Skip to main content
Chan Xue Ling raih Hadiah Kecemerlangan Ir. Kee Book Hee, graduan cemerlang Kejuruteraan Awam UMPSA

Chan Xue Ling raih Hadiah Kecemerlangan Ir. Kee Book Hee, graduan cemerlang Kejuruteraan Awam UMPSA

PEKAN, 2 November 2026 – Kecemerlangan akademik dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.93, kepimpinan mahasiswa serta komitmen terhadap pembangunan profesional melayakkan Chan Xue Ling menerima Hadiah Kecemerlangan Ir. Kee Book Hee bersempena dengan Majlis Konvokesyen Ke-21 Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). 

Anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dengan Kepujian yang berjaya memperoleh Anugerah Dekan pada setiap semester. 

Beliau turut memperoleh Diploma Kejuruteraan Awam di UMPSA dengan PNGK 3.80, selain menerima Anugerah Pelajar Terbaik Fakulti dan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Sepanjang pengajian, Chan Xue Ling aktif dalam pembangunan mahasiswa dan diberi kepercayaan sebagai Pengerusi Institution of Engineers, Malaysia (IEM)-UMPSA Student Section serta Naib Presiden Kelab Badminton UMPSA. 

Beliau turut menyertai persembahan kebudayaan sebagai 24 Festive Drum Performer.

Penglibatan tersebut membentuk disiplin, keyakinan diri, kemahiran komunikasi dan keupayaan bekerja dalam pasukan. 

Cabaran mengimbangi akademik dengan tanggungjawab kepimpinan turut mengajarnya mengurus masa, menyusun keutamaan dan melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

Beliau memperoleh pengalaman industri menerusi latihan sebagai Jurutera Tapak di DAC Properties Sdn. Bhd. dan pelatih Building Information Modelling (BIM) di Arup Jururunding Sdn. Bhd. 

Pengalaman itu merangkumi pemeriksaan struktur, pemantauan pembinaan serta pemodelan struktur menggunakan perisian Autodesk Revit bagi beberapa projek.

Kini, beliau berkhidmat sebagai Graduate Civil Engineer di Jacobs Engineering Group Malaysia dalam pasukan Bridge Engineering. 

Tanggungjawabnya meliputi reka bentuk dan analisis struktur jambatan, pengiraan kejuruteraan, pemodelan struktur serta semakan reka bentuk bagi projek infrastruktur.

Menurutnya, pendekatan pembelajaran UMPSA yang menggabungkan teori dan amali, disokong bimbingan tenaga pengajar serta peluang kepimpinan dan kokurikulum, membantu menyediakan graduan menghadapi alam pekerjaan.

Chan Xue Ling melahirkan rasa syukur dan terharu, sambil menyifatkannya sebagai penghargaan terhadap usaha dan komitmen sepanjang pengajian serta sokongan keluarga, rakan-rakan, pensyarah, senior dan penasihat.

“Bagi saya, anugerah ini membawa makna yang sangat besar kerana ia merupakan penghargaan terhadap segala usaha dan komitmen yang telah saya berikan sepanjang berada di UMPSA.

“Pengiktirafan ini juga menjadi motivasi untuk saya terus berkembang, menyumbang kepada industri kejuruteraan dan memberikan impak positif kepada masyarakat pada masa hadapan,” ujarnya. 

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada bapanya, Chan Choong Siong yang sentiasa mendorongnya untuk terus belajar dan mencuba perkara baharu.

Berpegang pada prinsip untuk sentiasa memberikan yang terbaik, beliau percaya kejayaan memerlukan usaha konsisten, disiplin dan kesediaan untuk terus belajar daripada pengalaman.

Pada masa hadapan, beliau berhasrat mengembangkan kerjaya sebagai jurutera profesional dalam bidang Kejuruteraan Awam, khususnya pembangunan infrastruktur, di samping memperkukuh kepakaran teknikal, kepimpinan dan pengurusan projek.

Kejayaan Chan Xue Ling membuktikan bahawa kecemerlangan akademik yang disertai kepimpinan, pengalaman industri dan kesungguhan untuk terus belajar mampu menjadi asas kukuh dalam melahirkan graduan berdaya saing serta menyumbang kepada kemajuan industri kejuruteraan negara.

Disediakan Oleh: Noraini Yusoff, Pusat Komunikasi Korporat

 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri