Graduan sarat hamil tetap hadir Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-20
KUANTAN, 9 November 2025 – Seorang graduan sarat hamil mencuri perhatian apabila tetap bersemangat menghadiri Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-20 yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan, UMPSA Kampus Gambang hari ini.
Wan Zurainah Othman, 27, graduan Sarjana Sains Penyelidikan Kejuruteraan Awam dalam bidang Hidrologi kini sedang menantikan kelahiran cahaya mata sulung yang dijangka pada awal Januari 2026.
Ujarnya, saya amat teruja dapat hadir ke majlis konvokesyen ini bersama suami dan dapat berjumpa rakan-rakan sepejuangan.
“Walaupun sarat mengandung, saya tetap mahu merasai momen indah ini setelah bertahun-tahun berjuang menamatkan pengajian,” katanya ketika ditemui.
Menurut Zurainah, suaminya Muhammad Rafie Ashaari juga merupakan graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Awam UMPSA pada tahun 2021 dan kini bertugas sebagai Pengurus Kawasan di Belatiwangsa Sdn. Bhd., Perak.
“Sepanjang menuntut di UMPSA, banyak kenangan manis yang kami lalui bersama.
“Bagi saya, di sini bukan sahaja menimba ilmu akademik tetapi juga meningkatkan keupayaan soft skills melalui pelbagai program pembangunan pelajar,” tambahnya.
Zurainah turut menzahirkan penghargaan kepada penyelianya, Ts. Dr. Nurul Nadrah Aqilah Tukimat yang telah banyak membimbing dalam penyelidikan berkaitan perubahan iklim dan ramalan banjir bagi sistem lembangan sungai.
Hasil penyelidikan tersebut turut membawa kejayaan membanggakan apabila meraih beberapa anugerah antaranya pingat emas CITREX 2023 dan pingat emas ITEX 2023 menerusi aplikasi peramalan aras air sungai (Wales Simulator).
Katanya, UMPSA sangat cakna dengan kebajikan pelajar dan menyediakan suasana pembelajaran yang kondusif.
“Nasihat saya kepada pelajar, hargailah setiap detik ketika di kampus ini kerana suatu hari nanti pasti kita akan rindukan suasana pembelajaran dan persahabatan yang terjalin di sini,” ujarnya lagi.
Majlis Konvokesyen Ke-20 UMPSA yang berlangsung bermula 8 hingga 10 November ini menyaksikan seramai 4,259 graduan menerima diploma dan ijazah masing-masing merangkumi pelbagai bidang pengajian.
Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Pembangunan Kelestarian
- 125 views