Aktif memimpin, Farah Zulaikha genggam Anugerah Srikandi MATAHARI UMPSA
PEKAN, 1 November 2026 - Kejayaan mengekalkan kecemerlangan akademik dengan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.88, di samping aktif dalam pelbagai aktiviti kokurikulum, melayakkan graduan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Farah Zulaikha Zakaria, 24, menerima Anugerah Srikandi MATAHARI bersempena dengan Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-21.
Anak sulung daripada empat orang adik-beradik itu berkata, pengiktirafan tersebut amat bermakna kerana menghargai usaha dan pengorbanannya sepanjang enam tahun menuntut ilmu di UMPSA, bermula dari peringkat diploma.
“Saya sangat terkejut, sebak dan bersyukur apabila dimaklumkan terpilih menerima anugerah ini.
“Bagi saya, anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan akademik, tetapi hadiah terbesar buat ibu bapa yang sentiasa mendoakan dan memberikan sokongan,” ujarnya.
Sepanjang pengajian, Farah Zulaikha bukan sahaja menerima Anugerah Dekan pada setiap semester, malah aktif sebagai fasilitator program Career Bootcamp Alumni Homecoming, MINDS 2025 dan Aspirasi Kimia 2025.
Beliau turut menyertai Kelab T-Rex Hiking, sukan memanah serta Program Mobiliti Antarabangsa di Indonesia pada tahun 2025.
Penglibatannya dalam pertandingan inovasi juga membuahkan hasil apabila meraih Anugerah Mockup Terbaik dan pingat dalam CITREX 2025.
Menurutnya, pengalaman di UMPSA banyak membentuk keyakinan diri, kemahiran kepimpinan dan keupayaan bekerja dalam pasukan.
“Pendekatan pembelajaran berorientasikan industri serta bimbingan pensyarah turut membantu saya mengimbangi kecemerlangan akademik dengan aktiviti luar bilik kuliah.
“Cabaran terbesar sepanjang pengajian ialah menguruskan masa antara akademik, kokurikulum dan tanggungjawab keluarga, khususnya ketika menyiapkan Projek Tahun Akhir.
“Namun, pengalaman itu mengajar saya untuk lebih berdisiplin, menyusun keutamaan dan tidak mudah berputus asa,” katanya.
Berpegang pada prinsip hidup ‘buat dengan ikhlas, buat sampai jadi’ dan beliau percaya bahawa kejayaan memerlukan usaha yang konsisten, kejujuran dan doa.
Selepas bergraduasi, beliau merancang untuk menyambung pengajian sambil bekerja bagi memperkukuh kemahiran teknikal dan profesional, selain membina kerjaya yang membolehkannya menyumbang kepada masyarakat.
Beliau turut berharap kejayaannya dapat menjadi inspirasi kepada golongan wanita untuk berani meneroka bidang teknikal dan kepimpinan.
“Kepada adik-adik junior, percayalah pada diri sendiri dan jangan takut mencuba perkara baharu.
“Kejayaan bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik, tetapi juga melalui pengalaman dan siapa kita menjadi sepanjang perjalanan itu,” katanya.
Oleh: HAFIZATULAZLIN ABDUL AZIZ, PUSAT KOMUNIKASI KORPORAT
- 6 views
Reports by: