Skip to main content
Air mata kehilangan iringi kejayaan Shakirah Izzati terima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) UMPSA

Air mata kehilangan iringi kejayaan Shakirah Izzati terima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) UMPSA

PEKAN, 31 Oktober 2026 — Penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Shakirah Izzati Muhammad Firdaus, 24, pernah hampir berputus asa dalam pengajian ketika ibunya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala datuknya pula berada dalam keadaan kritikal di hospital.

Sebaik menerima panggilan mengenai keadaan mereka, beliau berulang-alik dari kampus ke hospital di Seremban pada tengah malam. 

Keesokan harinya, walaupun ada kelas, beliau tetap hadir untuk meneruskan kelas.

Katanya, ketika mendengar doktor memberitahu dirinya serta keluarga untuk ‘expect the worst’ semasa ibu saya ditidurkan lama dan perlu meneruskan belajar keesokan harinya seperti tiada apa yang berlaku, hampir membuat saya berputus asa.

“Ibu pernah menjalani pembedahan jantung pada tahun sebelumnya, dimasukkan semula ke hospital selepas mengalami jangkitan paru-paru dan paras oksigen yang rendah. 

“Keadaan itu menyebabkan ibu perlu ditidurkan untuk tempoh yang lama serta menjalani kuarantin di hospital.

“Dalam masa yang sama, datuk saya turut dimasukkan ke hospital akibat kekurangan oksigen sebelum meninggal dunia akibat serangan jantung,” ujarnya. 

Ibunya, Hafliza Abdullah Fakri, 59, yang merupakan Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat di Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi JKR (CREaTE), Alor Gajah, Melaka, kini telah dibenarkan keluar dari hospital.

Anak keempat daripada empat beradik itu dibesarkan oleh ibunya seorang sejak lahir. 

Semasa ibunya sibuk bekerja, beliau tinggal bersama arwah datuk dan neneknya. 

Katanya, atuk seperti ayah saya sendiri. 

“Ketika ibu saya berada dalam keadaan lebih kritikal dan doktor meminta keluarga bersedia menghadapi kemungkinan terburuk, saya tidak menyangka datuk dan nenek akan pergi terlebih dahulu. 

“Nenek saya meninggal dunia secara mengejut akibat hipoglisemia. 

“Manakala, bapa saudara saya juga turut meninggal dunia selepas mengalami serangan jantung ketika bermain futsal akibat saluran jantung tersumbat,” katanya. 

Yang membuatkan beliau lebih sedih adalah kerana datuk dan neneknya pernah berjanji untuk menghadiri majlis konvokesyen semasa beliau mendapat ijazah kerana tidak berpeluang hadir semasa diploma dahulu. 

“Tetapi Allah SWT lebih menyayangi mereka dan mereka sudah tiada lagi untuk saksikan saya disarungkan selempang di atas pentas itu nanti.

“Apabila dimaklumkan terpilih menerima Anugerah Pelajaran Diraja, rasa syukur dan kesedihan bercampur-baur. 

“Perasaan bersyukur yang tak terhingga kepada Ilahi,” tambahnya. 

Jelas beliau lagi, saat dirinya diberitahu mengenai penerimaan anugerah ini, air mata tidak berhenti menitis. 

“Walaupun mereka telah pergi menghadap Ilahi dan tidak sempat melihat saya menyarung jubah konvokesyen seperti yang dihajati, kepercayaan mereka yang membawa saya terbang tinggi.

“Janji arwah yang mengatakan bahawa mereka akan hadir ke konvokesyen saya dan meletakkan gambar saya di rumah adalah sebab saya cuba sedaya upaya untuk memasuki pelbagai program untuk memakai selempang pada hari tersebut dan membuat mereka rasa bangga,” katanya. 

Beliau berjaya menamatkan pengajian dalam Sarjana Muda Sains Komputer (Keselamatan Siber) dengan Kepujian di UMPSA dengan cemerlang apabila memperoleh PNGK 3.95, selepas mencatatkan PNGK 3.77 pada peringkat Diploma Sains Komputer.

Lebih membanggakan, beliau membuktikan konsistensi dalam mengekalkan prestasi akademik apabila berjaya meraih Anugerah Dekan bagi kesemua 12 semester sepanjang pengajian di peringkat diploma dan ijazah.

Pada awal pengajian, beliau berasa jauh ketinggalan daripada rakan sekelas kerana beliau pada mulanya memilih bidang kejuruteraan perisian sebelum ditempatkan dalam bidang keselamatan siber. 

Keluarganya menggalakkan beliau mencuba dahulu, dengan sasaran memperoleh Anugerah Dekan pada semester pertama. 

Dorongan keluarga dan bantuan pensyarah membantunya menyesuaikan diri, memahami istilah baharu dan meneruskan pengajian dalam bidang tersebut.

Pencapaian akademik dan profesionalnya turut diiktiraf menerusi Anugerah Siswi Cemerlang 2026, Tabung PSWM UMPSA; Anugerah Ikon Daya Usaha dan Inovasi, MARS 2025; Anugerah Kecemerlangan ASEAN Cyber Shield Online Education 2024; Anugerah Tertinggi Kecemerlangan 2024; Anugerah Tinggi Kecemerlangan 2023; dan Kepujian (Distinction) Program K-Youth x GIFT 2025.

Kejayaan terbesar dan paling bermakna adalah apabila beliau terpilih sebagai satu-satunya wakil Malaysia bagi kedua-dua generasi dengan tajaan penuh untuk menyertai The 1st ASEAN Cyber Shield (ACS) Online Education Bootcamp di Seoul, Korea Selatan pada tahun 2025. 

“Di sana, saya diiktiraf sebagai salah seorang daripada tujuh orang pelajar cemerlang negara ASEAN bagi generasi kedua ACS Online Education, menerima Certificate of Excellence, serta berjaya merangkul anugerah Projek dan Pembentang Terbaik (Best Project & Presenter).

“Penglibatan saya dalam keselamatan siber turut merangkumi penyelidikan United Nations of Digital Crime mengenai ancaman jenayah siber yang dikuasakan kecerdasan buatan pada 2025. 

“Pada tahun yang sama, saya turut menjadi pelapor bagi pihak Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) di Cyber Defence & Security Exhibition (CYDES), mendokumentasikan perbincangan panel dan sesi pakar,” katanya. 

Beliau turut menyertai pertandingan keselamatan siber, antaranya iCTFF8, IGOH, HTB Cyber Apocalypse dan Hackfinity Battle padat tahun 2025, serta HTB University CTF pada tahun 2023 dan 2024.

Ujarnya lagi, semasa menjadi pelatih di CyberSecurity Malaysia dari tahun 2025 hingga 2026, saya ditugaskan kepada Pasukan Forensik Kenderaan. 

“Saya menjalankan penyelidikan mengenai forensik kenderaan elektrik dan membantu staf forensik digital. 

“Saya juga turut menghasilkan lapan laporan forensik dan empat artikel, selain membantu menyeragamkan prosedur kerja serta mengurangkan risiko.

“Malah, saya juga mempamerkan aliran kerja forensik kenderaan dan pemerolehan data digital untuk rancangan Majalah 3 TV3,” katanya. 

Di samping itu juga, beliau mengetuai program Sesi Kanak-kanak Siber Satria bagi CyberSecurity Malaysia pada tahun 2025, menjadi pengacara majlis penyerahan sijil Makmal Forensik Kenderaan Pertama di Malaysia dan bertugas sebagai penyambut tetamu VVIP bagi pelancaran makmal tersebut. 

Beliau turut menerima penghargaan daripada Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia selepas mengendalikan majlis itu.

Di UMPSA, beliau pernah menjadi pengarah Minggu Kempen Cakna Trend Jenayah Siber peringkat negeri Pahang dan Timbalan Pengarah Organisasi UMPSA Cyber@Petakom pada tahun 2024. 

Selain itu juga, beliau turut menjadi pengacara Higher Education English Carnival 2024.

Penglibatan kokurikulum dan sukan termasuklah menyertai Sukan Fakulti Komputeran (SUKOM) sebagai pelari pada tahun 2023, menjadi johan pertandingan dodgeball SUKOM pada tahun 2024 dan menjadi ahli aktif Kelab Taekwon-do ITF UMPSA.

Sebelum menjadi pelatih di CyberSecurity Malaysia, beliau mengikuti latihan sebagai pelatih pembangun perisian di Majlis Keselamatan Negara (MKN) dari tahun 2022 hingga 2023. 

Kini, beliau berkhidmat sebagai Jurutera Keselamatan di NH2 System Sdn. Bhd. 

Tugasnya merangkumi pelaksanaan, naik taraf dan penggunaan alat keselamatan aplikasi perusahaan SAST, DAST, SSC dan SCA pada persekitaran Windows serta RHEL Docker. 

Beliau turut mengintegrasikan semakan keselamatan SAST ke dalam saluran paip Azure DevOps CI/CD dan menganalisis penemuan DAST menggunakan kaedah ASPM.

Dalam peranannya, beliau juga membangunkan konfigurasi DAST khusus pelanggan, panduan teknikal dan dokumentasi User Acceptance Testing (UAT), selain memberi panduan kepada pelanggan. 

Beliau menyifatkan UMPSA menyediakan ekosistem pembelajaran yang kondusif, prasarana teknologi dan sokongan pensyarah yang membantunya berfikir secara kritikal serta bersedia menghadapi industri. 

“Pendekatan yang menggabungkan asas teori dengan pendedahan praktikal, termasuk latihan di MKN dan CyberSecurity Malaysia, membantu membentuk graduan yang berdaya saing.

“Saya berhasrat memperluas kepakaran dalam keselamatan aplikasi dan forensik digital, memantapkan kemahiran teknikal di peringkat industri global serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan ekosistem pertahanan siber negara,” katanya. 

Prinsip hidupnya ialah, ‘If you can dream it, you can do it.’

“Kepercayaan terhadap diri sendiri, usaha, doa, ibadah dan keredaan Allah SWT menjadi panduan untuk mencapai cita-cita.

“Saya berharap perjalanan saya dapat membuktikan bahawa apa jua ujian hidup, kesusahan, dan air mata bukanlah penamat, sebaliknya boleh ditukar menjadi bahan bakar motivasi yang paling kuat untuk terus tekun berusaha. 

“Kejayaan sejati bukan sekadar tentang gred di atas kertas, tetapi bagaimana kita bangkit daripada cabaran untuk memberi manfaat kepada keluarga, masyarakat dan negara,” ujarnya. 

Oleh: NUR HARTINI MOHD HATTA, PUSAT KOMUNIKASI KORPORAT 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri