Abraham Lim Bing Sern graduan Analitik Data terima Anugerah Kecemerlangan UMPSA Holdings Sdn. Bhd.
GAMBANG, 9 November 2025 - ‘Sentiasa berusaha sehabis baik, walaupun hasilnya belum pasti’, itulah prinsip hidup yang menjadi pegangan hidup Abraham Lim Bing Sern, 24, graduan cemerlang Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan Analitik Data dengan Kepujian, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Beliau kini yang berkerja sebagai Pembantu Latihan di Hayago Tech Sdn. Bhd., Kuala Lumpur telah dianugerahkan dengan Anugerah Kecemerlangan UMPSA Holdings Sdn. Bhd.
Anak kelahiran Pulau Pinang ini merupakan anak bongsu daripada tiga orang adik-beradik.
Beliau mendapat dorongan dan sokongan kuat daripada ibunya, Tan Bee Har, 61, seorang suri dan bapanya, Lim Eng Heng.
Dalam kehidupan seharian, Abraham aktif bersenam di gimnasium yang menjadi antara hobi utamanya untuk mengekalkan gaya hidup sihat dan disiplin diri.
Selepas menamatkan pengajian di UMPSA, kini Abraham aktif menyumbang dalam bidang latihan selepas menamatkan Program Train-the-Trainer (TTT) di bawah Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dan menjadi jurulatih bertauliah.
Sebagai jurulatih bertauliah, Abraham memberi tumpuan kepada penyampaian latihan yang melibatkan Microsoft Fabric dan Cloud Services, seiring dengan keperluan industri teknologi masa kini.
Semasa menuntut di UMPSA, Abraham membuktikan kecemerlangan akademiknya dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.84, sekali gus melayakkan dirinya tersenarai dalam senarai Anugerah Dekan bagi setiap semester.
Beliau turut aktif dalam pelbagai pertandingan penyelidikan, inovasi dan program berimpak tinggi yang menggabungkan kemahiran analitik, teknologi dan kreativiti.
Antara pencapaian tertinggi yang pernah diraih ialah berjaya memenangi pingat emas dalam Semarak International Research Innovation Symposium IV (SIRIS IV), diikuti dengan pingat perak dalam International Innovation Competition (INNOCOM V) 2024 dan pingat perak dalam International Innovation and Invention Competition (IIICe 2024) yang dianjurkan oleh Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Selain itu, beliau turut menerima Hadiah Sanjungan bagi Anugerah Persatuan Sains Matematik Malaysia (PERSAMA) 2025 dan Simposium Kebangsaan Sains Matematik Ke-32 (SKSM32) dalam kategori Reka Cipta Matematik di peringkat kebangsaan dengan kerjasama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Dalam bidang kokurikulum pula, beliau aktif menyertai pelbagai program universiti termasuk Big Data Online Summer Camp anjuran Confucius Institute Center, Hebei University, aktiviti asas catur serta Townhall Akademi A.D.A.B yang memperkukuh kemahiran komunikasi dan kepimpinan.
Abraham menyifatkan UMPSA sebagai universiti yang menyediakan persekitaran pembelajaran lengkap dan kondusif dengan kemudahan moden serta pensyarah yang berdedikasi.
Pendekatan berasaskan industri dan penyelesaian masalah sebenar memberi kelebihan kepada pelajar untuk bersaing di dunia pekerjaan.
Beliau juga menganggap kejayaan meraih pingat emas dalam SIRIS IV sebagai pencapaian paling bermakna sepanjang pengajian.
“Proses menyiapkan penyelidikan itu sangat panjang dan mencabar, namun ia mengajar saya tentang ketekunan, disiplin dan keyakinan diri,” katanya.
Abraham turut berdepan cabaran menyeimbangkan akademik dan memastikan ketepatan data penyelidikan, namun pengalaman tersebut menjadikannya lebih teliti dan berdaya tahan.
Sebagai pelajar yang bukan berasal dari Pahang, pengalaman menyesuaikan diri di kampus bersama rakan-rakan baharu sangat berharga.
Katanya, beliau masih ingat saat meneroka kampus dan bandar Kuantan, termasuk keindahan Pantai Teluk Cempedak bersama rakan-rakan.
“Semua ini membina semangat kerja berpasukan dan persahabatan yang kukuh,” ujarnya.
Abraham turut berterima kasih kepada keluarga, pensyarah dan rakan-rakan atas sokongan dan dorongan sepanjang pengajian, selain berpesan kepada pelajar lain supaya berdisiplin, rajin bertanya dan aktif dalam aktiviti universiti.
Kini, beliau berhasrat untuk terus mengembangkan kepakaran dalam bidang latihan dan teknologi digital serta menjadi profesional yang berwibawa dan mampu menyumbang kepada masyarakat.
Disediakan Oleh: Hafizatulazlin Abdul Aziz, Pusat Komunikasi Korporat
- 90 views