Ekspedisi Sulung di Thailand: Apabila Ilmu Orienteering Menjadi Kompas Kehidupan
Di dalam dewan kuliah atau hutan rekreasi, ilmu orienteering mungkin sekadar satu silibus membaca peta dan kompas. Namun, apabila anda berada ratusan kilometer dari rumah, di negara asing, dengan poket kosong dan skrin telefon yang gelap gelita, ia bukan lagi satu sukan. Ia adalah talian hayat. Ini bukan sekadar kisah kembara dua roda biasa, tetapi sebuah ekspedisi motosikal sulung merentas sempadan Thailand yang menguji had fizikal, mental, dan membuktikan betapa berharganya ilmu yang dipelajari apabila dunia nyata meletakkan kita di ambang kebuntuan.
Pada hari pertama, deruman enjin memecah keheningan bumi Pekan, Pahang, membawa bersama debaran yang sukar ditafsirkan. Kami memacu motosikal menuju ke utara, meredah ratusan kilometer sebelum tiba di gerbang Bukit Kayu Hitam. Di sinilah, realiti kembara bermula. Tanpa mahu bergantung kepada keselesaan, kami menolak tawaran ejen dan menguruskan sendiri segala borang, insurans, dan pendaftaran motosikal (TM2/TM3). Mata dan telinga perlu sentiasa peka kerana jika silap langkah, kami boleh menjadi mangsa 'ulat' sempadan yang sentiasa menanti mangsa baharu. Perasaan melepasi pos kawalan dengan usaha sendiri memberikan kepuasan yang luar biasa.
Destinasi pertama menanti di pekan Danok. Usai menguruskan debaran sempadan, kami membiarkan diri tenggelam dalam keunikan Danok. Dari kerancakan Night Market, Kuil Gajah Putih hingga ke ketenangan Masjid Danok, kami menyusuri Danok Walk sebelum merehatkan badan. Ratusan deretan kedai yang menawarkan juadah makanan Islam yang lazat menjadi penyelamat, menutup hari pertama dengan perut yang kenyang dan semangat yang kembali membara.
Pada hari kedua, langit pagi Hat Yai menyambut kami dengan janji pengembaraan, tetapi menjelang tengah hari, cuaca bertukar menjadi ujian yang menyeksa. Perjalanan menuju ke Krabi bertukar menjadi medan tempur melawan bahang panas yang mencengkam sehingga 40 darjah Celsius. Panas aspal terasa menembus tapak kasut, dan angin yang menampar wajah terasa bagai bahang ketuhar. Fizikal kami mula goyah. Kami akhirnya ‘tewas’ di pertengahan jalan, terpaksa mencari perlindungan di pondok-pondok rehat kayu di tepi jalan. Beralaskan papan yang keras dan bertemankan debu lebuh raya, kami terlelap menumpang teduh demi memulihkan tenaga yang hampir kering.
Kejutan kembara tidak terhenti pada cuaca. Sepanjang perjalanan, kami mendapati harga petrol di Thailand umpama roda rolet kerana ia berubah-ubah mengikut stesen! Dalam kekeliruan ini, naluri orienteering mula mengambil alih. Kami menolak kebosanan lebuh raya utama dan merisikokan diri merentas jalan perkampungan pedalaman. Berbekalkan pemerhatian dan kemahiran membaca bentuk muka bumi, kami meredah laluan kampung yang tidak tersenarai dalam mana-mana panduan pelancong. Walaupun diselubungi insiden sesat yang mengundang tawa cemas, jam 5.00 petang kami berjaya menjejakkan kaki di Pantai Ao Nang, Krabi. Bunyi ombak yang memukul pantai malam itu, disusuli lawatan ke Ao Nang Night Market dan Masjid Ao Nang, menyapu bersih segala kepenatan siang hari.
Hari ketiga dan juga merupakan hari terakhir yang sepatutnya menjadi perjalanan santai pulang ke Malaysia melalui Rantau Panjang bertukar menjadi ujian paling mendebarkan. Perjalanan sejauh 8 hingga 9 jam ini menjerut kami dalam situasi krisis sebenar. Wang tunai (Baht) kami licin sepenuhnya. Lebih memburukkan keadaan, satu demi satu skrin telefon bimbit kami terpadam. Tiada Google Maps, tiada talian kecemasan, tiada terjemahan digital. Kami terputus hubungan sama sekali di tengah-tengah laluan pedalaman yang asing, dikelilingi masyarakat tempatan yang sepatah pun tidak memahami bahasa Melayu atau Inggeris.
Sejak jam 5.00 pagi, kami menunggang dalam keadaan perut kosong, gagal menemui walau sebuah kedai makanan halal di sepanjang laluan tersebut. Lapar, penat, dan cemas bergaul menjadi satu. Namun, di saat kami hampir putus asa, keajaiban manusia menjelma. Seorang hamba Allah yang langsung tidak mengenali kami, menghulurkan bantuan makanan saat matahari memacak di atas kepala. Suapan makanan sumbangan itu terasa bagaikan jamuan paling mewah dalam hidup kami; satu bukti bahawa sifat kemanusiaan tidak mengenal sempadan atau bahasa.
Kini, dengan perut yang terisi tetapi tanpa sebarang alat navigasi, kami hanya tinggal satu senjata iaitu ilmu orienteering. Kami terpaksa bergantung sepenuhnya kepada asas pandu arah seperti mencongak kedudukan matahari, membaca corak jalan, merungkai makna di sebalik papan tanda bertulisan Thai yang tidak difahami, dan mempercayai deria arah (sense of direction) secara mutlak. Setiap persimpangan adalah pertaruhan. Berbekalkan ketenangan dan kemahiran membaca alam, kami menyusuri jalan pulang. Detik jam menunjuk tepat pukul 6.00 petang apabila bayang-bayang pintu sempadan Malaysia akhirnya muncul di hadapan mata. Kami selamat.
Kembara ke bumi Gajah Putih ini telah merobek segala zon selesa kami. Ia bukan sekadar catatan perjalanan, tetapi satu pembuktian hidup bahawa ilmu tidak terhad di atas kertas. Kepada warga UMPSA, persiapkan diri dengan ilmu, keberanian, dan kemahiran, kerana suatu hari nanti, di saat teknologi gagal berfungsi dan wang tiada lagi nilainya, ilmu di dalam dada itulah yang akan membawa anda pulang dengan selamat. Terokailah dunia, kerana di dalam ketidakpastian itulah tersembunyinya guru kehidupan yang sebenar.
Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Oleh: Profesor Madya Ts. Dr. Siti Rabiatull Aisha Idris
E-mel: rabiatull@umpsa.edu.my
- 35 views
Reports by: