Terima sindiran takkan berjaya, Layli bukti sebaliknya
GAMBANG, 22 Oktober 2023 - Menerima sindiran mengatakan anak kepada pasangan bekas tukang jahit, Wirman Tengku Munaf, 61 dan peniaga restoran, Afni Zakaria, 58 tidak akan berjaya, akhirnya menjadi pembakar semangat buat Nur Layli Wirman, 25 untuk membuktikan tanggapan orang terhadap keluarganya salah sama sekali.
Mesra disapa dengan nama Layli membuktikan bahawa beliau mampu meraih Anugerah Dekan sebanyak lima kali sepanjang pengajian.
Di samping itu juga, beliau turut merangkul Anugerah Kecemerlangan Ir. Kee Book Hee.
Menurut Layli, kedua ibu bapanya selalu berpesan agar membuktikan kepada mereka di luar sana bahawa anak-anak mereka akan berjaya.
“Inilah pendorong saya untuk membuat yang terbaik dalam setiap apa yang saya lakukan.
“Saya percaya bahawa Allah SWT memberikan ujian sesuai dengan kemampuan diri.
"Allah SWT tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya, inilah pegangan yang selalu saya sematkan dalam diri untuk sentiasa bersabar, bersyukur dan berusaha untuk mencapai kejayaan,” ujar anak jati Selangor ini.
Mengimbas detik awal kemasukan ke UMP atau kini dikenali sebagai UMPSA, Layli berhasrat untuk menjadi pelajar pertukaran ke luar negara namun impiannya terpadam akibat pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia.
Tidak hanya itu, graduan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA) ini bertekad untuk memendekkan pengajian menjadi tiga tahun setengah atas faktor kewangan namun tetap memastikan kekal cemerlang pada setiap semester dan aktif dalam aktiviti kokurikulum.
Nur Nayli Wirma menerima penanugerahan yang disampaikan oleh Pro-Canselor UMPSA, Tan Sri Dato’ Sri Abi Musa Ashaari dalam Majlis Konvokesyen ke-18 UMPSA yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan Universiti Kampus Gambang.
Disediakan oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Pusat Komunikasi Korporat
- 119 views