Skip to main content

Hari Raya Aidiladha Pelajar Antarabangsa UMPSA : Ada Cerita Tersendiri

Hari Raya Haji atau Hari Raya Aidiladha adalah salah satu perayaan terbesar yang dirayakan oleh umat Islam di seluruh dunia selain Hari Raya Aidilfitri. Hari Raya Haji disambut pada hari ke-10, 11, 12 dan 13 bulan Zulhijah setiap tahun. Perayaan ini disambut pada 17 Jun 2024 di Malaysia. 

Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mempunyai pelajar antarabangsa daripada 14 buah negara berlainan latar belakang dan budaya. Sempena hari raya ini, pelajar antarabangsa tidak ketinggalan meraikan sambutan ini dengan pelbagai kisah menarik dan penuh bermakna. Secara majoritinya, para pelajar antarabangsa UMPSA meraikan sambutan ini di dalam kampus sahaja sama ada di UMPSA Pekan atau UMPSA Kampus Gambang. Mereka akan meraikan bersama-sama dengan rakan yang berasal dari negara mereka dan pelajar antarabangsa dari negara lain. Seawal pagi, mereka akan berkunjung ke masjid UMPSA untuk menunaikan sunat di masjid UMPSA, bertakbir dan sama-sama menikmati juadah istimewa yang disediakan. 

Penulis bersama-sama komuniti pelajar antarabangsa UMPSA
Penulis bersama-sama komuniti pelajar antarabangsa UMPSA

Abdalla Idris Mohamed Mohamed Hamid pelajar dari negara Sudan memaklumkan mungkin tahun ini merupakan tahun terakhir beliau menyambut Aidiladha di Malaysia kerana berada di semester terakhir. Perasaannya bercampur gembira dan sedih kerana UMPSA bagaikan rumah keduanya setelah tujuh kali menyambut Aidiladha di sini. Semua kenangan manis dan aktiviti yang dilakukan sepanjang di negara ini akan menjadi gulungan memori yang tersimpan erat dalam kamus hidupnya. Berpeluang merayakan Aidiladha sebanyak tujuh kali dengan masyarakat di Malaysia khusus warga UMPSA sudah semestinya tidak akan dilupakannya. Pada sambutan kali ini, beliau dan rakan-rakan memilih menyambut perayaan ini di Putrajaya dan menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Besi Putrajaya. 

Abdalla Idris Mohamed Mohamed Hamid berpakaian tradisional dan berswafoto bersama rakannya dari Perak Malaysia

Hal yang sama turut dikongsi oleh Abdullah Abdul Qader Babutain dari negara Yemen yang turut sama akan menamatkan pengajiannya semester ini. Namun beliau menyambut Aidiladha di UMPSA Pekan bersama-sama kawannya dan menghabiskan masa pada waktu petangnya dengan aktiviti makan-makan di sekitar pantai berdekatan UMPSA Pekan. Kedua-dua mereka juga menzahirkan rasa syukur sepanjang pengajian mereka di sini sambutan perayaan mereka tetap meriah walaupun tanpa keluarga di sisi mereka.
 

Abdullah Abdul Qader Babutain berkaca hitam bersama rakan-rakannya selepas menunaikan solat sunat Aidiladha
Abdullah Abdul Qader Babutain berkaca hitam bersama rakan-rakannya selepas menunaikan solat sunat Aidiladha

Manakala bagi Nasiru Kamilah Oluwabusolami Adejumoke yang berasal dari negara Nigeria, sambutan kali ini beliau juga hanya menyambutnya dengan kawan-kawan di UMPSA dan tidak ke mana-mana. Beliau dan rakan-rakannya menunaikan solat hari raya di Masjid UMPSA dan kemudian menghabiskan masa dengan mengambil gambar berpakaian hari raya di sekitar kampus, menikmati juadah hari raya dan berborak-borak. Sambutan ini juga bagaikan tempoh untuk dirinya berehat sebentar kerana mereka kini berada pada minggu ulang kaji sebelum menduduki peperiksaan akhir pada minggu hadapan.  
 
 

Nasiru Kamilah Oluwabusolami Adejumoke bersama-sama rakan-rakan UMPSA
Nasiru Kamilah Oluwabusolami Adejumoke bersama-sama rakan-rakan UMPSA

Utami Meilia Ayu, pelajar antarabangsa dari Indonesia mengatakan sambutan hari raya Aidiladha di Malaysia dan Indonesia seakan-akan sama iaitu meriah dengan pelaksanaan ibadah korban. Kali ini beliau beraya di kampus bersama-sama dengan rakan dari negaranya dengan memasak pelbagai makanan Indonesia seperti sate taichan, seblak, cireng guyur, bakwan sayur dan cilok ayam. Dengan kemeriahan melakukan aktiviti memasak, beliau dan rakan-rakan dapat menghilangkan rasa rindu terhadap keluarga mereka di Indonesia dan tidak berasa keseorangan di negara asing. 

Sebaliknya, berbeza untuk pelajar bernama Raed Abdullah dari Fakulti Komputer apabila pada tahun ini beliau pulang ke negara Arab Saudi untuk menyambut perayaan ini bersama ahli keluarganya. Menurutnya, sambutan Aidiladha di Malaysia dan Arab Saudi sedikit berbeza walaupun ibadah korban dilaksanakan di kedua-dua negara. Perbezaan ini dari segi suasana kebudayaan tradisi berbeza, jenis juadah makan yang disediakan dan busana pakaian serta mereka juga akan melakukan persembahan tarian tradisional Arab bersama-sama dengan rakan-rakan mereka.  Di Arab Saudi sambutan Aidiladha disambut pada 16 Jun 2024 dan ibunya merupakan insan yang paling teruja dengan kepulangannya. Ibunya telah menyediakan pelbagai juadah makanan kegemarannya ketika sambutan ini seperti nasi Arab Kambing, Haneeth dan Kunafa. Beliau meluahkan rasa gembira dan bersyukur di atas kesempatan yang diperolehnya untuk pulang menyambut Aidiladha bersama keluarganya pada tahun ini. Beliau akan kembali ke kampus tidak lama lagi untuk meneruskan pengajiannya. 
 

Persembahan tarian tradisional Arab yang dikirimkan oleh Abdullah Raed

Seterusnya, pelajar dari negara Bangladesh iaitu Abdullah Musayeb Afeef menyatakan bahawa beliau menyambut perayaan ini di Permatang Badak Kuantan bersama-sama keluarganya. Pada pagi raya, beliau dan keluarganya akan pergi menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Sultan Ahmad Shah sebelum ke ladang ternakan lembu untuk melaksanakan ibadah korban. Selain itu, masakan istimewa seperti nasi biryani, ayam pulao, Chola, Rasmali dan Mishti Bangladesh menjadi juadah istimewa keluarganya di pagi Hari Raya Aidiladha.
 
 

Abdullah Musayeb Afeef berbaju hijau bersama rakan-rakannya, Raed Abdullah berbaju tradisional Arab dan Utami Meilia Ayu bergambar di sekitar asrama UMPSA serta pelajar antarabangsa lain di sekitar UMPSA Pekan 

Selain itu, terdapat juga pelajar antarabangsa yang mengikuti para pelajar tempatan pulang ke kampung halaman mereka dan sama-sama menyambut perayaan ini khususnya ke negeri Terengganu dan Kelantan termasuk di negeri Pahang sendiri. Lokasi yang berdekatan dengan UMPSA di Pantai Timur memudahkan pergerakan mereka. Dengan itu, mereka berpeluang mendapat pengalaman dan mencipta hubungan mesra dengan keluarga rakan-rakan Malaysia mereka. Bagi pelajar antarabangsa yang bukan beragama Islam, mereka juga berpeluang merasai sendiri suasana hari raya di negara ini dan mempelajari sesuatu yang baru mengenai jenis-jenis perayaan yang disambut di Malaysia. 

Keunikan, sikap toleransi dan hormat-menghormati menjadikan kesemua perayaan yang disambut oleh pelbagai bangsa dan kaum di negara ini berjaya diraikan dengan meriah dalam suasana yang sangat harmoni. Kepelbagaian cerita tersendiri di sebalik sambutan hari raya Aidiladha pelajar antarabangsa UMPSA juga merupakan bukti bahawa warga Malaysia khususnya warga UMPSA menghargai kepelbagaian dalam masyarakat kita, menerima perbezaan agama, budaya, dan tradisi.

Selamat Hari Raya Aidiladha 1445H buat semua warga UMPSA.

Jamilah Bebe Mohamad
Jamilah Bebe Mohamad

Penulis adalah Guru Bahasa Kanan di Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). 

E-mel: jamilahbebe@umpsa.edu.my

Reports by:
Admin UMP News