Skip to main content

Isteri sebak terima ijazah suami, ayah naik pentas terima diploma anak

PAYA BESAR, 8 November 2022 - Suasana sebak menyelubungi dewan tatkala nama dibacakan sewaktu ahli keluarga naik ke pentas mewakili graduan dalam sesi keenam Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) Ke-17.  
 
Ana Suriana Abu Bakar dari Mersing, Johor mewakili arwah suaminya, Imran Ibrahim, 49, menerima Ijazah Master Eksekutif Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran, UMP Advanced yang disampaikan Naib Canselor UMP, Profesor Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin.
 
Menurut Ana Suriana, beliau berasa bangga dengan kejayaan arwah namun masih bersedih dan terkilan kerana arwah memang berniat untuk menghadiri majlis konvokesyennya pada tahun ini bersama anak-anak.

“Imran meninggal dunia pada 26 Mei tahun ini akibat serangan jantung ketika berehat di rumah.

“Arwah suami saya pernah menyatakan hasrat untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah kedoktoran (PhD) selepas menamatkan pengajian Master Eksekutif ini agar beliau dapat menjadi contoh kepada lima anak-anaknya.

“Saya sentiasa berdoa agar anak-anak kami dapat mengikut jejak langkah arwah bapanya untuk terus belajar tidak mengira peringkat usia sebagaimana bapanya berjaya buktikan,” katanya.

Beliau turut menzahirkan ribuan terima kasih kepada pihak UMP yang sudi memberi peluang kepada keluarganya untuk menghadiri majlis konvokesyen arwah walaupun arwah sudah tiada.

Katanya, kerjasama dari pihak UMP banyak membantunya dari pelbagai aspek dalam memudahkan urusan pengambilan ijazah arwah di atas pentas hari ini.

Turut hadir, wakil isteri arwah graduan, Maryana Mohamad Nor, 45, yang naik ke pentas untuk mengambil skrol ijazah arwah suaminya, Nazeli Mohd Noor yang meninggal dunia pada 17 Disember tahun lalu akibat kanser hati.

Ibu kepada lima cahaya mata ini berkata, arwah suaminya mempunyai semangat juang yang tinggi untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

“Arwah selalu ingatkan anak-anak menuntut ilmu adalah ibadah selain untuk meningkatkan keyakinan diri dalam mencabar keupayaan sedia ada. 

“Kejayaan ini juga memberi dorongan kepada anak-anak untuk belajar setinggi yang boleh,” ujarnya.

Sementara itu, ayah kepada Allahyarham Muhammad Adam Arami, Roselan Mohamed, 47, tidak menyangka akan naik ke pentas menggantikan anak sulungnya  untuk mengambil Diploma Kejuruteraan Elektrik.  

Isteri sebak terima ijazah suami, ayah naik pentas terima diploma anak

 
Beliau sempat berkongsi saat akhir pemergian arwah yang pada awalnya, arwah hanya demam dan menyatakan penat dan ingin berehat di bilik dalam rumahnya.

Seusai pulang dari kerja, beliau cuba mengejutkan anaknya dan pada masa itu arwah tidak menyahut mahupun bergerak lagi. 

Itulah detik terakhir beliau menatap wajah anaknya.

Ujarnya, arwah Adam seorang yang ceria, bertanggungjawab dan penyayang dengan adik-beradiknya. 

“Kehilangan anak sulung ini amat memberi kesan buat kami sekeluarga.

“Kehadiran saya dalam majlis ini untuk menghargai usaha arwah dan menjadikan dorongan kepada adik-adiknya untuk belajar bersungguh-sungguh hingga ke peringkat universiti,” katanya.

Manakala wakil keluarga graduan Master Eksekutif Pengurusan Korporat, Thivagar a/l Muthusamy yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 16 September 2022 tidak dapat hadir dalam Majlis Konvokesyen Ke-17 ini.

Disediakan oleh: Sakinah Abdullah, UMP Advanced dan Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News