Skip to main content

Apa Selepas Haji?

Musim haji kini melabuhkan tirainya. Rata-rata yang telah menyempurnakan ibadah haji pada tahun ini amat bersyukur kerana direzekikan Allah SWT peluang untuk melunaskan tanggungjawab mengerjakan haji. Cabaran mengerjakan haji ketika di tanah suci sudah diharungi dengan penuh keimanan. Masing-masing mempunyai pengalaman yang tersendiri dan kisah yang tertentu menjadi satu pengalaman peribadi yang tidak dapat dikongsi bersama. Walaupun cabaran-cabaran yang dilalui di tanah suci sudah berjaya dihadapi, masih ada cabaran yang perlu dihadapi apabila pulang ke tanah air. Sudah tentu, jemaah haji yang pulang diibaratkan sebagai duta yang mewakili rakyat Malaysia. 

Hati dan Tingkah Laku
Ketika mengerjakan haji, para jemaah sering dinasihatkan untuk mengawal hati masing-masing dan juga memberi tumpuan sepenuhnya kepada ibadat. Sebarang lintasan hati yang menjurus kepada keburukan dan kemungkaran, haruslah dibuang serta sentiasa bersikap positif dan bersangka baik dalam segala hal. Pengawalan hati ini sudah tentu diurus dengan bijak ketika mengerjakan haji berkat dengan kesabaran dan juga menghormati tanah suci sebagai duyufurrahman. Namun, pengawalan hati ini seharusnya diteruskan walaupun para jemaah sudah selesai mengerjakan haji. Hati dan tingkah laku harus berterusan diurus dengan baik serta terkawal walaupun para jemaah bukan lagi berada di tanah suci. Tinggalkan segala perbuatan dan sangkaan buruk sebagaimana yang dilakukan ketika berada di Mekah dan Madinah. Sikap pemarah, bercakap besar, suka mengarah dan menipu seharusnya tidak lagi sebati di  dalam jiwa. Pulangnya para jemaah ke tanah air seolah-olah suci seperti kain putih.

Selain itu, sudah menjadi kebiasaan ketika di tanah suci, sifat bertolak ansur dan cuba memahami keadaan jemaah lain turut diamalkan. Dengan jutaan kehadiran jemaah haji di sana, para jemaah turut menjadikan sifat bertolak ansur satu amalan sama ada di maktab atau tempat penginapan ataupun di masjid. Para jemaah dari Malaysia sentiasa dipuji atas sikap yang bertolak ansur oleh petugas-petugas di tanah suci. Dengan memberi ruang kepada jemaah lain dan mempunyai perasaan belas serta kasihan dapat mewujudkan suasana yang harmoni dalam ketika di sana. Kebanyakan kemudahan yang digunakan di sana seperti tandas, tempat mengambil wuduk, tempat solat perlu dikongsi dan para jemaah perlulah mengambil kira para pengguna yang lain dan bukan hanya mementingkan diri sendiri. 

Apa Selepas Haji?

Disiplin dan Rutin
Sesampai sahaja para jemaah di tanah suci, jadual yang disediakan oleh Tabung Haji mahupun agen agak padat berserta dengan bimbingan yang baik. Ustaz dan ustazah mahupun mutawif sentiasa bersedia untuk berkhidmat bagi membantu jemaah ketika di sana. Dengan adanya perancangan yang baik, pengurusan masa jemaah menjadi mudah dan melancarkan perjalanan ibadah di sana. Walau bagaimanapun, ketika pulang ke Malaysia, tiada lagi jadual yang ditentukan. Semuanya bergantung kepada diri sendiri dalam menguruskan kehidupan. Di sinilah, cabaran untuk menguruskan masa khususnya pembahagian masa untuk bekerja, keluarga, beribadat dan riadah. Untuk mengekalkan momentum yang ketika di tanah suci, maka pentingnya untuk menilai dan mengutamakan apa yang patut didahulukan. Disinilah, cabaran bermula apabila konflik dalam diri yang mana ingin mengekalkan momentum yang ada ketika mengerjakan haji dan juga pada masa yang sama perlu mengambil kira hal-hal lain yang dikira penting.

Panggilan Haji dan Hajah
Gelaran haji dan hajjah merupakan satu penghargaan bagi jemaah-jemaah yang berjaya melengkapkan fardhu hajinya. Selepas menunaikan haji, seseorang lelaki biasanya akan mendapat gelaran "Haji" dan wanita mendapat gelaran "Hajjah" di depan nama mereka. Gelaran ini menandakan bahawa mereka telah menunaikan salah satu rukun Islam yang kelima.Gelaran ini kebiasaannya digunakan bagi merujuk mana-mana individu berkaitan terutamanya dalam majlis rasmi ataupun surat menyurat.Namun, gelaran itu tidak wajib digunakan. Terpulanglah kepada individu tersebut samada ingin menggunakan gelaran tersebut atau tidak. Namun, ada sesetengah yang merasakan gelaran itu patut digunakan bagi membuktikan bahawa mereka telah melengkapkan fardu haji. Sekiranya gelaran itu digunakan bagi memperingati janji yang dibuat ketika mengerjakan haji serta membuatkan seseorang itu semakin rendah diri, ia seharusnya digunakan. Walau bagaimanapun, sekiranya ia membuatkan seseorang itu membangga diri, maka gelaran tersebut seharusnya tidak digunakan.

Suri Teladan
Setelah menunaikan haji, seseorang itu diharapkan menjadi contoh yang baik kepada masyarakat. Ini termasuklah menunjukkan akhlak yang mulia, berperilaku baik, dan menjadi teladan dalam menjalani kehidupan sehari-hari sesuai dengan ajaran Islam.

Mereka yang telah menunaikan haji seharusnya berkongsi pengalaman mereka dengan ahli keluarga, rakan-rakan, dan masyarakat agar dapat dijadikan iktibar dan bukan sesuatu untuk dibanggakan. Ini boleh dilakukan melalui ceramah, sesi perkongsian, atau penulisan. Kebanyakan orang yang telah menunaikan haji akan berusaha untuk meningkatkan tahap keimanan dan ketakwaan mereka. Ini termasuk memperbanyakkan amalan ibadah seperti solat, membaca al-Quran, berpuasa sunat, dan melakukan amal kebaikan. Seseorang yang telah bergelar Haji atau Hajjah diharapkan untuk menjaga adab dan tatasusila dalam pergaulan dan amalan seharian. Ini termasuk menjaga tutur kata, menjauhi perbuatan maksiat, dan sentiasa berusaha menjadi individu yang lebih baik. Mereka yang telah menunaikan haji juga digalakkan untuk memperbaiki dan memperkukuhkan hubungan silaturahim dengan keluarga, rakan-rakan, dan masyarakat sekeliling.

Demikianlah ‘perjalanan’ haji yang sepatutnya dilihat oleh semua. ‘Perjalanan’ ini bukanlah berakhir setelah melengkapkan rukun haji tetapi ia berterusan sehinggalah ke akhir usia. Tanggungjawab bagi yang telah mengerjakan haji terbukti besar dan amanah ini haruslah dipikul dengan penuh ikhlas dan sabar. Menunaikan haji merupakan pengalaman yang sangat bermakna dan mendalam bagi setiap Muslim. Ia diharapkan membawa perubahan positif dan mendalam dalam diri individu tersebut, serta memberi impak yang baik kepada masyarakat sekeliling. Sama-sama kita doakan agar ibadah haji kita diterima dan direzekikan Allah SWT mendapat haji yang mabrur. 

Hajah Noor Azlinda Zainal Abidin
Hajah Noor Azlinda Zainal Abidin 

Penulis ialah Guru Bahasa Kanan, Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). 

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

e-mel: azlinda@umpsa.edu.my

Reports by:
Admin UMP News