Skip to main content
Kecemerlangan graduan UMPSA menembusi Jerman, Neil Norbert Paul rangkul Anugerah Verein Deutscher Ingenieure Award (Association of German Engineers)

Kecemerlangan graduan UMPSA menembusi Jerman, Neil Norbert Paul rangkul Anugerah Verein Deutscher Ingenieure Award (Association of German Engineers)

PEKAN, 31 Oktober 2026 – Kecemerlangan akademik, kesungguhan meneroka peluang antarabangsa dan minat mendalam dalam bidang Robotik menjadi antara faktor yang menyerlahkan pencapaian Neil Norbert Paul, graduan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang menerima Verein Deutscher Ingenieure Award (Association of German Engineers) bersempena dengan Majlis Konvokesyen Kali Ke-21 (MKK21) UMPSA Tahun 2026.

Neil, 24, berasal dari Bandar Puchong Jaya, Selangor, merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik melalui program ijazah dual antara UMPSA dengan Hochschule Karlsruhe (HKA), Jerman. 

Beliau menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.79, kelas pertama, selain menerima Anugerah Dekan bagi tujuh semester sepanjang pengajiannya. 

Pencapaian tersebut turut melayakkan Neil menerima pengiktirafan VDI, iaitu anugerah yang dikaitkan dengan kecemerlangan akademik graduan program ijazah dual UMPSA–Jerman.

Verein Deutscher Ingenieure (VDI), atau Association of German Engineers, merupakan persatuan profesional jurutera di Jerman yang terlibat dalam pembangunan bidang kejuruteraan dan teknologi. 

Anugerah VDI yang ditawarkan dalam konteks program ijazah dual UMPSA–Jerman menjadi antara pengiktirafan penting kepada graduan yang menonjol dalam perjalanan akademik mereka.

Penganugerahan ini juga mencerminkan hubungan kerjasama akademik antara UMPSA dengan Hochschule Karlsruhe yang membuka peluang kepada pelajar Malaysia untuk mengikuti pendidikan kejuruteraan berorientasikan antarabangsa, memperoleh pendedahan kepada sistem pendidikan Jerman dan mengembangkan kompetensi teknikal dalam persekitaran global.

Kerjasama UMPSA–HKA yang bermula pada tahun 2010 telah berkembang sebagai salah satu inisiatif pengantarabangsaan universiti dalam melahirkan graduan kejuruteraan yang berpengetahuan, berkemahiran dan berupaya menyesuaikan diri dengan keperluan industri. 

Gabungan pembelajaran akademik, mobiliti antarabangsa dan pendedahan industri memberikan pengalaman yang bernilai kepada pelajar dalam mempersiapkan diri untuk kerjaya profesional.

Bagi Neil, pengiktirafan VDI yang diterimanya membawa makna yang besar kerana menjadi penghargaan terhadap usaha, pengorbanan dan komitmen sepanjang menuntut ilmu. 

“Saya berasa amat bersyukur, terharu dan bangga apabila dimaklumkan terpilih menerima anugerah ini. 

“Pengiktirafan ini menjadi pembakar semangat untuk saya terus meningkatkan ilmu dan kemahiran, mengejar impian menjadi jurutera profesional serta menyumbang kepada pembangunan teknologi dan industri robotik di Malaysia,” ujarnya. 

Perjalanan akademik Neil diperkukuh melalui peluang mobiliti selama tiga semester di Hochschule Karlsruhe, Jerman, dari tahun 2024 hingga 2026, merangkumi pengalaman pembelajaran, latihan industri dan penyediaan tesis sarjana muda. 

Peluang ini bukan sahaja memperluas pengetahuan teknikal beliau, malah membentuk keupayaan menyesuaikan diri dalam persekitaran pembelajaran dan pekerjaan antarabangsa.

Antara pengalaman paling bermakna ialah menjalani latihan industri di Continental Automotive Technologies, Jerman, dari bulan Mac hingga Ogos 2025, sebagai Jurutera Pengujian Sistem bagi robot mudah alih autonomi (Autonomous Mobile Robot, AMR).

Sepanjang latihan tersebut, beliau terlibat dalam perancangan dan pelaksanaan ujian fungsi, keselamatan serta integrasi sistem AMR. 

Beliau turut membantu menyediakan dan mengesahkan kes ujian bagi penderia, navigasi dan kawalan pemacu, selain melaksanakan automasi ujian melalui penulisan skrip bagi meningkatkan kecekapan proses pengujian.

Pengalaman teknikal itu diteruskan melalui pelaksanaan tesis sarjana muda di AUMOVIO, Rheinböllen, Jerman, dari September 2025 hingga Februari 2026. 

Kajian beliau memberi tumpuan kepada reka bentuk dan visualisasi medan keselamatan untuk robot mudah alih autonomi, termasuk pengumpulan serta analisis data dan pengoptimuman alat visualisasi berdasarkan keperluan pengguna. 

Penglibatan dalam projek industri sebenar ini memberi peluang kepada Neil untuk mengaplikasikan pengetahuan teori dalam menyelesaikan permasalahan teknikal, di samping memahami keperluan industri automotif terhadap sistem robotik yang selamat, cekap dan boleh dipercayai.

Menurutnya, antara cabaran terbesar sepanjang pengajian ialah menyesuaikan diri dengan persekitaran, budaya dan sistem pembelajaran yang berbeza di Jerman, selain menghadapi tuntutan akademik serta komunikasi dalam bahasa asing. 

Bagaimanapun, pengalaman tersebut mengajarnya untuk menjadi lebih berdikari, berdisiplin dan tabah dalam menghadapi kesukaran. 

Beliau turut berjaya mencapai tahap penguasaan bahasa Jerman B2 sebelum meneruskan pengalaman pembelajaran dan profesional di negara tersebut.

Selain memberi tumpuan kepada akademik, Neil turut aktif dalam kegiatan kokurikulum dan kepimpinan pelajar sepanjang berada di UMPSA. 

Beliau pernah memegang jawatan sebagai Presiden Kelab Catur UMPSA bagi sesi 2022/2023 dan terlibat dalam penganjuran bengkel catur serta kejohanan di peringkat kebangsaan.

Minat mendalam dalam bidang teknologi turut diterjemahkan melalui penyertaannya dalam Pertandingan Robotik ABU Robocon Malaysia pada tahun 2022 dan 2023 sebagai Ketua Pengaturcaraan (Lead Programmer). 

Dalam pertandingan tersebut, beliau bertanggungjawab mengintegrasikan penderia ke dalam sistem mekatronik bagi tujuan automasi, dengan pasukan mencapai kedudukan dalam kelompok lapan terbaik.

Pengalaman tersebut mengukuhkan kemahiran penyelesaian masalah, pengaturcaraan dan kerja berpasukan, selain membina keyakinan untuk berhadapan dengan cabaran teknikal yang memerlukan pemikiran analitikal dan kreatif.

Neil berpandangan bahawa kekuatan UMPSA terletak pada penekanan terhadap pembelajaran praktikal, penyelesaian masalah sebenar dan kerjasama industri. 

“Kemudahan makmal, bimbingan tenaga pengajar, aktiviti kepimpinan serta peluang mobiliti antarabangsa turut membantu para pelajar membangunkan kemahiran teknikal dan insaniah secara seimbang.

“Saya percaya bahawa gabungan pengalaman akademik, penglibatan kokurikulum dan pendedahan industri merupakan nilai tambah penting yang membolehkan graduan UMPSA menyesuaikan diri dengan keperluan dunia pekerjaan yang semakin kompetitif,” katanya. 

Selepas menamatkan pengajian sarjana muda, Neil kini meneruskan pengajian dalam program Erasmus Mundus Joint Master in Mechatronic Engineering (EMJM EU4M). 

Program tersebut membawanya ke Hochschule Karlsruhe, Jerman, bagi tempoh 2026 hingga 2027, sebelum meneruskan pengajian di University of Skövde, Sweden, dari tahun 2027 hingga 2028. 

Beliau berhasrat untuk menjadi jurutera profesional yang berkemahiran tinggi dalam bidang Robotik dan Mekatronik, di samping menimba pengalaman antarabangsa bagi memperkukuh kepakaran sebelum kembali menyumbang kepada pembangunan industri teknologi di Malaysia.

Lebih jauh daripada itu, Neil menyimpan impian untuk menubuhkan sebuah syarikat robotik di Malaysia yang mampu menghasilkan teknologi dan penyelesaian automasi tempatan. 

Usaha tersebut diharapkan dapat mengurangkan kebergantungan terhadap teknologi luar dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

Bagi Neil, sokongan ibu bapa dan keluarga, doa, disiplin diri serta kesediaan untuk keluar daripada zon selesa merupakan antara penyumbang utama kepada kejayaannya. 

Malah, beliau turut merakamkan penghargaan kepada UMPSA, para pensyarah dan semua pihak yang membantunya sepanjang perjalanan akademik.

Beliau juga berharap agar UMPSA terus memperluas peluang pendidikan dan kerjasama antarabangsa supaya lebih ramai pelajar berpeluang mengembangkan potensi diri serta bersaing di peringkat global.

Kejayaan Neil Norbert Paul membuktikan bahawa kecemerlangan graduan bukan sekadar diukur melalui pencapaian akademik, tetapi turut merangkumi keberanian meneroka peluang baharu, keupayaan mengaplikasikan ilmu dalam industri dan kesungguhan membina masa depan yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Penerimaan Verein Deutscher Ingenieure Award pada MKK21 UMPSA 2026 menjadi satu pengiktirafan bermakna dalam perjalanan beliau, sekali gus membawa harapan agar kepakaran yang diperoleh di peringkat antarabangsa dapat dimanfaatkan untuk memacu kemajuan robotik, automasi dan teknologi tempatan pada masa hadapan

Oleh: HALIZAN MOHMOOD, PUSAT SAINS MATEMATIK (PSM)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri