Nurul Syahiera bukti kejayaan milik mereka yang berani mencuba
KUANTAN, 2 November 2026 – Keberanian mencuba, disiplin mengurus masa dan keazaman untuk tidak berputus asa menjadi kunci kejayaan graduan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Nurul Syahiera Abd Latip, 25, yang berjaya menamatkan pengajian dengan memperoleh Ijazah Kelas Pertama, PNGK 3.70.
Anak kelahiran Hospital Segamat, Johor yang membesar di Kuantan, Pahang ini turut membuktikan kecemerlangan akademik bukan penghalang untuk aktif dalam kepimpinan mahasiswa serta pelbagai aktiviti universiti.
Sepanjang pengajian, Nurul Syahiera menerima Anugerah Dekan selama enam semester berturut-turut daripada tujuh semester pengajian.
Beliau turut aktif sebagai Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi Sesi 2023/2024, Wartawan Kampus Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-19 dan Ke-20, wakil universiti dalam program mobiliti antarabangsa serta pengacara majlis bagi pelbagai program rasmi universiti.
Antara pencapaian membanggakan beliau termasuk menerima Anugerah MARS Ikon Wira Bicara 2025, selepas pernah menjadi finalis pada tahun sebelumnya.
Malah, beliau turut meraih kedudukan TOP 1 MyNext Campus Ambassador pada 2025 dan pingat perak dalam CiTREX 2026.
Menurut Nurul Syahiera, penglibatan aktif dalam kepimpinan mahasiswa menuntut pengurusan masa yang teliti, terutama ketika perlu membahagikan masa antara kuliah, program universiti dan persediaan peperiksaan.
“Semasa menjadi MPP, saya tanamkan dalam diri untuk menjadi yang terbaik.
“Walaupun aktiviti sangat banyak, saya menggunakan masa dengan cermat dan sanggup menyambung ulang kaji pada waktu malam hingga pagi di bilik belajar 24 jam,” katanya.
Beliau turut berkongsi pengalaman menjalani latihan industri di PETRONAS Chemicals MTBE, Gebeng, Pahang, ketika mengikuti program Work-Based Learning (WBL).
Dalam tempoh tersebut, beliau perlu melaksanakan tugasan di industri sambil menyiapkan projek tahun akhir.
Cabaran itu berjaya diharungi dengan memperoleh PNGK 4.00 bagi pengajian akhir, sekali gus membantu beliau mencapai keputusan Kelas Pertama secara keseluruhan.
Lebih membanggakan, Nurul Syahiera menerima tawaran pekerjaan tiga bulan sebelum menamatkan latihan industrinya.
Kini, beliau berkhidmat sebagai Planner di Central Planning Department, Seatrium, Singapura, sebuah syarikat dalam industri kejuruteraan dan pembinaan marin.
Di sebalik kejayaan tersebut, beliau mengakui ibu dan arwah bapanya merupakan insan yang paling banyak memberikan dorongan sepanjang perjalanan pengajiannya.
Arwah bapanya, Abd Latip Haji Dris, merupakan bekas Penolong Pegawai Sains UMPSA, manakala ibunya, Jamiaah Noor Rahmad, bertugas sebagai Pembantu Tadbir Kanan di Pusat Teknologi Digital (DiTec) juga di UMPSA.
Menurutnya, arwah bapanya sentiasa menjadi tempat beliau merujuk setiap masalah dan turut hadir memberikan sokongan dalam pelbagai program yang disertainya, termasuk persidangan MPP, CiTREX dan program yang dikendalikannya sebagai pengacara majlis.
Beliau turut menghargai sokongan berterusan ibunya yang sentiasa meraikan setiap kejayaan, walaupun sekecil mana sekalipun.
“Arwah ayah sangat bangga apabila saya berkongsi berita diterima bekerja di Singapura.
“Ibu pula sentiasa memberikan dorongan dan memberitahu saya bahawa ibu bangga dengan setiap pencapaian saya,” katanya.
Mengimbas kembali impiannya untuk menerima anugerah konvokesyen, Nurul Syahiera berkata, hasrat itu mula tersemat sejak beliau bertugas sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) pelapor konvokesyen pada tahun pertama pengajian, iaitu pada tahun 2023.
Pengalaman melihat graduan menerima anugerah di pentas konvokesyen mendorongnya untuk berusaha meningkatkan pencapaian akademik dan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti universiti bagi merealisasikan impian tersebut.
Bagi beliau, UMPSA merupakan sebuah universiti yang menyediakan suasana pembelajaran selesa serta pelbagai peluang untuk mahasiswa berkembang, asalkan mereka berani mencari dan memanfaatkannya.
“Kalau orang lain boleh, sudah tentu saya boleh juga.
“Jika saya tidak mencuba, saya tidak akan tahu keindahan kejayaan yang menanti.
“Saya berani mencuba dan jika gagal, saya tidak akan berputus asa,” katanya.
Beliau berharap segala usaha dan pengorbanan yang dilakukan dapat membawa kebahagiaan kepada dirinya serta membolehkannya menikmati kehidupan yang tenang bersama ibunya, selain terus mengenang jasa arwah bapanya.
Mengakhiri perkongsian, Nurul Syahiera menasihatkan mahasiswa baharu agar menghargai peluang yang dimiliki, berani mencuba perkara baharu, memilih rakan yang baik dan sentiasa berusaha memberikan yang terbaik untuk diri sendiri.
“Sentiasa ingat bahawa ilmu yang kita ada masih belum mencukupi.
“Teruskan belajar dan jangan takut untuk mencuba sesuatu yang baharu,” ujarnya.
Oleh: SITI NUR AZWIN ZULKAPRI, PUSAT KOMUNIKASI KORPORAT
- 15 views
Reports by: