Skip to main content
Adik dan abang  berkongsi pentas Konvokesyen

Adik dan abang  berkongsi pentas Konvokesyen

Kuantan, 15 November- Pasangan  adik -beradik melakar sejarah manis apabila berkongsi pentas dan kegembiraan selepas masing-masing menerima ijazah Sarjana  Kejuruteraan Kimia dengan Keusahawanan pada Majlis Konvokesyen Ke-13 UMP. 
Mereka adalah Ahmad Fakhruddin Ahmad Faudzi, 29 dan adiknya Norul Solihah Ahmad Faudzi, 27 yang berasal dari Terengganu.

Fakhruddin yang kini bertugas sebagai Pensyarah Teknikal di Kolej Kemahiran Tinggi MARA Kemaman manakala Norul Solihah pula bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Imtiaz, Terengganu. Ketika di temubual, kedua-duanya melahirkan perasaan gembira  dan terharu dengan kejayaan ini.

Ujar Fakhruddin,  kejayaan hari ini juga adalah berkat doa daripada ibu bapa mereka yang banyak berkorban untuk mereka selama ini. Beliau mula mengiktui pengajian di peringkat Diploma Kejuruteraan Kimia (Loji Proses) di UMP pada tahun 2007, kemudian menyambung ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia pada tahun 2010. Pada masa yang sama Solihah turut menjejaki langkahnya untuk menyambung pengajian di UMP sehingga ke peringkat ijazah sarjana muda.

“Setelah kami memperoleh pekerjaan,kami berdua bersepakat untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana pula. Walaupun kedudukan tempat tinggal kami berjauhan di antara  Setiu dan Kemaman, namun tidak menghalang kami untuk menghadiri sesi kuliah di UMP. Saya akan menunggu Solihah yang menaiki bas ke Kemaman dan kami akan sama-sama ke UMP,” katanya.

Beliau dan adik masing-masing bekerja keras untuk cemerlang dalam pelajaran dan gembira akhirnya berjaya mencapai cita-cita yang diidamkan.

Manakala Solihah pula berkata,  ianya merupakan anugerah yang terindah dalam dirinya apabila berjaya mengecapi kejayaan ini. Meskipun sedang sarat mengandung, beliau tidak akan melepaskan peluang ini bagi memastikan impiannya menaiki pentas konvokesyen tercapai.

Solihah turut mengimbas kembali kenangannya bersama abangnya dan mereka selalu berbincang dan mengulangkaji pelajaran bersama. Ujarnya, bukan mudah untuk bergelar  sebagai seorang pekerja dan status seorang pelajar pada masa yang sama.

Dengan tugasan hakiki, mereka perlu pandai memberikan masa antara tugasan dan pelajaran. Memang sukar untuk digambarkan perasaan selama dua tahun berulang-alik  berakhir dengan detik manis yang dapat diraikan bersama keluarga.

Beliau  juga ingin mengucapkan terima kasih kepada abangnya, keluarga dan pensyarah yang banyak membantu dan memberi dorongan. Pasangan adik beradik ini merupakan di antara 2773 graduan yang menerima ijazah dalam Majlis Konvokesyen  ke-13 UMP bertempat di  Kompleks Sukan UMP Gambang baru-baru ini.

 

Disediakan oleh Nor Salwana Hj. Mohammad Idris dari Bahagian Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim