Program Kembara Prihatin@Bumi Kenyalang 2.0 erat hubungan baik UMPSA, IKM Bintulu dan Alumni
BINTULU, 17 Ogos 2024 - Tinggal bersama keluarga angkat dan bersama menjayakan program memberi peluang kepada 24 sukarelawan Skuad Yayasan UMPSA dan 13 sukarelawan daripada Institut Kemahiran MARA (IKM) berkolaborasi untuk menghulurkan bantuan menyumbang bakti buat komuniti Ukit di Rumah Panjang Uma Ukit di Sungai Asap, Bintulu Sarawak.
Bagi Pengarah program, Fatini Nasuha Ahmad Fuad, kerjasama baik dengan Institut Kemahiran MARA (IKM) Bintulu berjaya mengangkat konsep keharmonian #KeluargaMalaysia dan menjadikan aktiviti kesukarelawanan sebagai agenda penting universiti dalam melahirkan pelajar yang berketerampilan dan warga yang prihatin.
“Kehadiran sukarelawan disambut baik keluarga angkat dan pelbagai aktiviti serta inisiatif dilaksanakan untuk membantu meringankan beban komuniti setempat melalui kluster teknologi, komuniti, lestari, pendidikan, kerohanian dan bantuan untuk diagihkan secara bersasar,” katanya.
Dalam pada itu, pihaknya berjaya mengumpulkan alumni UMPSA untuk turut serta menjayakan program serta sokongan daripada pihak NGO dan rakan strategik.
Manakala menurut alumni UMPSA yang kini berkhidmat sebagai pensyarah di IKM Bintulu, Micheal Anak Jangi, berkata, program ini merupakan program susulan dari Explore Kapit 1.0 pada tahun 2014 dan Explore Kapit 2.0 pada tahun 2017 yang diadakan di Rh. Anthony, Nanga Mujan Ili, Nanga Merit, Batang Rejang, dan Daerah Belaga serta beberapa lokasi yang lain.
“Antara penglibatan IKM Bintulu kali ini termasuklah pembinaan pondok tebingan sungai, sistem hidroponik, pemasangan elektrik, memperkenalkan STEM dan IOT untuk pencahayaan serta promosi pendidikan,” katanya.
“Selain itu, program ini dapat memberikan pendedahan kepada sukarelawan, khususnya pelajar IKM Bintulu untuk bekerjasama dengan pasukan Yayasan UMPSA dari segi penganjuran program,” ujarnya.
Sementara itu, Franky Izlye Laka, pelajar IKM Bintulu berkata, pihaknya berbangga dapat bersama-sama menabur bakti dalam menjayakan Projek STEM dan IOT Lighting yang memberi pencahayaan di Rumah Panjang Uma Ukit.
Begitu juga dengan Rochester Chirry anak John, pelajar IKM Bintulu yang turut sama menyumbang bakti dalam menjalankan Projek Sistem Hidroponik bagi menggalakkan penduduk di sini terlibat dalam aktiviti penanaman Agro.
Pada masa yang sama, pensyarah kanan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Dr. Noormazlinah Ahmad yang juga penerima Anugerah Alumni Muda Harapan bersempena Malam Alumni Universiti Awam 2024 (MAL'24) baru-baru ini turut turun padang memperkenalkan dan mempromosikan produk Pre-Pecto iaitu baja inulin yang digunakan sebagai nutrien untuk dimanfaatkan di sekitar rumah panjang.
Sukarelawan yang berkampung di Uma Ukit, Belaga turut bersama keluarga angkat selama tujuh hari enam malam dan berpeluang merasai suasana serta budaya masyarakat di sini.
Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohamad Idris, Pusat Komunikasi Korporat
- 178 views