Skip to main content
Ibu naik pentas, Amira tidak sempat hadiri majlis konvokesyen

Ibu naik pentas, Amira tidak sempat hadiri majlis konvokesyen

KUANTAN, 6 Ogos 2022 - “Berat hati hendak pergi ke Majlis Konvokesyen ini dan hendak duduk rumah saja bila teringat arwah. 

“Namun setelah dipujuk anak, Maidatul Nadia, jadi saya tabahkan hati untuk datang juga,” demikian kata-kata Nor Fariza Ismail, ibu kepada pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang meninggal dunia pada 4 Februari 2022 akibat jangkitan paru-paru.
 
Menurut Fariza, masih terngiang-ngiang suara Allahyarhamah Siti Amira Syuhada yang ingin cepat sembuh dan menghadiri majlis konvokesyennya. 

“Rupanya impiannya tidak kesampaian untuk menaiki pentas menerima skrol malah beliau sendiri yang akan mengambilnya,” katanya. 
 
Nor Fariza yang merupakan suri rumah berkata, kehilangan Allahyarhamah Amira merupakan satu kejutan selepas kehilangan suaminya, Alias Yusof pada bulan Oktober 2021 akibat COVID-19. 

Baginya kehilangan dua insan tersayang dalam waktu yang terdekat amat menyedihkan.
 
“Tidak lama selepas arwah suami meninggal, Amira sering tidak sihat sehinggakan tidak dapat menelan makanan dengan baik. 

“Pada awalnya, beliau menyangka arwah demam kerana merindui kehilangan ayahnya.
 
“Namun semakin hari, keadaannya semakin merosot sehingga terbaring dan tidak dapat menguruskan diri tanpa bantuan,” katanya.

Katanya, arwah juga sering mendapatkan rawatan di hospital di Terengganu. 

“Ibu dan kakaknya, Maidatul Nadia yang kerap membawa arwah ke hospital.
 
“Pernah suatu ketika, tiba-tiba arwah tersedar ketika sakit dan mengatakan beliau perlu cepat sembuh agar dapat menghadiri majlis konvokesyen. 

“Kami semua terkejut dan menyangka arwah akan sembuh, tapi ini semua ketentuan Allah SWT, saya reda,” katanya yang menerima skrol anaknya yang disampaikan Pro-Canselor UMP, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor pada hari pertama Majlis Konvokesyen UMP Ke-16 di UMP Kampus Gambang.
 
Walaupun anaknya sudah tiada dan tidak menikmati detik-detik konvokesyen ini, tetapi hakikatnya beliau amat terharu dengan kejayaannya meraih Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi Industri dengan Kepujian.
 
Manakala menurut kakaknya, Maidatul Nadia ada terbaca perbualan arwah dalam aplikasi WhatApps bersama rakannya yang mengatakan keterujaan arwah Amira untuk menghadiri majlis konvokesyen tidak memberi makna buatnya apabila mengenangkan arwah ayah tak sempat menyaksikan kejayaannya.
 
“Sedih juga bila mengenangkan, tetapi saya perlu lebih kuat untuk terus menjaga ibu dan adik.  

“Kami akan simpan semua ini sebagai kenangan dan menjadi dorongan kepada adik bongsu yang masih belajar.
 
“Saya mewakili keluarga mengucapkan terima kasih kepada pensyarah dan rakan-rakan arwah sepanjang pengajiannya di UMP,” katanya yang hadir bersama adik-beradik lain.
 
Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri. 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris