Skip to main content

Athirah Seng Kaning terima Anugerah Kecemerlangan Dimension BID Sdn. Bhd.

PAYA BESAR, 6 November 2022 – Anak kepada seorang buruh, Athirah Seng Kaning, 23 menerima Anugerah Kecemerlangan Dimension BID Sdn. Bhd pada Majlis Konvokesyen UMP Ke-17 yang diadakan di Dewan Kompleks Sukan UMP.

Athirah graduan Sarjana Muda Sains Gunaan (Kepujian) Teknologi Bahan dari Fakulti Sains dan Teknologi (FSTI) berazam untuk mengubah nasib keluarganya menjadi azimat sepanjang pengajian tersebut.

Anak kelahiran Terengganu berdarah kacukan yang mana bapanya Seng kaning, 62, berasal dari Pattani, Thailand. 

Namun telah bermastautin di Terengganu hampir 30 tahun. 

Ibunya Rahimah Mohd Nor, 55 yang merupakan seorang suri rumah sentiasa menyokong minat Athirah yang merupakan anak kelima daripada lapan adik-beradik.

Athirah Seng Kaning terima Anugerah Kecemerlangan Dimension BID Sdn. Bhd.

Athirah memasang hasrat ingin menjadi seorang jurutera yang berjaya pada masa hadapan.

Katanya, beliau berhasrat untuk menyambung pelajaran dan kini bekerja sambilan sebagai juruwang untuk mengumpul duit agar tidak membebankan keluarga.

“Para pensyarah UMP sentiasa mengambil berat tentang pelajar dan sedia membantu jika pelajar menghadapi masalah terutamanya dalam pelajaran.

“UMP juga sangat menitikberatkan kepentingan untuk pelajar mendapat latihan praktikal yang secukupnya dalam setiap subjek. 

“Contohnya, saya sebagai pelajar dari program teknologi sentiasa mendapat latihan makmal. 

“Saya bersyukur dapat menyiapkan projek akhir kerana bagi saya ia memerlukan proses dan usaha yang sangat jitu,” katanya.

Memegang prinsip untuk sentiasa membaiki kelemahan diri menjadi kekuatan buatnya mencapai kejayaan sehingga sekarang.

Beliau juga berkongsi pengalaman dan seronok dapat melibatkan diri di dalam pelbagai aktivi yang dianjurkan oleh UMP sebelum PKP disebabkan oleh pandemik COVID-19.

Katanya, pandemik COVID-19 memang mencabar tahap kesabaran semua pelajar dalam menghadapi sesi pembelajaran secara dalam talian. 

“Namun begitu, bagi saya hidup mesti diteruskan dan mengharungi apa jua rintangan yang datang demi sebuah kejayaan. 

“Pastinya kenangan bersama UMP tidak akan dilupakan di sepanjang hayat saya,” ujar beliau. 

Disediakan oleh: Norhidayah Mohamad, Bahagian Komunikasi Korporat Jabatan Canseleri

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Norhidayah binti Mohamad