Skip to main content
Konsisten terima Anugerah Dekan, Nur Faqihah dinobat penerima Anugerah Kecemerlangan Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Farmaseutikal) UMPSA

Konsisten terima Anugerah Dekan, Nur Faqihah dinobat penerima Anugerah Kecemerlangan Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Farmaseutikal) UMPSA

PEKAN, 1 November 2026– Kecemerlangan akademik yang disertai disiplin, minat mendalam terhadap bidang kejuruteraan dan sokongan keluarga membawa graduan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Nur Faqihah Sahlan, 23, menerima Anugerah Kecemerlangan Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Farmaseutikal) pada sidang kedua Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-21 yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor (DTC), UMPSA Pekan.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Farmaseutikal) dengan Kepujian itu memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.93 dan menerima Anugerah Dekan bagi setiap tujuh semester pengajiannya. 

Anak ketiga daripada tiga orang adik-beradik yang berasal dari Johor Bahru, Johor itu turut mengukir pencapaian dalam bidang penyelidikan dan inovasi apabila memperoleh pingat gangsa menerusi pembentangan projek tahun akhir pada 16th Creation, Innovation, Technology & Research Exposition (CITREx) 2026.

Beliau turut menerima Best FYP Poster Presentation Award pada tahun yang sama dan terlibat sebagai penulis bagi kertas penyelidikan yang sedang disediakan untuk penerbitan jurnal.

Menurut Nur Faqihah, pengiktirafan tersebut amat bermakna kerana mengingatkannya kepada pengorbanan ibu bapa, Jazariah dan Sahlan, serta sokongan yang diterima sepanjang tempoh pengajian.

“Apabila mendapat tahu bahawa saya terpilih menerima anugerah ini, saya berasa sangat gembira, terharu dan bersyukur. 

“Saya teringat akan pengorbanan ibu dan ayah serta sokongan mereka sepanjang saya belajar. Saya berharap pencapaian ini dapat membanggakan mereka,” ujarnya. 

Sepanjang berada di UMPSA, Nur Faqihah turut aktif dalam kegiatan kokurikulum melalui Kelab Espansia apabila memegang jawatan sebagai Activity Exco bagi sesi 2024 hingga 2025. 

Beliau juga diberikan kepercayaan untuk mengendalikan program Spanish Biweekly Workshop sebagai pengarah program.

Penglibatan tersebut memberinya pengalaman dalam merancang aktiviti, menyelaras tugasan dan bekerjasama dengan ahli jawatankuasa. 

Di samping itu juga, beliau turut menyertai Student Mobility Programme anjuran ITS–UTP–UMPSA pada tahun 2025 di Institut Teknologi Sepuluh Nopember (ITS), Indonesia, yang membuka ruang untuk bertukar pengetahuan dan mengenali persekitaran pembelajaran yang berbeza.

Bagi Nur Faqihah, kemudahan makmal, peralatan dan mesin yang disediakan UMPSA, di samping bimbingan para pensyarah, membantu beliau memahami aplikasi ilmu kejuruteraan dalam industri sebenar serta membina asas sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Kini, beliau memulakan kerjaya sebagai Associate Process Engineer di Heraeus Materials Malaysia Sdn. Bhd.

Dalam perkembangan kerjayanya, Nur Faqihah berharap dapat terus meningkatkan kemahiran, memperluas pengetahuan dalam bidang kejuruteraan dan merealisasikan hasrat untuk melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) sekiranya diberikan peluang.

Beliau berpegang pada prinsip hidup, “Do your best to get what you want, but always love yourself,” yang membawa maksud bahawa setiap individu perlu berusaha bersungguh-sungguh mencapai matlamat, namun pada masa yang sama menghargai diri sendiri dan tidak mudah berputus asa apabila berhadapan dengan cabaran.

Nur Faqihah turut menitipkan pesanan kepada pelajar yang masih menuntut di universiti agar berani mencuba perkara baharu, memanfaatkan peluang yang tersedia dan tidak terlalu membandingkan perjalanan hidup masing-masing dengan orang lain.

Baginya, pengalaman akademik dan kokurikulum saling melengkapi dalam membentuk graduan yang bukan sahaja mempunyai pengetahuan dalam bidang pengkhususan, malah mampu bekerjasama, berkomunikasi dan menyelesaikan masalah.

Pengiktirafan yang diterima menjadi pembakar semangat buat Nur Faqihah untuk terus mengembangkan potensi diri, membina kerjaya dan membalas pengorbanan keluarga yang sentiasa menjadi sumber kekuatan sepanjang perjalanannya.

Oleh: SITI NURFARMY IBRAHIM, PUSAT KOMUNIKASI KORPORAT

 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri