5 graduan inklusif UMPSA buktikan keupayaan merentasi keterbatasan
PEKAN, 2 November 2026 – Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-21 turut menyaksikan kejayaan lima graduan inklusif yang berjaya menamatkan pengajian dalam pelbagai bidang pengajian, sekali gus membuktikan bahawa keterbatasan fizikal, pendengaran mahupun pembelajaran bukan penghalang untuk mencapai kecemerlangan dalam pendidikan tinggi.
Kelima-lima graduan berkenaan terdiri daripada pelajar kategori Orang Kurang Upaya (OKU) melibatkan tiga kategori iaitu pembelajaran, pendengaran dan fizikal yang mengikuti pengajian di dua fakulti, iaitu Fakulti Komputeran (FK) serta Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI).
Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias berkata, kecemerlangan akademik tidak seharusnya diukur berdasarkan kekangan yang dimiliki seseorang, sebaliknya ditentukan oleh semangat, usaha dan keazaman individu dalam mencapai kejayaan.
“UMPSA percaya bahawa setiap individu mempunyai potensi tersendiri untuk berjaya.
“Golongan OKU juga mampu mencapai aspirasi dan kecemerlangan apabila diberikan peluang, sokongan serta akses kepada pendidikan berkualiti.
“Sehubungan itu, UMPSA sentiasa komited dalam menyediakan ekosistem pembelajaran yang inklusif, kondusif dan memberikan peluang sama rata kepada semua pelajar untuk mengembangkan potensi diri serta mencapai kejayaan,” ujarnya.
Daripada Fakulti Komputeran (FK), graduan kategori pembelajaran ialah Mohammad Amirul Hakimin Mohd Azmi yang mengikuti Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Teknologi Grafik dan Multimedia), manakala Sofiyya A’thirah Saad merupakan graduan Diploma Sains Komputer dalam kategori pendengaran.
Turut bergraduasi ialah Muhammad Aliff Firdaus Saffi'ai yang mengikuti Ijazah Sarjana Muda Grafik dan Multimedia dalam kategori OKU fizikal.
Sementara itu, daripada Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Brandon Ting Yi Zhen berjaya menamatkan pengajian dalam program Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan Bioteknologi Industri bagi kategori pendengaran, manakala Geraldine Gina Quah Wan Yee merupakan graduan Diploma Sains Industri dalam kategori pembelajaran.
Pencapaian kelima-lima graduan ini menjadi bukti bahawa peluang mendapatkan pendidikan tinggi perlu terbuka kepada semua golongan tanpa mengira latar belakang atau keupayaan individu.
Kejayaan mereka turut mencerminkan kepentingan persekitaran pembelajaran yang inklusif, sokongan berterusan serta peluang pendidikan yang saksama dalam membantu setiap pelajar mengembangkan potensi diri dan merealisasikan aspirasi masing-masing.
UMPSA sentiasa komited dalam memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi yang inklusif bagi memastikan setiap pelajar mendapat peluang untuk menimba ilmu, membangunkan kemahiran dan mencapai kejayaan dalam bidang yang diceburi.
Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-21 yang berlangsung dari 31 Oktober hingga 3 November 2026 di Dewan Tuanku Canselor (DTC) UMPSA Pekan meraikan kejayaan para graduan dalam pelbagai bidang pengajian serta menjadi pengiktirafan terhadap usaha, kesungguhan dan pengorbanan mereka sepanjang menempuh alam pengajian tinggi.
Oleh: NAQIAH PUAAD, PUSAT KOMUNIKASI KORPORAT
- 5 views
Reports by: