Skip to main content

Wartawan NST terima ijazah sarjana UMP

PAYA BESAR, 5 November 2022 - Kekangan masa antara keluarga dan pekerjaan dengan masa yang tidak menentu menyebabkan Alagesh a/l Theruvarul Nathan, 42 menangguhkan beberapa kali hasrat bagi menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi sejak sekian lama.

Bagaimanapun, beliau yang bertugas sebagai wartawan News Straits Times (NST) di Kuantan berkata, berkat sokongan daripada ahli keluarga memudahkan dia membahagikan masa antara kerjaya, kehidupan seharian dan keluarga.

Alagesh menerima Ijazah Sarjana Sains Pengajian Bahasa Berintegrasi Teknologi yang disampaikan Pro-Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Tan Sri Dato’ Sri (Dr’) Abi Musa Asaa’ri Mohamed Nor sempena Majlis Konvokesyen UMP Ke-17 baru-baru ini.

Katanya, bukan mudah untuk membuat keputusan pada awalnya memandangkan kerja di lapangan dan masa yang tidak menentu. 

Wartawan NST terima ijazah sarjana UMP

“Saya mula belajar pada tahun 2019 dan tamat awal tahun ini. 

“Ketika itu negara berdepan dengan pandemik COVID-19. 

“Cabaran bukan sahaja menjalani kehidupan normal baharu terhadap kehidupan harian namun pekerjaan dan belajar yang berbeza dalam masa yang sama,” ujarnya. 

Beliau amat berterima kasih pada penyelianya, Dr Wan Jumani Fauzi iaitu pensyarah Pusat Bahasa Moden (PBM) dan pensyarah lain yang banyak beri dorongan dan bimbingan.

“Walaupun kadang-kadang saya leka dengan kerja namun dia kerap menelefon untuk mengingat dan membantu saya untuk menyiap tesis,” katanya.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih atas sokongan semua pensyarah PBM serta rakan-rakan sepengajian, tanpa mereka memang sukar untuk menamatkan pembelajaran.

“Semasa belajar, saya sentiasa bahagikan masa untuk bekerja, siapkan tugasan, hadiri kelas malam dan persediaan untuk menghadapi peperiksaan,” katanya. 

Namun lebih penting adalah sokongan keluarga terutamanya isteri, Dr. S. Bavani, 39 dan anak-anak, Mishaline Sai, 8 dan Sai Taarun Nathan, 5. 

Begitu juga dengan rakan-rakan dalam industri media yang juga banyak memberi semangat buatnya untuk menamatkan pengajian dengan jayanya. 

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri  

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit