Skip to main content
UMPSA RAI 381 GRADUAN FTKA DAN PSM, SERLAH PEMBANGUNAN INFRASTRUKTUR BERDAYA TAHAN DAN DATA BERKESAN

UMPSA RAI 381 GRADUAN FTKA DAN PSM, SERLAH PEMBANGUNAN INFRASTRUKTUR BERDAYA TAHAN DAN DATA BERKESAN

PEKAN, 2 November 2026 – Seramai 381 graduan daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA) dan Pusat Sains Matematik (PSM) diraikan dalam Sidang Kelima Majlis Konvokesyen Ke-21 Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, UMPSA Pekan, hari ini.

Daripada jumlah itu, seramai 18 graduan turut menerima anugerah dan hadiah kecemerlangan sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian akademik masing-masing.

Pro Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abi Musa Asaari Mohamed Nor dalam ucapannya menekankan kepentingan pembangunan infrastruktur yang berdaya tahan, penggunaan data secara berkesan serta perancangan yang mengambil kira keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

Katanya, dunia hari ini sedang berhadapan dengan cabaran pembangunan yang semakin kompleks. Perubahan iklim,

kejadian cuaca ekstrem, pertumbuhan bandar serta peningkatan keperluan tenaga dan sumber menuntut pendekatan yang lebih dalam merancang dan mengurus pembangunan.

Malaysia juga tidak terkecuali. Pengalaman menghadapi banjir dan tekanan terhadap kemudahan awam mengingatkan

kita bahawa pembangunan mesti mengambil kira keselamatan, ketahanan dan kelestarian.

Dalam keadaan ini, kepakaran teknikal perlu diperkukuh dengan penggunaan data dan maklumat yang tepat. 

Sebagai contoh, perancangan sistem saliran bukan sekadar memerlukan keupayaan membina struktur, tetapi juga pemahaman terhadap corak hujan, perubahan guna tanah dan kemungkinan risiko pada masa hadapan.

sesi utama dalam

“Di sinilah analitik data memainkan peranan penting. Melalui analisis yang baik, jurutera, perancang dan pembuat dasar dapat

memahami sesuatu keadaan dengan lebih menyeluruh serta membuat keputusan berasaskan bukti,” katanya. 

Namun, data yang banyak tidak semestinya menghasilkan keputusan yang bijak. Ia tetap memerlukan pertimbangan profesional, pemahaman terhadap keperluan masyarakat dan kesedaran tentang kesan jangka panjang setiap tindakan.

Beliau melihat kepakaran kejuruteraan dan analitik data sebagai dua kekuatan yang saling melengkapi. Kita bukan

sahaja perlu membina dengan lebih cekap, tetapi juga merancang dengan lebih bijaksana dan memastikan setiap pembangunan membawa manfaat yang berpanjangan.

Beliau turut mengingatkan graduan agar menjadikan integriti, ketelitian dan tanggungjawab sebagai asas dalam kerjaya profesional, selain sentiasa meningkatkan ilmu dan kemahiran bagi menghadapi perubahan teknologi.

Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias berkata, kecemerlangan penyelidikan universiti terserlah apabila seramai 27 penyelidik UMPSA disenaraikan dalam kelompok World’s Top 2% Scientists 2026, pencapaian terbaik universiti setakat ini, termasuk tiga penyelidik FTKA dan seorang penyelidik PSM.

"Bagi PSM, antara pencapaian membanggakan ialah kumpulan Boba UMPSA yang meraih tempat kedua kategori prasiswazah dalam pertandingan Data-AI-Experience (DAX) Challenge 2026 yang menghimpunkan 76 kumpulan daripada peringkat prasiswazah, prauniversiti dan sekolah.

"Kumpulan Eureka X pula meraih Naib Johan kategori Inovasi Sosial Penambahbaikan menerusi projek Math Honeycomb dalam Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif Universiti Awam Ke-18. 

"Inovasi tersebut turut diterbitkan dalam bentuk buku bagi memperluas pendekatan pembelajaran matematik, selain meraih Anugerah Persembahan Terbaik pada Majlis Apresiasi KIKSA Peringkat Negeri Pahang 2026," katanya.

Selain itu, PSM turut memperluas penyelidikan antarabangsa bersama institusi di Indonesia dengan memperoleh dana penyelidikan berjumlah RM152,000, selain melaksanakan program mobiliti dan kerjasama akademik bersama institusi di Filipina, Indonesia, China, India dan Itali.

"Malah, seramai tujuh pelajar PSM ditawarkan mengikuti program Ijazah Dual Analitik Data bersama Hebei University, China, manakala lima graduan yang diraikan pada hari ini pernah mengikuti program mobiliti selama satu semester di universiti berkenaan, “ katanya. 

Selain itu, empat mahasiswa FTKA menyertai International Summer Camp 2026 di Chongqing University, China bersama peserta dari 11 negara, manakala lapan pelajar dari Ningxia University mengikuti program mobiliti berkredit selama satu semester di UMPSA. 

Tambah  beliau  kejayaan mahasiswa dan warga akademik membuktikan keupayaan UMPSA melahirkan bakat berkemahiran tinggi serta memperkukuh reputasi universiti di peringkat antarabangsa.

Pada Majlis Konvokesyen Ke-21 tahun ini, UMPSA meraikan seramai 3,345 graduan daripada pelbagai peringkat pengajian, termasuk 121 graduan antarabangsa dari 17 negara.

Oleh : Nurhartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri