Skip to main content

Rindu tidak dapat bersama raikan kejayaan

PAYA BESAR, 5 November 2022 - Hari konvokesyen merupakan detik yang bersejarah buat para graduan dan keluarga meraikan kejayaan mereka setelah penat lelah menuntut ilmu selama beberapa tahun akhirnya terbalas dengan kejayaan. 

Namun, perjalanan untuk mencapai puncak ini bukanlah mudah dan pastinya mempunyai onak dan duri.
 
Bagi graduan program Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Halizan Mohmood yang kini bertugas sebagai Eksekutif Kanan di Pusat Pembangunan Usahawan Kreatif berkata, di sebalik kegembiraan bagi meraikan hari yang bermakna ini terselit juga kesedihan di sudut hatinya.

“Kejayaan yang saya nantikan ini tidak dapat diraikan bersama insan tersayang yang merupakan sumber inspirasi yang mendorong kejayaan saya selama ini.

 Rindu tidak dapat bersama raikan kejayaan

 
“Kehilangan arwah ayah tersayang semasa dalam tempoh pengajian akibat COVID-19 memberikan kesan yang mendalam buat kami sekeluarga. 

“Demi mementingkan kesihatan kedua ibu bapa, saya sanggup menanggung rindu lebih setahun tidak pulang ke kampung halaman di Shah Alam, Selangor,” katanya. 

Namun katanya, siapa sangka pada awalnya ayah sedang mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di hospital telah dijangkiti COVID-19.
 
“Lebih memeritkan apabila saya yang tinggal berjauhan hanya mampu melihat urusan pengebumian menerusi dalam talian yang dikongsikan oleh keluarga dan semuanya berlaku amat pantas. 
 
“Kehilangan ini bukan sahaja menguji kekuatan dan ketabahan kerana mendapat berita sedih tersebut di kala sedang menghadapi peperiksaan akhir semester 2 malahan tidak dapat pulang untuk melihat jenazah ayah buat kali terakhir.
 
“Ayah saya meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19 pada 23 Jun 2021 setelah ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Shah Alam,” ujarnya. 
 
Begitu juga dengan graduan MBA, Mimi Rabita Haji Abdul Wahit daripada Pejabat Naib Canselor (PNC) berkata, beliau terpaksa akur apabila perkara yang ditakuti dan dibimbangi akhirnya terpaksa diharungi apabila tiga ahli keluarganya positif COVID-19 tatkala sedang menduduki peperiksaan akhir tahun lalu.

 Rindu tidak dapat bersama raikan kejayaan

 
“Pada ketika itu, kami adik-beradik yang tinggal berjauhan memang mengharapkan adik bongsu yang berada di kampung untuk membantu ibu dan ayah sepanjang kuarantin di rumah sebelum dimasukkan di hospital akibat COVID-19,” katanya yang merupakan anak sulung daripada empat adik-beradik.
 
Ujar beliau, seolah-olah seperti dentuman halilintar yang kuat memecah gunung apabila diberitahu ayahnya, Haji Abdul Wahit Abdul Hamid, 78, dan adiknya, Muhammad Razifikri Haji Abdul Wahit, 27, terpaksa dimasukkan Hospital Kota Tinggi akibat COVID-19 tahap 4 manakala ibunya, Hajah Che Bidah Hamid, 68, berada di tahap 3 ditempatkan di Hospital Permai Johor Bahru akibat COVID-19 pada 28 Ogos 2021.

Rindu tidak dapat bersama raikan kejayaan

 
“Namun tiada siapa menyangka adik bongsu saya kemudiannya dipindahkan ke ICU di Hospital Sultan Ismail Johor Bahru (HSIJB) dan genap sepuluh hari ditidurkan, adik saya pergi menyahut panggilan Ilahi pada 18 September 2021.
 
“Pada awalnya, arwah adik tiada simptom dan kelihatan sihat sepanjang berada di hospital malah beliaulah yang banyak membantu ayah semasa di wad. 

“Saya masih teringat lagi, beliau mendoakan agar saya dapat menjawab peperiksaan dengan baik,” ujarnya yang turut diduga sekali lagi apabila kehilangan ibu mertua yang tinggal bersamanya, Hajah Miah Selamat, 88, pada 17 Disember 2021.
 
Baginya, semua orang akan diuji dan merasai kehilangan orang tersayang apabila tiba masanya. 

“Namun sebenarnya kenangan dengan mereka ini menjadi kekuatan untuk kita meneruskan kehidupan. 

“Selain itu, para pensyarah, rakan sejawat dan keluarga turut sentiasa memberi sokongan dan sumber kekuatan dalam menggapai kejayaan pada hari ini.
 
Kisah kehilangan insan tersayang ketika dalam pengajian turut dirasai graduan MBA, Zuryaty Zol daripada Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (JHEAA), yang kehilangan ayah tersayang, Zol Mat Lela yang kembali ke rahmatullah pada 23 Oktober 2021 dan Mohd. Nazmi Sahdan daripada Jabatan Pendaftar yang kehilangan abang tersayang, Nurfaizal Fariz Sahdan yang mengadap Ilahi pada 15 April 2022.  
 
Penat lelah selama tiga tahun membahagikan masa antara kerjaya, akademik dan keluarga akhirnya membuahkan hasil apabila seramai 15 graduan MBA di UMP yang mengikuti pengajian separuh masa di Fakulti Pengurusan Industri (FIM) bergraduasi dalam Majlis Konvokesyen UMP Ke-17 baru-baru ini. 

Program Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) yang ditawarkan di FIM itu menggabungkan teori, amalan dunia sebenar dan pengalaman dalam membangunkan pemimpin yang dapat menangani masalah yang kompleks, baik secara sistematik dan kreatif, untuk meningkatkan amalan perniagaan, operasi pentadbiran dan pengurusan.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad. Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris