UMP lancar pakej makanan ‘Ready to Eat’ guna teknologi retort
PAYA BESAR, 7 November 2022 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) melancarkan pakej makanan Ready to Eat menggunakan teknologi retort di bawah inisiatif food@campus (UMP Campus Pantry) dengan kerjasama dengan pelbagai pihak.
Pelancaran berlangsung bersempena Majlis Perasmian Festival Makanan Cita Rasa Malaysia dan Ekspo Konvokesyen 2022 yang dirasmikan Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman.
Hadir sama Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) dan Presiden Kelab Permotoran Wings Motor Gang Society (WMGS), Dato’ Ahmad Azhar Othman (Awie).
Bermatlamatkan Zero Hunger di dalam kampus, kemudahan ini menjadi persediaan bagi menyediakan makanan dan kecemasan pelajar yang berkeperluan untuk mendapatkan makanan yang sedia untuk dimakan.
Selain itu, usaha ini dirangka sebagai pelan jangka masa panjang dengan membangunkan Sustainable Campus Life Planning yang komprehensif meliputi pelan makanan, asrama, pengangkutan, peranti dan lain-lain bagi pelajar.
Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz berkata, Festival Makanan Cita Rasa Malaysia dan Ekspo Konvokesyen 2022 ini memberi peluang warga kampus dan orang ramai mengenali identiti Pahang yang terkenal dengan menu tradisi yang unik dan popular di sesebuah daerah.
“Pelbagai inisiatif bakal dilaksanakan UMP dalam mempromosikan negeri Pahang Darul Makmur yang terkenal sebagai lokasi pelancongan dan banyak tarikan lain,” katanya.
“Ini termasuklah penganjuran program-program seperti Pekan Bridge Run yang masih di dalam perancangan.
“Festival kali ini turut memberi tumpuan terhadap usaha memperkasakan penyelidikan dan inovasi dalam bidang keselamatan makanan yang menjadi tumpuan utama sebagai isu nasional dan global dalam beberapa tahun ini,” ujarnya.
Beliau berharap semoga usaha murni para penyelidik universiti ini akan membantu negara dalam memperkasakan industri keselamatan makanan.
Dalam masa yang sama turut berlangsung serahan sumbangan Bank Rakyat bagi geran keusahawanan Unientreprenuer.
Sepanjang festival turut berlangsung pertandingan masakan bertemakan menu negeri di Malaysia dan daerah di Pahang dengan kerjasama ADABI.
Turut diadakan Ekspo Niaga, Pameran Penyelidikan dan Teknologi dan Keselamatan Makanan, dan jualan produk makanan (gula madu, Pinebooster, Juzt Eat-Cat Food).
Ekspo turut diserikan lagi dengan persembahan kebudayaan dan seni silat, pertandingan mewarna, larian dan banyak lagi.
Turut diadakan jualan hasil pertanian FAMA, pelbagai produk penyelidikan UMP seperti baja, sistem pemantauan pintar, IoT, madu kelulut dan lain-lain.
Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri
- 408 views