Skip to main content

Dr. Sreenath Sukumaran dan Syafiqah terima Hadiah Penyelidikan Pascasiswazah UMP

PAYA BESAR, 5 November 2022 – Dr. Sreenath Sukumaran, 29 dan Syafiqah Hanis Mohd Fauzi, 26, gembira apabila diberitahu menerima Hadiah Penyelidikan Pascasiswazah UMP bagi dalam Konvokesyen ke-17 Universiti Malaysia Pahang (UMP) baru-baru ini.
 
Ini kerana, dengan cabaran yang dihadapi sepanjang pembelajaran terutamanya ketika dunia berdepan dengan pandemik COVID-19 amat dirasai kedua-duanya.
 
Menurut Dr. Sreenath yang merupakan pelajar sarjana penyelidikan kedoktoran sepenuh masa di UMP, sewaktu dunia berhadapan dengan sekatan pergerakan, beliau di UMP juga merasai pengalaman itu terutamanya berkaitan dengan tekanan perasaan dan homesick.
 
“Namun, saya bersyukur kerana penyelia saya, Dr. Sudhakar dan UMP amnya sangat membantu saya ketika itu,” katanya yang berasal dari Ernakulam, India.

Dr. Sreenath kini sedang bekerja sebagai Penyelidik Pascakedoktoran di Tallinn University of Technology, Estonia.

Pada pendapat Dr. Sreenath sebagai pelajar sarjana penyelidikan kedoktoran sepenuh masa, UMP menyediakan platform yang hebat dalam pengajian dan seiring dengan pencapaian UMP tersenarai dalam ranking universiti dunia.
 
“Selain itu, saya juga turut dilantik sebagai Setiausaha Persatuan Pascasiswazah (PGA) dengan membantu dalam penganjuran persidangan dan bengkel.

“Saya berpendapat bahawa UMP banyak menyediakan kemudahan, tempat dan alatan pembelajaran yang mencukupi serta kelas yang selesa.
 
“Penyelia saya juga banyak membantu saya memperbaiki tesis dan menegur cara pembentangan saya serta tidak jemu memberikan nasihat dan tunjuk ajar,” katanya.
 
Berbeza pula dengan Syafiqah Hanis, graduan Sarjana Sains, beliau hanya sempat menghadiri dua kelas sahaja bersama penyelia sarjana, Ts. Dr. Norazaliza Mohd Jamil.
 
“Cabarannya adalah saya merasakan susah untuk berkomunikasi secara dalam talian dan lebih mudah untuk berbincang secara bersemuka.
 
“Tetapi itu bukanlah halangan untuk saya mencapai kejayaan, setiap sesuatu perkara pasti ada cabaran. 

“Ternyata bukan mudah untuk berjaya,” ujar Syafiqah.
 
Syafiqah Hanis kini bekerja sebagai Kawalan Kualiti dan Pengawal Dokumen merangkap pegawai penyelenggaraan di Maestro Laboratories Sdn. Bhd.
 
Tambah Syafiqah, disiplin yang beliau terapkan adalah selalu menghantar tugasan yang diberi tepat pada waktu atau siapkan sebelum waktu yang ditetapkan.
 
“Ia amat bagus diterapkan nilai seperti itu kepada setiap pelajar kerana amat berguna untuk alam pekerjaan.
 
“Tenaga pengajar yang lain yang pernah menjadi pemeriksa saya juga sangat baik tetapi tegas dalam mengajar dan menegur,” jelas Syafiqah Hanis.
 

Disediakan oleh: Norhidayah Mohamad, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri

Reports by:
Norhidayah binti Mohamad