Santai Seni Semarakkan Ekspo Konvokesyen UMP
Pekan, 27 Oktober - Penganjuran Santai Seni Warisan menyemarakkan Ekspo Konvokesyen UMP (ExpoConvo) tahun ini menjelangnya Majlis Konvokesyen UMP Kali Ke-13 yang bakal diadakan pada 10 dan 11 November depan di Kompleks Sukan UMP Gambang. Sambutan ExpoConvo ini turut membolehkan para pengunjung dalam kalangan keluarga graduan dan orang awam untuk mengenali Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan lebih dekat, khususnya keunikan Universiti ini dalam konteks program akademik dan pencapaian penyelidikan saintifiknya.
Berlangsung buat pertama kalinya di Pekan River Front di bandar Pekan, penganjuran dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni dan Pusat Sukan dan kebudayaan UMP menggabungkan acara permainan tradisional, pertandingan mewarna kanak-kanak, zumba dan persembahan kesenian yang menampilkan nyanyian dan tarian kebudayaan oleh mahasiswa UMP.
Majlis dirasmikan oleh Naib Canselor UMP, Prof. Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim. Hadir sama Ketua Pegawai Operasi UMP merangkap Pendaftar, Abd Hamid Majid, Timbalan Pengarah Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negeri Pahang, Norazlin Nordin, Dekan Pembangunan Pelajar UMP, Ts Dr. Mohamad Mat Nor dan Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan UMP, Abd Rahman Hj Safie, Pengarah Program Santai Seni Warisan 2018, Nur Ain Syazliana Mohd Adnan dan Pengarah Program Expoconvo 2018, Siti Aishah Darmawansyah.
Menurut Prof. Dato’ Sri Dr. Daing Nasir, pihaknya amat menghargai kerjasama pihak Majlis Daerah Pekan dan agensi di Pekan yang terlibat dalam menjayakan program ini terutamanya terhadap inisiatif-inisiatif yang berimpak tinggi kepada pembangunan sosioekonomi setempat.
“UMP ingin berkongsi kegembiraan atas pencapaian cemerlang universiti. Jika sebelum ini kampus UMP menjadi antara mercu tanda utama daerah Pekan, kini warga Pekan boleh tambah berbangga kerana UMP baharu sahaja disenaraikan oleh QS University Rankings sebagai universiti teknikal terbaik di Malaysia dan juga antara 188 universiti terbaik di Asia,” katanya.
Selain diberi penarafan 5 bintang, UMP turut diiktiraf sebagai universiti teknologi yang paling pesat membangun di Malaysia. Kejayaan, pencapaian dan pengiktirafan antarabangsa ini mampu meningkatkan lagi prestij UMP sebagai mercu tanda daerah Pekan yang pastinya menjadi kemegahan warga Bandar Diraja ini.
Beliau mengharapkan usaha ini dapat mengeratkan hubungan baik antara warga UMP dengan masyarakat setempat selari dengan Pelan Strategik UMP 2016-2020 dengan tema ‘Memasyarakatkan Universiti’ serta mendekatkan mahasiswa dengan komuniti.
Menurut salah seorang pengunjung, Azwi Dalily bt Sulaiman, 34, dari Ketapang Tengah, program sebegini di Pekan kerana secara tidak langsung dapat memeriahkan kawasan Pekan river front. Selain itu juga dengan program sebegini dapat membawa anak-anak meluangkan masa hujung minggu dengan pelbagai aktiviti bersama mahasiswa UMP.
Manakala Pengarah Program Expoconvo 2018, Siti Aishah Darmawansyah pula berkata Expoconvo bertemakan” Recalling Memories” pada tahun ini menampilkan pelbagai aktiviti menarik yang boleh disertai segenap lapisan masyarakat selama sebulan sehingga menjelangnya kemuncak majlis konvokesyen nanti. Antaranya aktiviti larian Black Night Run, Blush With Brush, Cake Deco Competition, Konsert Expoconvo’18, Santai bersama Da’i Syed, Kid Zone, Street Sciene @Galeri , Forum Gen-Y Health Talk dan STEM @UMP Competition.
Selain itu, terdapat juga gerai jualan, kaunter-kaunter perkhidmatan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan Raya, Tabung Haji, Ar-Rahnu, Majlis Perbandaran Kuantan untuk dikunjungi. Program ini memberi peluang kepada orang ramai untuk menyertai aktiviti serta kemudahan yang disediakan.Kepada yang berminat atau mempunyai Sebarang kemusykilan boleh hubungi urusetia di talian 09 549 2545.
UMP bakal meraikan seramai 2773 graduan bersempena dalam majlis konvokesyen kali ini. Majlis menyaksikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang merupakan Canselor UMP mencemar duli mengurniakan ijazah dan anugerah kecemerlangan kepada graduan pada sidang pertama konvokesyen.
Disediakan Nor Salwana Mohd Idris dari Bahagian Komunikasi Korporat
- 165 views