Skip to main content
Kejayaan yang tidak diduga, Anugerah Pro-Canselor jadi kenangan terindah Tai Xiao Ying

Kejayaan yang tidak diduga, Anugerah Pro-Canselor jadi kenangan terindah Tai Xiao Ying

PEKAN, 31 Oktober 2026 – Kecemerlangan akademik yang disulami komitmen kepimpinan, kreativiti dan semangat untuk terus mencabar kemampuan diri menjadi pencapaian bermakna buat graduan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Tai Xiao Ying, 24, apabila terpilih sebagai penerima Anugerah Pro-Canselor bersempena dengan Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-21.

Anugerah disampaikan oleh Pro- Canselor UMPSA, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor pada sesi pertama yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor (DTC), UMPSA Pekan.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Teknologi Grafik dan Multimedia) dengan Kepujian itu membuktikan kesungguhan dalam bidang akademik apabila berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.88 serta menerima Anugerah Dekan sebanyak tujuh semester sepanjang pengajiannya di UMPSA.

Anak sulung daripada dua orang adik-beradik itu menyifatkan pemilihan sebagai penerima Anugerah Pro-Canselor sebagai satu penghargaan yang amat bermakna dan di luar jangkaannya.

“Apabila dimaklumkan terpilih menerima anugerah ini, saya berasa sangat terkejut, gembira dan bersyukur. 

“Bagi saya, anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan terhadap pencapaian akademik, tetapi juga penghargaan terhadap segala usaha, komitmen dan kesungguhan saya sepanjang menuntut di UMPSA.

“Kejayaan ini akan terus menjadi dorongan untuk terus memperbaiki diri dan memberikan yang terbaik dalam setiap peluang yang diterokai pada masa hadapan,” ujarnya.

Selain cemerlang dalam akademik, Tai Xiao Ying turut membuktikan kebolehannya dalam menghasilkan inovasi apabila projek tahun akhirnya bertajuk ‘BioAR: An Augmented Reality Application for Learning Biology’, berjaya meraih Silver Award dalam FYPro-Com Exhibition bagi Semester I Sesi 2025/2026.

Projek tersebut menggabungkan teknologi Augmented Reality (AR) dengan pembelajaran biologi bagi menawarkan pendekatan pembelajaran yang lebih interaktif dan menarik.

Katanya, sepanjang pembangunan projek berkenaan, beliau berhadapan dengan pelbagai cabaran, khususnya dalam memastikan setiap fungsi aplikasi dapat dibangunkan seperti yang dirancang.

“Pengalaman membangunkan BioAR mengajar saya tentang kepentingan kesabaran, ketekunan dan kesediaan untuk terus belajar. 

“Saya perlu mencari penyelesaian, membuat penambahbaikan dan mempelajari perkara baharu sehingga projek ini berjaya disiapkan.

“Melihat idea yang dirancang dapat direalisasikan menjadi sebuah produk memberikan kepuasan tersendiri. 

“Penerimaan Silver Award pula menjadi bukti bahawa usaha dan komitmen yang dicurahkan telah membuahkan hasil,” ujarnya.

Sepanjang berada di UMPSA, beliau turut aktif menyertai pelbagai program dan aktiviti universiti yang membantu mengembangkan kemahiran kepimpinan, komunikasi, kerja berpasukan serta pengurusan organisasi.

Antara penglibatan beliau termasuk mengetuai Jabatan Reka Bentuk dan Multimedia bagi UMPSA X Huawei AppGallery Mobile App Competition 2024 serta MLBB: Rise of Champions Tournament 2023. 

Beliau turut menyumbang sebagai bendahari Minggu Kempen Cakna Trend Jenayah Siber pada Oktober 2024, fasilitator Digital Art Workshop and Exhibition 2024 serta ketua pasukan multimedia dan publisiti bagi Huawei Open Day: Intelligent World 2030.

Pengalaman menggalas tanggungjawab dalam pelbagai program tersebut memberikan ruang kepada Xiao Ying untuk mengimbangi kecemerlangan akademik dengan pembangunan kemahiran insaniah.

Menurutnya, antara cabaran terbesar sepanjang pengajian ialah mengurus masa antara tugasan akademik, pembangunan projek dan aktiviti kokurikulum.

Namun, cabaran itu mendidiknya supaya lebih berdisiplin, menetapkan keutamaan dan merancang masa dengan lebih sistematik bagi memastikan setiap tanggungjawab dapat dilaksanakan dengan baik.

Beliau turut menyifatkan pendekatan pembelajaran di UMPSA yang menggabungkan pengetahuan teori dengan pengalaman praktikal sebagai antara faktor yang membantunya mengembangkan potensi diri.

Selain bimbingan para pensyarah, tugasan berkumpulan dan peluang menyertai pertandingan turut membuka ruang untuk beliau bertukar idea, meningkatkan keyakinan serta mempelajari kemahiran baharu di luar bilik kuliah.

Bagi Xiao Ying, kejayaan bukan sekadar diukur melalui pencapaian akademik, sebaliknya turut bergantung pada kesediaan seseorang untuk belajar daripada kesilapan, berani mencuba perkara baharu dan tidak mudah berputus asa ketika menghadapi cabaran.

Prinsip itu menjadi pegangan beliau sepanjang pengajian, khususnya ketika perlu keluar daripada zon selesa untuk meneroka pengalaman dan peluang baharu.

Mengulas perancangan masa hadapan, beliau berharap dapat membina kerjaya dalam bidang teknologi yang bersesuaian dengan minat dan kemahirannya, khususnya dalam bidang yang menggabungkan teknologi, kreativiti dan pengalaman pengguna.

Beliau juga berhasrat untuk terus meningkatkan pengetahuan serta kemahiran agar mampu menghasilkan penyelesaian teknologi yang bermanfaat kepada masyarakat.

Di sebalik kejayaan yang diraih, Xiao Ying menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa, para pensyarah dan rakan-rakan yang sentiasa memberikan sokongan serta dorongan sepanjang perjalanan pengajiannya.

Katanya, pengorbanan dan kepercayaan ibu bapa menjadi sumber motivasi terbesar untuk terus berusaha, manakala bimbingan pensyarah dan sokongan rakan-rakan banyak membantunya menghadapi cabaran akademik.

“Antara hasrat terbesar saya adalah untuk membalas jasa ibu bapa yang telah banyak berkorban demi kejayaan saya. 

“Saya berharap pencapaian ini dapat membanggakan mereka dan membolehkan saya memberikan kehidupan yang lebih baik kepada mereka pada masa hadapan,” katanya.

Beliau turut menitipkan pesanan kepada pelajar UMPSA agar tidak terlalu membandingkan perjalanan masing-masing dengan orang lain, sebaliknya terus berusaha, berani mencuba dan menjadikan setiap pengalaman sebagai ruang untuk belajar.

Bagi Xiao Ying, penerimaan Anugerah Pro-Canselor bukanlah noktah kepada perjalanan kejayaannya, tetapi permulaan kepada fasa baharu untuk terus berkembang, membina kerjaya dan menyumbang kepada masyarakat.

Oleh: SITI NURFARMY IBRAHIM, PUSAT KOMUNIKASI KORPORAT

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri