Skip to main content
UMPSA lahirkan graduan kejuruteraan berdaya saing, bersedia kuasai teknologi masa hadapan

UMPSA lahirkan graduan kejuruteraan berdaya saing, bersedia kuasai teknologi masa hadapan

3 November 2026 | PEKAN - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) termaju di rantau ini menerusi kecemerlangan akademik, penyelidikan, inovasi serta kerjasama strategik bersama industri dan institusi antarabangsa.

Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias berkata, pencapaian universiti dalam bidang teknologi kejuruteraan pembuatan, mekatronik, mekanikal dan automotif membuktikan keupayaan UMPSA melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang bersedia memenuhi keperluan industri semasa serta menghadapi cabaran teknologi masa hadapan.

"UMPSA melalui Akademi TVET Termaju telah menerajui Asia-Pacific Advanced TVET Hub (APATH), sebuah platform kerjasama serantau yang menghimpunkan 20 institusi dan organisasi dari sembilan negara bagi memperkukuh pembangunan TVET berteraskan teknologi, inovasi dan keperluan industri.

"UMPSA turut menerima pengiktirafan TVET Industry Collaboration & Research Award pada Malaysia Education & TVET Awards 2026, sekali gus membuktikan komitmen universiti dalam memperkukuh pendidikan dan penyelidikan yang memenuhi keperluan industri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Keenam Majlis Konvokesyen Ke-21 UMPSA yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Pekan, hari ini.

Pada sesi tersebut, UMPSA meraikan graduan daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM) serta Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA).

Secara keseluruhan, UMPSA meraikan seramai 3,345 graduan pada Majlis Konvokesyen Ke-21 tahun ini, termasuk 121 graduan antarabangsa dari 17 negara.

Sehingga Oktober 2026, UMPSA telah melahirkan seramai 55,977 alumni termasuk 1,278 alumni antarabangsa yang kini berkhidmat dalam pelbagai sektor strategik di dalam dan luar negara.

Mengulas pencapaian graduan, beliau berkata, UMPSA merekodkan Graduate Marketability sebanyak 97.1 peratus dan Graduate Employment sebanyak 97.2 peratus bagi tahun 2025.

Malah, bidang Automotif dan Kejuruteraan Mekatronik turut menerima pengiktirafan enam bintang menerusi Talentbank Graduate Employability Index 2026, mencerminkan keyakinan industri terhadap kualiti pendidikan dan kompetensi graduan UMPSA.

Pendekatan pembelajaran berasaskan industri melalui Work-Based Learning (WBL) di FTKMA turut menunjukkan hasil memberangsangkan apabila sebanyak 13 syarikat mengambil pelajar program tersebut untuk bekerja.

Antaranya, seramai 15 pelajar diterima menyertai PROTON Young Talent (PYT), manakala M-Cube Engineering merekodkan kadar penyerapan pekerjaan 100 peratus bagi pelajar WBL sehingga kumpulan keempat, melibatkan kira-kira 10 pelajar.

Lebih membanggakan, ketiga-tiga pelajar kumpulan pertama program Bachelor of Mechanical Engineering Technology yang menjalani WBL di Celestica turut diserap sebagai Mechanical Design Engineer.

Dalam bidang penyelidikan, seramai 27 penyelidik UMPSA tersenarai dalam kelompok World's Top 2% Scientists 2026 berdasarkan data Stanford University dan Elsevier, termasuk lapan penyelidik FTKMA dan dua penyelidik FTKPM.

UMPSA turut memperkukuh kemudahan penyelidikan dan pengajaran apabila FTKPM menerima sumbangan sebuah mesin Injection Moulding bernilai RM300,000 daripada Polyplastics Sdn. Bhd. (HPP Deicel Sdn. Bhd.) bagi meningkatkan keupayaan latihan amali dan penyelidikan dalam teknologi pembuatan serta pemprosesan polimer.

Kepakaran penyelidik universiti juga diterjemahkan melalui pembangunan teknologi robotik autonomi taktikal TUAH hasil kerjasama UMPSA dengan DEFTECH, yang memperlihatkan potensi pembangunan sistem pintar bagi menyokong keperluan strategik negara.

Sementara itu, FTKMA turut mencatat kejayaan dalam inovasi apabila meraih dua tempat pertama pada CITREX 2026 menerusi pembangunan sistem pemeriksaan profil rel berasaskan Internet Benda (IoT) dan sistem dron pemintas berbantukan roket.

Kecemerlangan pelajar turut terserlah apabila pasukan UMPSA Motorsport dan UMPBOT muncul Juara Keseluruhan NXGV CarBot Challenge 2026, selain menjuarai kategori Pengujian Trek Autonomi dan Reka Bentuk Konsep. Pasukan AERONYX UMPSA pula meraih tempat ketiga dalam Malaysia Rocket CanSat Competition 2026.

Dalam aspek pengantarabangsaan, FTKPM mencatat kejayaan apabila 11 daripada 13 pelajar kohort pertama program ijazah dual bersama Ningxia University, China, berjaya menamatkan pengajian dalam program Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Pembuatan Termaju) dengan Kepujian.

Majlis konvokesyen kali ini turut menyaksikan graduasi sulung tujuh pelajar program Ijazah Dual Kejuruteraan Mekatronik bersama Hochschule Karlsruhe (HKA), Jerman.

Malah, kejayaan graduan program antarabangsa turut membuka laluan kepada pengajian lebih tinggi apabila Li Ziyou melanjutkan pengajian sarjana di University of New South Wales (UNSW Sydney), Australia, manakala Qou Yuqi meneruskan pengajian terus ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Zhejiang University, China.

UMPSA juga terus memperluas jaringan dalam bidang aeroangkasa menerusi kerjasama dengan The University of Edinburgh, United Kingdom, dalam teknologi angkasa serta Aviation Australia bagi pembangunan bakat industri penerbangan.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan para graduan supaya tidak hanya berbangga dengan kelayakan akademik yang diperoleh, sebaliknya menjadikan ilmu dan kepakaran sebagai asas untuk menghasilkan penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat.

"Kehebatan seorang jurutera bukan sekadar pada apa yang mampu diciptanya, tetapi pada manfaat yang diberikan kepada manusia.

"Dalam dunia yang semakin dipacu oleh kecerdasan buatan, automasi dan perubahan teknologi yang pantas, negara memerlukan generasi jurutera dan teknologis yang bukan sahaja mampu menggunakan teknologi, tetapi berani mencipta dan menguasainya," katanya.

Beliau turut menitipkan nilai K.I.T.A. yang menjadi tunjang kecemerlangan warga UMPSA, iaitu Kasih, Intelek, Tatakelola serta Amanah dan Akauntabiliti, sebagai panduan kepada graduan ketika melangkah ke alam pekerjaan dan kehidupan bermasyarakat.

Beliau turut mengingatkan graduan agar sentiasa menjaga hubungan dengan universiti, berkongsi pengalaman serta membimbing generasi seterusnya.

Mengakhiri ucapannya, beliau berharap para graduan bukan sekadar mengejar kejayaan dalam kerjaya, tetapi turut berusaha memberikan makna kepada kejayaan melalui sumbangan yang membawa perubahan positif kepada masyarakat.

"Jangan hanya bercita-cita untuk menjadi insan yang berjaya, tetapi bercita-citalah untuk menjadi insan yang memberikan makna kepada kejayaan itu.

"Biarlah dunia mengenali UMPSA bukan hanya melalui pencapaian universitinya, tetapi melalui kehebatan dan sumbangan graduannya," katanya.

Disediakan Oleh : Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri