Skip to main content

Kejar impian Jurutera Kimia, Hiew Tzeching terima Anugerah Kecemerlangan BASF PETRONAS Chemicals

GAMBANG, 9 November 2025 – Keazaman dan semangat tinggi dalam bidang Kejuruteraan membuahkan hasil apabila Hiew Tzeching, 24 graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dengan Kepujian dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan BASF Petronas Chemicals Sdn. Bhd. pada Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-20 yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan, UMPSA Kampus Gambang hari ini.

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu berjaya mengekalkan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.95, membuktikan kecemerlangannya bukan sahaja dalam bidang akademik, tetapi juga dalam kemahiran teknikal dan penyelidikan.

Menurut Hiew Tzeching atau lebih mesra di sapa Evelynn, kejayaan tersebut amat bermakna kerana ia adalah hasil usaha gigih dan sokongan berterusan daripada keluarga serta para pensyarah.

“Saya percaya tiada kejayaan yang dapat dicapai tanpa sokongan keluarga, terutamanya ibu bapa saya yang sentiasa memberi semangat untuk terus berusaha dan tidak mudah berputus asa,” katanya.

Meraih Anugerah Dekan pada setiap semester baik di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda, beliau turut berkongsi bahawa pendekatan pembelajaran berasaskan amali (hands-on) di UMPSA menjadi faktor penting dalam membentuk kemahiran sebenar seorang Jurutera Kimia.

Ujarnya, UMPSA menyediakan pembelajaran berasaskan hands-on melalui makmal yang direka bentuk mengikut susun atur sebenar kilang. 

“Kami juga perlu mematuhi garis panduan keselamatan industri sepenuhnya termasuk pemakaian Peralatan Pelindung Diri (PPE) yang membantu untuk memahami suasana sebenar loji pemprosesan. 

“Apabila sudah bertekad melakukan sesuatu, saya tidak akan menoleh ke belakang. 

“Setiap langkah mesti diteruskan hingga berjaya,” begitulah prinsip yang dipegang teguh anak kepada pasangan Hiew Fatt Choy, 60 dan Wong Wai Leng, 56 ini. 

Katanya, terus belajar, jangan mudah berputus asa, dan percayalah pada keputusan yang telah dibuat.

“Usaha berterusan pasti membuahkan hasil,” tambahnya lagi. 

Evelynn kini berkhidmat di ExxonMobil Business Support Centre Malaysia Sdn. Bhd. sebagai Manufacturing Process Engineer.

Disediakan Oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim