Dr. Siti Hawa terima anugerah Hadiah Kecemerlangan Inklusif Abdullah bin Ummi Maktum Kategori: Pascasiswazah
GAMBANG, 8 November 2025 - Kita merancang, tuhan yang menentukan. Kami reda dengan ketentuan ini, cuma mohon supaya semua turut mendoakan kesihatan dan keselamatan permata hati kami.
Itulah luahan seorang ibu yang hadir menggantikan anaknya, Dr. Siti Hawa Apandi, 36 yang sepatutnya naik ke pentas bagi menerima Anugerah Hadiah Kecemerlangan Inklusif Abdullah bin Ummi Maktum Kategori: Pascasiswazah tetapi tidak dapat hadir di Majlis Konvokesyen Ke-20 UMPSA yang diadakan di Dewan Kompleks Sukan UMPSA kerana kini sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan akibat jangkitan paru-paru.
Dr. Siti Hawa Apandi, yang juga merupakan mantan Presiden Kelab OkUMPSA (DAMAi) berjaya menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) daripada Fakulti Komputeran hari ini.
Ibunya Dr. Siti Hawa, Zaidah Tamjis, 62 yang hadir bersama suaminya Apandi A. Hadi, 62 menjadi wakil bagi menerima anugerah yang disampaikan oleh Pro-Canselor UMPSA, Tan Sri Dato' Sri Abi Musa Asa'ari Mohamed Nor di dewan berkenaan sebelum majlis penganugerahan kepada para graduan.
Ibunya bersyukur impian Dr. Siti Hawa untuk menggenggam segulung Ijazah Doktor Falsafah tercapai, walaupun kali ini beliau tidak dapat naik pentas untuk menerimanya sendiri.
“Apa yang kami diharapkan adalah kesihatan Hawa,” ujarnya.
Siti Hawa menghidap penyakit Spinal Muscular Atrophy (SMA) iaitu sejenis penyakit yang telah melemahkan urat sarafnya sejak kecil lagi dan menyebabkan beliau tidak boleh bergerak melainkan mendapat bantuan sepenuhnya dari ibunya, namun semangatnya tidak pernah goyah untuk menyambung pengajian di UMPSA.
Lebih istimewa apabila sepanjang pengajiannya di UMPSA, beliau berjaya menggenggam Diploma Sains Komputer (2010) dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK), 3.79, Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) (2013) dengan PNGK 3.88, Sarjana Sains Komputer (2016) dan kini Ijazah Doktor Falsafah (PhD) (2025).
Sepanjang pengajiannya di UMPSA, beliau sentiasa ditemani oleh ibu kesayangan, Zaidah Tamjis.
Malah, Zaidah merupakan insan yang cukup luar biasa dan tanpa jemu sentiasa berada di samping anaknya sama ada di asrama mahupun di dewan kuliah yang bermula semenjak pengajian peringkat diploma sehingga ke peringkat PhD.
Ketekunan dan semangat luar biasa itu turut mendapat perhatian masyarakat sehingga menerima pelbagai anugerah antaranya seperti Anugerah Khas Belia Orang Kurang Upaya (OKU) Peringkat Negeri Pahang 2024 yang disampaikan oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah pada Festival Belia Pahang sempena Hari Belia Negara Peringkat Negeri Pahang, Majlis Pengurniaan Anugerah Perdana Belia Negara dan Anugerah Khas Belia Kerajaan Pahang 2024.
Selain aktif dalam akademik, beliau sentiasa lantang bersuara khususnya di media sosial bagi membela nasib sepertinya kerana fasiliti untuk golongan OKU masih berkurang.
Zaidah turut menitipkan kata-kata semangat kepada para ibu di luar sana yang mempunyai anak-anak istimewa.
Ujarnya sebagai ibu perlu sentiasa memberi sokongan dan dorongan dalam apa jua minat anak-anak. Jangan sesekali berputus asa, katanya
Dr. Siti Hawa merupakan salah seorang daripada 4,259 graduan yang diraikan pada majis tersebut.
Disediakan Oleh: Safriza Baharuddin, Pusat Komunikasi Korporat dan Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Pembangunan Kelestarian
- 60 views