Skip to main content
Kamaleshwahrran Naidu buktikan keupayaan graduan UMPSA, raih Anugerah Kecemerlangan HEI TECH

Kamaleshwahrran Naidu buktikan keupayaan graduan UMPSA, raih Anugerah Kecemerlangan HEI TECH

PEKAN, 1 November 2026 – Berbekalkan minat mendalam dalam bidang keselamatan siber, semangat keusahawanan dan kesungguhan untuk mencabar keupayaan diri, graduan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Kamaleshwahrran Naidu, membuktikan bahawa kecemerlangan akademik mampu bergerak seiring dengan pencapaian inovasi, kepimpinan dan pengalaman industri.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Keselamatan Siber) dengan Kepujian itu merupakan penerima Anugerah Kecemerlangan HEI TECH bersempena dengan Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-21 tahun 2026, selepas menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.67 dan memperoleh Kepujian Kelas Pertama.

Anugerah tersebut melengkapkan perjalanan akademiknya yang sarat dengan penyertaan pertandingan inovasi, pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta usaha membangunkan perniagaan dalam bidang keselamatan siber ketika masih bergelar mahasiswa.

Antara pencapaian yang membanggakan ialah kejayaan meraih Johan Keseluruhan (Grand Prize) dalam Huawei Mobile App Competition 2024, selain memenangi pingat emas dalam International Virtual Expo of Innovation Product and System Design (INVIDE) 2023, Digital Innovation Creativepreneurship Competition Kementerian Pendidikan Tinggi (DICE KPT) 2024 dan Creation, Innovation, Technology and Research Exposition (CITREX) 2024.

Dalam CITREX 2024, beliau turut menerima Anugerah Khas Social Impact in ICT sebagai pengiktirafan terhadap inovasi yang memberikan impak dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi.

Beliau turut meraih pingat perak dalam International Borneo Innovation Exhibition and Competition (IBIEC) 2023, International Invention, Innovation and Design Expo (INODEX) 2023, International Business and Management Virtual Innovation & Invention of Ideas Competition (VIIIC) 2023 dan International Conference on Creative and Innovative Technologies (ICE-CINO) 2024.

Keupayaannya dalam bidang keselamatan siber turut diiktiraf apabila beliau muncul sebagai pemenang PDRM Cyber Resilience Article Writing Competition 2025 serta terpilih sebagai antara lima finalis terbaik Anugerah Tokoh Siswa Negara 2025.

Pada tahun 2024, beliau turut terpilih sebagai antara lapan finalis terbaik Huawei Seeds for The Future, sekali gus mewakili Malaysia dan UMPSA dalam program pembangunan bakat teknologi tersebut. 

Beliau juga menerima pengiktirafan sebagai Ikon Inovasi UMPSA 2024.

Di sebalik pencapaian berkenaan, Kamaleshwahrran, 26, yang berasal dari Selangor, mengakui perjalanan pengajiannya bukanlah mudah apabila perlu menguruskan perbelanjaan sendiri di universiti sambil membantu ibu bapanya.

Menurutnya, sokongan dan pengorbanan keluarga menjadi antara faktor utama yang mendorongnya untuk terus berusaha mencapai kejayaan.

“Sepanjang pengajian, saya berdepan cabaran kewangan dan keluarga. 

“Saya perlu menguruskan perbelanjaan sendiri di universiti dan pada masa yang sama membantu ibu bapa. 

“Walaupun berdepan pelbagai kesukaran, saya tidak pernah berputus asa dan menjadikan cabaran tersebut sebagai pendorong untuk terus berjaya,” ujarnya. 

Beliau berkata, sejak awal pengajian, beliau menetapkan matlamat untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang yang tersedia di universiti dengan menyertai pelbagai pertandingan, hackathon dan program inovasi bagi meningkatkan kemahiran serta membina keyakinan diri.

Kesungguhan itu turut mendorong beliau bersama rakan sekuliah mengasaskan Cybersphere Solution, sebuah syarikat permulaan dalam bidang keselamatan siber yang dibangunkan ketika mereka berada di semester dua pengajian.

Katanya, pada waktu siang, kami mengikuti kuliah dan menyiapkan tugasan, manakala pada waktu malam kami menguruskan perniagaan serta mengadakan mesyuarat. 

“Walaupun memenatkan, pengalaman itu mengajar kami cara sebenar mengendalikan perniagaan, membina kerjasama dan memahami keperluan industri.

“Penyertaan dalam pertandingan juga membuka minda kami serta memberi peluang untuk berhubung dengan pakar industri. 

“Pengalaman ini banyak membentuk diri saya dan meningkatkan keyakinan untuk terus meneroka peluang dalam bidang teknologi,” katanya.

Sepanjang membangunkan Cybersphere Solution, beliau berjaya menjalin kerjasama sebagai rakan penjual semula produk Checkmarx dan rakan white-label RedCon, selain memperoleh pembiayaan akademi daripada Yayasan UMPSA pada tahun 2025. 

Beliau juga terlibat dalam pembangunan laman web persidangan antarabangsa IDARC.

Selain aktif dalam bidang keusahawanan, beliau turut memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden PEKA 5 pada tahun 2024 dan Timbalan Pengarah Hackathon Peringkat Kebangsaan pada tahun yang sama. 

Penglibatannya dalam perkongsian ilmu pula merangkumi jemputan sebagai penceramah di PTSS Alumni Talk 2023, Hackathon X dan Huawei Mobile App 2024 serta POLI TALK 2025.

Beliau turut membentangkan kertas kerja berkaitan pengesanan deepfake dalam Simposium MARS 2025, yang mencerminkan minatnya terhadap perkembangan teknologi serta cabaran keselamatan digital semasa.

Mengulas pengalaman pembelajaran di UMPSA, Kamaleshwahrran berkata, kemudahan makmal dan akses kepada pelbagai perisian teknikal membantu pelajar memperoleh pengalaman praktikal yang penting untuk menghadapi keperluan industri.

Menurutnya, pendekatan Pembelajaran Berasaskan Kerja (Work-Based Learning, WBL) yang memberi pendedahan kepada persekitaran industri selama setahun turut menjadi antara kelebihan program pengajian yang diikutinya.

“Pengalaman berada dalam persekitaran industri membuka minda saya terhadap dunia korporat sebenar dan membantu saya memahami keperluan serta cabaran pekerjaan dengan lebih mendalam.

“Pensyarah juga banyak membantu dan membimbing saya sepanjang pengajian. Gabungan pembelajaran teori, latihan amali, aktiviti makmal dan penyertaan dalam pertandingan seperti hackathon serta Capture The Flag (CTF) memberi pendedahan kepada situasi yang hampir dengan cabaran sebenar dalam industri keselamatan siber,” katanya.

Mengimbas pengalaman paling bermakna sepanjang berada di UMPSA, beliau menyifatkan pemilihannya sebagai antara lapan finalis terbaik Huawei Seeds for the Future 2024 sebagai pencapaian yang tidak akan dilupakan kerana berpeluang mewakili Malaysia dan UMPSA bersama peserta berbakat yang lain.

Selepas menamatkan pengajian, beliau memulakan kerjaya sebagai Jurutera Keselamatan Siber (Post-Sales Cybersecurity Engineer) di Ingram Micro Malaysia Sdn. Bhd. sejak bulan Mac 2026.

Dalam peranan tersebut, beliau terlibat dalam pelaksanaan penyelesaian keselamatan siber peringkat perusahaan yang merangkumi firewall generasi baharu, perlindungan titik akhir dan sistem pengurusan maklumat serta peristiwa keselamatan (SIEM) untuk pelanggan dan rakan niaga daripada pelbagai sektor, termasuk agensi kerajaan.

Beliau juga merupakan jurulatih Fortinet Fast Track bertauliah yang mengendalikan latihan teknikal kepada agensi kerajaan, selain memperoleh pensijilan profesional berkaitan keselamatan rangkaian dan keselamatan aplikasi.

Bagi Kamaleshwahrran, penerimaan Anugerah Kecemerlangan HEI TECH bukan sekadar pengiktirafan terhadap pencapaian yang telah diraih, malah menjadi peringatan bahawa masih banyak perkara yang perlu dipelajari dan ruang untuk memperbaiki diri.

“Saya berasa sangat gembira dan bersyukur apabila dimaklumkan terpilih menerima anugerah ini. 

“Pengiktirafan ini mengajar saya untuk sentiasa bersyukur kerana masih ramai individu hebat di luar sana dan banyak perkara yang boleh saya pelajari.

“Anugerah ini menjadi pembakar semangat untuk saya terus berusaha, meningkatkan kemahiran dan mencapai kecemerlangan dalam kerjaya,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapanya, Naidu A/L A. Ramalu dan Renuga Devi A/P Raju Naidu, atas pengorbanan serta sokongan yang diberikan sepanjang perjalanan pendidikannya. 

Penghargaan turut ditujukan kepada ahli keluarga, nenek, mentor dan rakan-rakan yang banyak membantu beliau sehingga berjaya menamatkan pengajian.

Dalam merancang masa depan, beliau berhasrat untuk menjadi tokoh terkemuka dalam bidang keselamatan siber dan menerajui syarikat multinasional sebelum merealisasikan impian membangunkan syarikat sendiri ke peringkat yang lebih besar.

Berpegang pada prinsip bahawa cara seseorang melaksanakan sesuatu perkara mencerminkan sikapnya dalam setiap aspek kehidupan, beliau percaya bahawa disiplin, ketekunan dan kesediaan untuk terus belajar merupakan asas penting dalam membina kejayaan yang berpanjangan.

Oleh: NAQIAH PUAAD, PUSAT KOMUNIKASI KORPORAT

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri