pihak luar dalam konteks pelaksanaan inisiatif berkaitan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi manfaat masyarakat setempat khususnya di Kuala Pahang,” katanya.
Beliau juga merakamkan penghargaan terima kasih buat warga UMP dan orang ramai yang menyumbang dalam menjayakan program ini. Begitu juga dengan komitmen staf UMP dan pihak sekolah dalam memastikan program berjalan lancar.
Sementara itu, Guru Besar SK Serandu, Salmiah Abdul Jalil berkata, keterlibatan UMP dalam membantu sekolah ini adalah sesuatu yang diharapkan. Kemudahan fasiliti yang ada di sekolah ini amat kurang bagi menampung bilangan murid yang ada termasuk pengurusan murid istimewa. Pihak sekolah juga mengharapkan agar jalinan kerjasama ini dapat diteruskan lagi dengan projek-projek CSR yang lain pada masa akan datang. Hadir sama dalam majlis adalah Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa & Guru (PIBG) SK Serandu, Noor Azhar Abd. Rasid.
Disediakan oleh Juliana Mohd. Ali daripada Bahagian Pengurusan Akademik
- 225 views