Skip to main content
Ikut jejak bakti ibu bapa, Almira Damia dinobat penerima Anugerah Canselor UMPSA

Ikut jejak bakti ibu bapa, Almira Damia dinobat penerima Anugerah Canselor UMPSA

PEKAN, 31 Oktober 2026 – Jika dahulu langkah kakinya di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) hanyalah untuk menemani ibu dan bapa mencari rezeki serta menabur bakti, hari ini gelanggang yang sama menjadi saksi kejayaan manis Almira Damia binti Syahnizam, 23, apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Canselor pada Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-21. 

Anak sulung daripada tiga beradik ini membuktikan bahawa dedikasi dan kecekalan mampu mengubah impian menjadi realiti. 

Mengimbas kembali detik awal sebelum bergelar mahasiswa, Almira tidak pernah menyangka institusi tempat kedua-dua ibu bapanya berkhidmat itu akhirnya menjadi medan beliau membina masa depan sendiri. 

Ibunya, Profesor Ts. Dr. Mazlina Abdul Majid, merupakan Profesor di Fakulti Komputeran (FK) merangkap Pengarah Pusat Pengurusan dan Analitik Data UMPSA, manakala bapanya, Syahnizam Abdullah Sani, bertugas sebagai Pegawai Teknologi Maklumat di Pusat Teknologi Digital di universiti yang sama.

Ujarnya, dahulu, saya sering menemani mama dan papa datang bekerja di sini. 

“Hari ini, mama dan papa pula yang menemani saya meraikan kejayaan.

"Nama saya mungkin disebut sebagai penerima Anugerah Canselor hari ini, namun di sebalik pengiktirafan ini, terukir penat lelah serta doa mereka yang tidak terhitung nilainya. 

“Anugerah ini adalah hadiah teristimewa buat mama dan papa," luahnya.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan dalam Analitik Data dengan Kepujian dari Pusat Sains Matematik (PSM) ini menamatkan pengajian dengan rekod cemerlang Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.94. 

Bukan itu sahaja, pemegang biasiswa tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ini turut melakar pencapaian membanggakan apabila meraih Anugerah Dekan pada setiap semester. 

Minat mendalam terhadap dunia matematik dan sains komputer sejak di bangku sekolah membawa Almira meneroka bidang analitik data. 

Bagaimanapun, perjalanan bergelar mahasiswa bukan sekadar menghafal formula, menulis kod pengaturcaraan mahupun menduduki peperiksaan semata-mata. 

"Ada hari kita bersemangat, ada hari kita tertanya-tanya sama ada kita mampu lakukannya. 

“Ada tugasan yang seolah-olah tiada penghujung dan ada soalan mengambil masa berjam-jam untuk diselesaikan. 

“Namun, di sebalik kesukaran itu, alam universiti mengajar saya erti sabar, bangkit daripada kesilapan dan terus mencuba,” ujarnya. 

Tambah beliau lagi, dahulu kita menghitung hari untuk tamat pengajian, tetapi hari ini, mungkin ada antara kita yang berharap dapat mengulang walau sehari lagi kehidupan bergelar mahasiswa," 

Di luar dewan kuliah, Almira aktif mengasah kemahiran insaniah menerusi pelbagai platform. 

Sebagai Exco Akademik dan Kebajikan Persatuan Mahasiswa Pusat Sains Matematik (Mathelites), beliau giat menyantuni rakan-rakan serta mengarah program khidmat masyarakat bersama rumah anak yatim. 

Bagi Almira, aktiviti kemasyarakatan membuka matanya terhadap hakikat dunia analitik.

"Dalam analitik data, kita dilatih memahami angka. 

“Tetapi melalui khidmat masyarakat, saya sedar bahawa di sebalik setiap nombor dan data, ada manusia dan kisah yang perlu kita fahami dan peduli. 

“Ilmu itu harus digunakan untuk memberi manfaat kepada dunia," jelasnya.

Kecemerlangan beliau turut terserlah di peringkat pertandingan inovasi dan persidangan akademik antarabangsa. 

Beliau bersama pasukannya merangkul tempat kelima daripada 93 pasukan seluruh negara dalam pertandingan Malaysia Data Innovation Talent (MDIT) 2025 di Pusat Latihan Kenegaraan Lipis.  

Selain itu, beliau pernah dinobatkan penerima Best Presenter Award di ICBIIEM 2024, meraih pingat emas di I-URIID 2025 serta membentangkan penyelidikan di Melbourne, Australia dan Jepun. 

Kini melangkah ke fasa profesional sebagai Campaign Analyst di U Mobile Sdn. Bhd., Kuala Lumpur, Almira merancang untuk menimba pengalaman industri sebelum menyambung pengajian peringkat sarjana di United Kingdom. 

Berpegang teguh pada prinsip hidup ‘Que sera, sera’, beliau menyeru para mahasiswa agar berani melangkah keluar dari zon selesa, merebut peluang kepimpinan dan tidak takut berhadapan dengan kegagalan demi membina potensi diri yang holistik. 

Oleh: NOR SALWANA MOHAMMAD IDRIS, PUSAT PEMBANGUNAN KELESTARIAN (SDC)

 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri