Skip to main content

Inspirasi mendiang bapa dorong kejayaan Loganaayagi penerima Anugerah Naib Canselor 

GAMBANG, 21 Oktober 2023 – Menerima anugerah istimewa yang diberikan oleh universiti ketika majlis konvokesyen pastinya bukanlah sesuatu yang mudah.  

Ia adalah satu pengiktirafan yang memerlukan komitmen, kecemerlangan, dan dedikasi yang tinggi dari pelajar. 
 
Menurut Loganaayagi a/p M Ganesunn, penerima Anugerah Naib Canselor dalam Majlis Konvokesyen Ke-18 Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), anugerah  itu adalah satu penghormatan buat dirinya.  

Anak jati kelahiran Selangor itu merupakan seorang graduan cemerlang dalam bidang Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Tenaga dan Persekitaran).  

Beliau telah menamatkan pengajian dengan keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.81 dan memperoleh Anugerah Dekan sepanjang semester pengajiannya. 

Sebagai anak sulung dari tiga orang adik-beradik, Loganaayagi mengungkapkan bahawa dia memperoleh kekuatan dari keluarganya, terutamanya dari mendiang bapanya, M Ganesunn a/l Chelliah.  

Ayahnya yang dahulunya merupakan seorang tukang kayu dan tukang emas sentiasa menasihatinya untuk menanam semangat kerajinan dan ketabahan dalam diri. 

Namun, kehilangan yang amat mendalam melanda apabila ayahnya baharu sahaja menghembuskan nafas terakhir pada 23 September 2023.  

Sebaliknya, ibunya, Ponmani a/p V Perumal, bekerja sebagai seorang penyelia di pasar raya NSK Kepong bagi menyara kehidupan mereka sekeluarga. 

Menurut anak muda ini, kejayaan yang digenggamnya pada hari ini adalah ‘hadiah’ buat mendiang bapanya. 

“Bapa saya adalah sumber inspirasi bagi diri saya dan juga keluarga.  

“Keluarga saya juga telah mengorbankan wang ringgit demi memastikan bahawa saya mencapai kejayaan dalam meraih ijazah ini. 

“Meskipun kegembiraan hari ini tidak dapat saya kongsikan bersama mendiang bapa, namun semangatnya akan sentiasa mengiringi setiap langkah kejayaan saya,” ujarnya.  

Katanya, tekad terbesar saya adalah untuk membuat ibu, bapa dan keluarga saya bangga dengan kejayaannya.  

“Keperitan hidup juga banyak mengajar saya mengenai erti nilai ketekunan dan keazaman dalam menghadapi segala dugaan dan cabaran yang mendatang,” katanya.  

Bagi Loganaayagi, latar belakang keluarga yang sederhana tidak sekadar menjadi alasan baginya untuk berputus asa, malah menjadi pendorong bagi dirinya untuk belajar dan berusaha lebih gigih.  

Loganaayagi yang juga menerima biasiswa Yayasan Tenaga Nasional bersyukur bantuan yang diterimanya itu dapat menampung kos pembelajaran dan membuatkan dirinya lebih fokus kepada pengajian tanpa perlu terlalu bimbang tentang bebanan kewangan keluarga. 

Tidak hanya cemerlang dalam aspek akademik, Loganaayagi juga mempamerkan kepimpinan dan keaktifan yang tinggi dalam kokurikulum.  

Di UMPSA, beliau memegang jawatan penting dalam pelbagai aktiviti dan persatuan termasuk sebagai Exco dalam Hari Kanser Sedunia 2020, Exco Kem Interaksi Pemimpin Muda (Inteam) di Sekolah Kebangsaan Serandu, dan menjadi Penolong Presiden bagi Kelab Persatuan Pelajar, Society of Civil Engineering Technology Students (SCETS).  

Keanggotaan dan penyertaan aktif Loganaayagi dalam pelbagai forum, seminar, dan pertandingan di peringkat nasional dan antarabangsa juga mencerminkan minat dan kebolehan beliau dalam menonjolkan diri di arena global. 

Mengikuti jejak langkah keluarganya, Loganaayagi turut meminati bidang perniagaan dan keusahawanan.  

Kini, beliau sudah memiliki sebuah syarikat perniagaan sendiri dengan usahasama rakan kongsinya, iaitu syarikat ‘Abiti Global’ yang menjual koleksi pakaian wanita. 

Tambah pula, beliau juga pengasas bersama syarikat TechAcres Resources iaitu merupakan sebuah syarikat berasaskan teknologi pertanian. 

“Syarikat TechAcres Resources ditubuhkan dengan usahasama tujuh orang pelajar UMPSA dan seorang pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM). 

“Saya dan rakan-rakan telah bekerja keras selama dua tahun untuk membangunkan perniagaan tersebut. Dan, sehingga kini ia masih lagi beroperasi malah kami akan mengembangkan perniagaan kami dengan jalinan kolaborasi dengan beberapa industri. 

Prinsip hidup yang beliau pegang adalah sentiasa bersedia dan berusaha untuk penambahbaikan berterusan, baik dalam pembelajaran, profesion mahupun kehidupan seharian. 

“Saya sentiasa mencari peluang untuk belajar, berkembang, dan meningkatkan diri dalam setiap aspek kehidupan.  

“Saya yakin bahawa peningkatan berterusan adalah kunci kepada pencapaian kejayaan jangka panjang. 

“Saya juga berkomitmen untuk memperdalamkan pengetahuan saya, memperbaiki kemahiran dan menghayati pengalaman-pengalaman dalam kehidupan sebagai platform untuk pertumbuhan diri,” ujarnya.  

Dengan pendekatan itu katanya, beliau berharap untuk menjadi individu yang lebih baik, memberikan sumbangan positif kepada masyarakat, dan mencapai potensi yang tak terbatas dalam kehidupan. 

“Malah, saya juga berhasrat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Kedoktoran (PhD) di UMPSA melalui kemasukan secara saluran pantas (Fast Track).  

Baginya, pengalaman untuk menggengam segulung ijazah merupakan suatu perjalanan yang menggembirakan di samping berpeluang meningkatkan potensi diri ke arah yang lebih baik. 

Inspirasi mendiang bapa dorong kejayaan Loganaayagi penerima Anugerah Naib Canselor 

Disediakan oleh: Nur Ainaa Adhreena Muhamad Shukri, Pusat Komunikasi Korporat 

Reports by:
ainaa adhreena