Skip to main content
Aniq Zamzamy terima Anugerah Kecemerlangan Telekom, bukti kesungguhan dan komitmen mahasiswa

Aniq Zamzamy terima Anugerah Kecemerlangan Telekom, bukti kesungguhan dan komitmen mahasiswa

PEKAN, 2 November 2026 – Keupayaan mengimbangi kecemerlangan akademik dengan kepimpinan mahasiswa menjadi antara kekuatan graduan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Aniq Zamzamy bin Sibron, 25, yang menerima Anugerah Kecemerlangan Telekom Malaysia Berhad bersempena dengan Majlis Konvokesyen Ke-21 UMPSA.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Elektrik) dengan Kepujian itu menamatkan pengajian dengan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.59 serta meraih Anugerah Dekan sebanyak lima semester sepanjang pengajiannya di UMPSA.

Anak keempat daripada lima orang adik-beradik yang berasal dari Gombak, Selangor itu menyifatkan pengiktirafan berkenaan sebagai satu penghargaan bermakna terhadap usaha, pengorbanan dan komitmennya dalam memastikan kecemerlangan akademik dapat dicapai seiring dengan tanggungjawab sebagai pemimpin mahasiswa.

Menurutnya, kejayaan tersebut turut menjadi bukti bahawa kesungguhan mengurus masa, disiplin diri dan kerjasama berpasukan mampu membantu mahasiswa menghadapi cabaran sepanjang pengajian.

“Apabila dimaklumkan terpilih menerima Anugerah Kecemerlangan Telekom Malaysia Berhad, perkara pertama yang saya lakukan ialah mengucapkan syukur kepada Allah SWT.

“Secara peribadi, anugerah ini membuktikan bahawa kecemerlangan akademik dan kepimpinan boleh berjalan seiring. 

“Ia juga mengingatkan saya bahawa setiap pengorbanan masa untuk mesyuarat, program dan ulang kaji tidak sia-sia,” ujarnya. 

Sepanjang pengajian, Aniq bukan sahaja memberikan tumpuan terhadap pencapaian akademik, malah aktif menggalas tanggungjawab kepimpinan di peringkat universiti.

Beliau pernah memegang jawatan Timbalan Yang di-Pertua I Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMPSA bagi sesi 2024/2025 selepas memperoleh kepercayaan 5,175 mahasiswa, selain menjadi Ahli Senat UMPSA bagi sesi yang sama.

Sebelum itu, beliau turut berkhidmat sebagai Timbalan Yang di-Pertua II MPP UMPSA bagi sesi 2023/2024 serta Presiden Persatuan Mahasiswa Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (EEES) UMPSA bagi sesi 2020/2021 dan 2022/2023.

Pengalaman memimpin mahasiswa memberikan ruang kepadanya untuk memahami keperluan pelajar, memperjuangkan kebajikan serta membawa suara mahasiswa ke peringkat pengurusan universiti.

Sepanjang tempoh 322 hari memegang amanah sebagai Timbalan Yang di-Pertua I MPP, beliau bersama rakan kepimpinan melaksanakan 94 gerak kerja serta merealisasikan manifesto yang dijanjikan kepada mahasiswa.

Dalam masa yang sama, beliau berjaya mengekalkan prestasi akademik dan memperoleh Anugerah Dekan sebanyak lima semester, meskipun perlu membahagikan masa antara kuliah, tugasan, peperiksaan, mesyuarat dan pelaksanaan program mahasiswa.

Menurut Aniq, cabaran mengimbangi tanggungjawab sebagai pemimpin dan mahasiswa mengajarnya untuk mengurus masa secara berdisiplin, menetapkan keutamaan serta mempercayai keupayaan rakan sepasukan dalam melaksanakan sesuatu tugasan.

Dalam bidang inovasi pula, beliau bersama pasukannya meraih tempat pertama menerusi Best Project Award, Senior Design Project Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) UMPSA pada tahun 2025 melalui projek bertajuk ‘A Mushroom Cultivation System Using a BRC Rack in a Controlled Growing Chamber’. 

Projek tersebut turut mencerminkan pendekatan pembelajaran berasaskan amali yang diterapkan di UMPSA, apabila idea yang dibangunkan sepanjang pengajian diterjemahkan kepada prototaip yang berfungsi.

Selain itu, beliau turut meraih Pingat Perak dalam Competition of Innovative Technology, Research and Exhibition (CITREX) 2025, tempat kedua dalam UMPSA Inovatech Challenge 2025 dan tempat ketiga dalam Technology Innovation of Local Products 2025.

Penglibatan aktif dalam aktiviti kesukarelawanan dan program antarabangsa turut melengkapkan pengalaman beliau sebagai mahasiswa. 

Antaranya termasuk menyertai misi sukarelawan di Papar, Sabah dan Kempen Green Summer Volunteer Campaign di Vietnam, selain mewakili Malaysia dalam program International Summer School di Manchester Metropolitan University, United Kingdom pada tahun 2025.

Bagi Aniq, pengalaman tersebut membuka peluang untuk mengaplikasikan ilmu kejuruteraan dalam usaha memberi manfaat kepada masyarakat, sekali gus membentuk graduan yang bukan sahaja mempunyai kemahiran teknikal, malah kepekaan sosial dan semangat khidmat bakti.

Beliau turut menyifatkan UMPSA sebagai institusi yang menyediakan persekitaran pembelajaran yang membantu mahasiswa membangunkan kemahiran teknikal, kepimpinan dan kebolehan menyelesaikan masalah melalui pengalaman sebenar.

Katanya, kemudahan makmal dan bengkel kejuruteraan, bimbingan tenaga pengajar serta ruang penglibatan mahasiswa dalam proses membuat keputusan universiti memberikan pengalaman pembelajaran yang menyeluruh.

Selepas menamatkan pengajian pada Januari 2026, Aniq kini berkhidmat sebagai EV Project Engineer di Proton, Tanjung Malim, Perak, sejak bulan April 2026. 

Beliau terlibat dalam pengendalian projek kenderaan elektrik (EV) bagi model e.MAS 5, e.MAS 7 dan e.MAS 7 PHEV.

Pengalaman tersebut menjadi landasan untuk beliau terus memperkukuh kepakaran dalam bidang kejuruteraan serta menyumbang kepada pembangunan industri kenderaan elektrik dan mobiliti hijau negara.

Dalam perancangan masa depannya, beliau berhasrat melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana di luar negara bagi mendalami bidang kejuruteraan dan teknologi masa hadapan, seterusnya membawa pulang ilmu serta pengalaman antarabangsa untuk menyumbang kepada pembangunan industri tempatan.

Aniq turut menegaskan bahawa keluarga merupakan penyumbang terbesar kepada kejayaannya, di samping sokongan pensyarah, penyelia, pihak pengurusan universiti dan rakan seperjuangan yang sentiasa memberikan bimbingan serta kepercayaan sepanjang perjalanan pengajiannya.

Beliau turut menitipkan pesanan kepada mahasiswa UMPSA agar berani keluar daripada zon selesa, melibatkan diri dalam persatuan, memimpin program dan menyertai aktiviti kesukarelawanan bagi membina pengalaman serta membangunkan potensi diri.

“Ilmu di dalam bilik kuliah akan menjadikan anda graduan, tetapi pengalaman di luarnya akan menjadikan anda insan yang sebenar,” katanya.

 
Oleh: NORAINI YUSOFF, PUSAT KOMUNIKASI KORPORAT

 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri