Sumbangan anak-anak yatim dan miskin Sanggar Nur Assyifa
Kuantan, 6 Mei- Meneruskan agenda kesukarelawanan, Persatuan Wanita UMP (Matahari) dengan kerjasama Pejabat Naib Canselor menjalankan Program Misi Kemanusiaan `We Love We Care' dengan membantu masyarakat dan anak-anak yatim serta miskin yang belajar di Sanggar Yatim - Dhuafa Nur Assyifa di Sukamenak Bandung Indonesia.
Kunjungan pada kali ini membolehkan sukarelawan membangunkan mini perpustakaan dengan menempatkan sudut bacaan yang agak selesa untuk dimanfaatkan anak-anak di sini. Dalam program ini seramai 80 anak-anak yatim dan miskin berpeluang mengikuti program kerohanian termasuk mengaji Al-Quran, Hafazan dan Kuiz Agama.
Pengarah program, Nor Ilma Mustafa Kamal berkata, program ini merupakan kesinambungan program khidmat komuniti yang dijalankan dalam dan luar negara terutamanya membabitkan negara jiran termasuk Indonesia dan Thailand.
“Kerjasama ini membolehkan pihaknya berpeluang menyertai program khidmat masyarakat dengan menghulurkan sumbangan dengan bersama-sama bergotong-royong menyediakan jamuan makan, menambahbaik kemudahan pembelajaran dan beramah mesra bersama anak-anak dan penduduk di sini,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi JK Sosial Matahari, Datin Wan Maizurina Wan Ohman berkata, UMP dan Matahari telah mengadakan beberapa program Misi Kemanusiaan di Kemboja, Aceh dan Satun yang merupakan tanda prihatin warga universiti terhadap kedaifan hidup masyarakat Islam di negara-negara berkaitan. Pelaksanaan program kesukarelawanan ini seiring dengan hasrat universiti dalam menjadikan UMP sebagai Universiti Komuniti.
Katanya, program ini juga memberi peluang warga UMP menghulurkan sumbangan dan keprihatinan warga UMP di sanggar ini yang masih serba kekurangan terutamanya dalam meningkatkan fasiliti penmbelajaran. Sukarelawan Matahari turut mengadakan sesi motivasi dan program bersama ibu-ibu tunggal dan keluarga miskin di sini.
Manakala bagi pengasas sanggar ini, Ai Sri Rahayu berterima kasih atas sumbangan dan bantuan sukarelawan yang ternyata menggembirakan anak-anak di sini. Kemudahan meja belajar dan buku-buku memberi mereka suntikan semangat untuk mengulangkaji pelajaran dan mengaji di rumah ini. Malahan kemudahan ini juga dimanfaatkan anak-anak sekitar kampung yang kerap datang untuk membaca buku di mini pustakaan yang dibangunkan.
Pihaknya kerap mengadakan majlis ilmu, kelas agama dan ceramah kepada masyarakat sekitar. Lebih menggembirakan mereka juga berpeluang menikmati jamuan makanan hasil sumbangan orang ramai yang menyumbang ke rumah kebajikan ini.
Pihak persatuan juga mengusahakan kutipan sumbangan dengan mengumpulkan dana yang dijalankan warga UMP dan Matahari untuk didermakan kepada rumah kebajikan bagi menambahbaik kemudahan fizikal yang dapat dimanfaatkan mereka.
- 176 views