Skip to main content

Dos penggalak Covid-19 mampu tingkatkan sistem imun lawan jangkitan Omicron

Pada 26 Januari 2022 yang lalu, Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin telah mengisytiharkan bahawa negara kita sedang mengalami gelombang Omicron. Ini boleh dilihat kenaikan kes positif Covid-19 secara mendadak sejak 22 Januari yang lalu.

Dalam usaha untuk menangani gelombang Omicron, kerajaan telah menyediakan dan memberi galakan kepada kita supaya mengambil dos penggalak vaksin Covid-19. Langkah ini amat penting memandangkan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub sendiri telah membuat jaminan bahawa tiada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilaksanakan pada 23 Januari 2022.

Israel merupakan negara dalam dunia yang paling awal memberikan dos penggalak seawal bulan Julai tahun lepas. Data dari negara tersebut menunjukkan dos penggalak mampu mengurangkan jangkitan Covid-19 yang teruk.

Hanya 0.5 daripada 100,000 penduduk Israel mengalami jangkitan Covid-19 yang teruk setelah menerima dos penggalak berbanding enam daripada 100,000 yang hanya lengkap dua dos vaksin.

Data terkini dari negara Qatar pula menunjukkan bahawa dos penggalak mampu meningkatkan keberkesanan vaksin kepada 50 peratus terhadap jangkitan Omicron berbanding 30 peratus keberkesanan vaksin tiga bulan selepas lengkap dua dos vaksin sahaja.

Persoalannya ialah kenapa dos penggalak sangat penting untuk mengelak jangkitan Covid-19 terutamanya varian Omicron?

Ini kerana dos penggalak mampu meningkatkan kepekatan antibodi yang boleh meneutralkan virus SARS-CoV-2 termasuk varian Omicron seperti yang ditunjukkan dalam pelbagai kajian makmal. 

Dan antibodi yang mampu meneutralkan virus SARS-CoV-2 merupakan pertahanan terpenting untuk tubuh kita dilindungi dari jangkitan Covid-19 berbanding sel T, menurut kajian yang dilakukan oleh penyelidik terkemuka dari Amerika Syarikat, Profesor Dr. Aikiko Iwasaki.  

Antibodi yang meneutralkan virus merupakan salah satu jenis antibodi yang dirembeskan oleh Sel B. Ia merupakan sel sistem imun yang bertanggungjawab mengeluarkan antibodi dan fungsi sel ini bertambah baik setelah menerima dos penggalak.

Ini disebabkan bukan sahaja kepekatan antibodi yang boleh meneutralkan virus meningkat, tetapi antibodi yang dihasilkan juga setelah pengambilan dos penggalak mampu menyerang lebih banyak sasaran kepada protein pepaku pada virus tersebut. 

Oleh sebab itu, kepekatan antibodi yang mampu meneutralkan virus dianggap sebagai petunjuk terbaik untuk menunjukkan ketahanan terhadap jangkitan Covid-19 atau keberkesanan vaksin Covid-19. 

Selain sel B, sel T juga terlibat dalam daya tahan imun terhadap jangkitan Covid-19. Satu kajian awal (belum menjalani proses peer-review) oleh sekumpulan penyelidik Amerika Syarikat mendapati fungsi sel T dalam kalangan mereka yang menerima dos penggalak lebih baik dari mereka yang lengkap dua dos vaksin Covid-19. 

Secara kesimpulan, dos penggalak Covid-19 mampu menambah baik kualiti sistem imun untuk melawan jangkitan varian baharu terutamanya Omicron. Setakat 10 Februari 2022, terdapat lebih 12 juta rakyat dewasa yang berusia 18 tahun ke atas telah menerima dos penggalak.

Walaupun jumlah penerima dos penggalak agak tinggi, namun jumlah ini hanya merangkumi 49 peratus dari mereka yang telah menerima dua dos vaksin Covid-19. 

Sehubungan itu, marilah kita bersama2 mendaftarkan diri untuk mengambil dos penggalak Covid-19. 

Ini kerana pelbagai kajian menunjukkan keberkesanan vaksin Covid-19 dan kepekatan antibodi yang meneutralkan virus berkurangan terutamanya empat bulan selepas lengkap dua dos vaksin Covid-19.

Selaras dengan slogan PICK, lindung diri lindung semua, kita seharusnya terus mengamalkan 3W (wash, wear, warn) elak 3C (crowded place, confined space, close conversation) serta mengambil vaksin dan dos penggalak Covid-19 bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Dr. Ahmad Mahfuz Gazali
Dr. Ahmad Mahfuz Gazali

Penulis ialah pensyarah kanan, Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang (UMP).

e-mel: mahfuz@ump.edu.my
 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News