Skip to main content

Anis Syazwani Penerima Anugerah Prihatin Komuniti Puspanita

PAYA BESAR, 6 November 2022 – Graduan Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteran Awam, Nur Anis Syazwani, 24, menerima Anugerah Prihatin Komuniti Puspanita pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) Ke-17 bertempat di Dewan Kompleks Sukan UMP.

Beliau berjaya menamatkan pengajian dengan purata gred nilai keseluruhan, 3.83. 

Seorang pelajar yang pada mulanya tidak minat dan terpaksa mengambil bidang Kejuruteraan Awam, berjaya meraih anugerah kecemerlangan dengan memperoleh Anugerah Dekan setiap semester sebanyak tujuh kali berturut-turut. 

Nur Anis Syazwani juga merupakan seorang graduan diploma UMP pada tahun 2019 yang lalu.

Pernah bercita-cita untuk menjadi seorang doktor pakar perubatan, tetapi takdir mengatakan sebaliknya, apabila beliau diminta oleh arwah atuknya untuk mengambil bidang kejuruteraan sama sepertinya. 

Anis Syazwani Penerima Anugerah Prihatin Komuniti Puspanita

“Pada awalnya, saya tidak pernah mengetahui tentang bidang Kejuruteraan Awam sehinggalah berjaya mendapat tempat untuk melanjutkan pengajian di UMP pada peringkat diploma tahun 2016 yang lalu,” katanya yang kemudiannya menyambung pengajian  sehingga ke peringkat ijazah sarjana muda di UMP. 

Selain cemerlang dalam pelajaran, beliau juga aktif dalam bidang kokurikulum sepanjang pengajiannya di UMP, malah pernah menjawat beberapa jawatan penting dalam persatuan dan program. 

Beliau pernah menyandang jawatan sebagai seorang Exco Academic untuk Civil Engineering and Earth Resources Students' Society (CIVER) dan pernah menjadi presiden dalam beberapa program yang dikendalikan olehnya. 

Selain itu, beliau juga sering menyertai pelbagai program yang lain seperti larian, forum dan aktiviti yang telah dianjurkan oleh kelab serta persatuan yang lain.

Kegagalan dahulu pernah melemahkan semangatnya untuk terus melanjutkan pengajian di UMP. 

Namun atas dorongan keluarga, beliau tetap bangkit dan berusaha untuk menjadi yang terbaik. 

Beliau beranggapan bahawa gagal sekali tidak bermakna gagal selamanya.

Katanya, beliau pernah mendapat keputusan yang teruk sebelum ini dan hampir putus asa. 
“Tetapi, pada ketika itu, arwah atuk saya menyakinkan bahawa tiada apa yang mustahil dan dia juga ingin saya memberikan contoh yang terbaik untuk adik-adik dan sepupu yang lain kerana saya merupakan cucu sulung dalam keluarga. 

“Jadi, saya bangun dan teruskan perjuangan saya,” ujarnya.

Beliau mengatakan bahawa kejayaan yang diperoleh sekarang adalah hadiah untuk diberikan kepada arwah atuknya. 

Kini, Anis Syazwani memiliki minat yang tinggi dalam bidang kejuruteraan awam dan berhasrat untuk menjadi seorang jurutera awam yang dapat menyumbang kepada masyarakat dan juga negara.

Disediakan oleh Siti Nur Azwin Zulkapri, Bahagian Komunikasi Korporat Jabatan Canseleri 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri