Program Outreach UMP-KPT JAKM fokus Inovasi Sosial dan STEM
PEKAN, 28 Oktober 2022 - Program Outreach UMP-KPT melalui Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Pahang 2022 baru-baru ini menyantuni pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Indera Shahbandar (SMKIS) apabila seramai 50 pelajar berpeluang mempelajari asas elektrik dan elektronik dengan menggunakan blok elektronik interaktif dan membina liter ringkas pelbagai aplikasi.
Bagi pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr. Abdul Nasir Abd Ghafar yang menyelaras program itu berkata, ia dapat membudayakan kreativiti dan inovasi dalam kalangan komuniti luar bandar khususnya pelajar sekolah tentang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Pelajar telah diberi penekanan dalam Program STEM untuk pelajar sekolah ini menekankan asas Elektrik dan Elektronik yang dibimbing oleh sekumpulan pensyarah.
“Pelajar menunjukkan minat untuk belajar dan berlumba-lumba menyiapkan tugasan yang diberikan,” katanya.
Sementara itu, Cikgu Mohd Zaidi Awang Kechik, Ketua Bidang Sains dan Matematik di SMKIS berkata, pihaknya berterima kasih atas keprihatinan KPT dan UMP yang memilih pelajar SMKIS dalam program kali ini.
Beliau mengharapkan lebih banyak program sebegini dapat dilaksanakan bagi menarik minat pelajar dalam bidang STEM ini.
Bagi Ahmad Khalid Mohd Tamzi, 15, beliau pada awalnya menyangkakan sukar untuk menyiapkan sesuatu tugasan namun apabila mula faham mudah untuk menyelesaikan tugasan diberi.
“Dalam sesi pembelajaran di sekolah, kami memang mempelajarinya mengenai asas litar elektrik di dalam mata pelajaran Sains dan Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) secara teori.
“Namun, melalui program ini kami dapat memahami dengan lebih mendalam,” katanya.
Program anjuran KPT dan UMP itu turut melaksanakan Program Fertigasi bersama komuniti Kampung Kiambang Ganchong Pekan hasil kerjasama Bahagian Kolaborasi Industri dan Masyarakat (BKIM) dalam meningkatkan sosial enterprise keluarga seiring dengan kelestarian sosioekonomi yang mampan.
Ia melibatkan seramai 4 orang penduduk tempatan B40 dan dibantu 20 orang Sukarelawan UMP di Kg. Kiambang Ganchong, Pekan. Ia mampu mengangkat taraf sosio-ekonomi peserta ke tahap yang lebih baik menerusi penjanaan pendapatan daripada hasil jualan tanaman dengan purata 25% - 50% peningkatan pendapatan.
Turut berlangsung Program Inovasi Cendawan bersama asnaf, warga emas dan anak yatim di Rumah Anak Yatim Nur Iman Kempadang dan Program Kursus Penghasilan Soya & Tau Fu Fa (PSH), Kursus Baikpulih Kipas Meja (PSH), Servis Motosikal (CSR) dan Mini landskap – stepping stone (CSR) yang dilaksanakan pihak JPPKK di RTC Balairaya Kg. Bukit Sekilau.
Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Pahang dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan pelbagai pengisian program dan aktiviti menarik disediakan kepada pengunjung bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC) dan di perkarangan Stadium Darul Makmur. Program JAKM Pahang yang memasuki siri ke-12 pada kali ini diterajui Kementerian Pertahanan (Mindef) dengan bertemakan 'Keluarga Malaysia Teras Pertahanan Negara'.
Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri
- 101 views