Skip to main content
Hong Wai Siang terima Anugerah Sapura Industrial

Hong Wai Siang terima Anugerah Sapura Industrial

Kuantan, 10 November – Kesusahan bapa bekerja sebagai buruh binaan membakar semangat buat Hong Wai Siang, 24, untuk belajar dengan lebih gigih dan tidak menyangka usahanya selama ini membuahkan hasil apabila dinobatkan penerima Anugerah Kecemerlangan Sapura Industrial Berhad pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) Ke-13.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal (Automotif) itu ketika ditemui berkata, kepayahan hidup mereka sekeluarga menyedarkannya untuk terus belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya. Bapanya, Hong Bong Leong, 54, bekerja sebagai buruh binaan bagi menyara mereka empat beradik, manakala ibu, Ting Mee Ing, 48,seorang suri rumah.

"Ibu bapa saya tidak pernah menunjukkan kesusahan dan tanpa berputus asa mendidik  sehingga menjadi individu yang baik bukan sahaja dalam pelajaran malah keperibadian diri. Mereka sanggup memerah kudrat hanya untuk memastikan segala keperluan kami adik beradik tercapai," katanya.

Graduan yang berasal dari Lumut, Perak ini bercita-cita untuk menjadi seorang jurutera dan mampu mengubah nasib keluarganya. Tambah beliau lagi, dalam mendepani arus globalisasi yang kian mencabar ini, seorang graduan itu harus bijak dalam berkomunikasi, berfikiran kritikal serta mampu menyelesaikan sesuatu masalah. Tambahnya, seorang graduan itu seharusnya mempunyai sikap berdikari, tahu merancang masa serta mampu menghadapi cabaran.

Hong Wai Siang merupakan antara 2773 graduan yang menerima Ijazah dalam Majlis Konvokesyen UMP Ke-13.

 

Disediakan oleh Siti Nurfarmy Ibrahim dari Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim