Skip to main content

Isu Keselamatan di Institusi-institusi Pendidikan Islam - Episod yang Perlu Ditamatkan

Firman Allah SWT,
“Barang siapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan karena membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Dan barang siapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya.”
(Surah al-Maidah: 32).

Pengajaran yang terkandung di dalam ayat suci di atas dapat dirangkumkan bagaimana ajaran Islam memberikan penghargaan tertinggi terhadap pemeliharaan nyawa manusia. Hatta jasa memelihara suatu nyawa itu diimbuhkan kepada seolah-olah telah menyelamatkan seluruh nyawa manusia. Oleh yang demikian, dalam membincangkan ekosistem pendidikan Islam di Malaysia, tanggungjawab kita bukan sahaja memberi dan menyediakan sistem pendidikan yang sempurna, bahkan sepanjang proses tersebut turut merangkumi kewajiban kita untuk memelihara kemaslahatan menyeluruh para pelajar dan pengajar. Isu keselamatan dan kesihatan dalam sektor pendidikan berorientasikan pendidikan Islam, sama ada di bawah seliaan kerajaan atau persendirian atau swasta, bukanlah sesuatu yang boleh dipandang rendah. Ekosistem pendidikan yang diwujudkan ini perlulah selari dalam keutamaan bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semua pihak, khususnya para pelajar dan pengajar di institusi-institusi berkenaan terpelihara. 

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, negara telah menyaksikan pelbagai episod menyayat hati yang melibatkan isu-isu keselamatan di Institusi-institusi Pengajian Islam. Peristiwa kebakaran Sekolah Agama Rakyat Taufiqiah al-Khairiah al-Halimiah (Pondok Pak Ya) pada 1989 yang mengorbankan 27 orang anak-anak syahid masih lagi kekal dalam ingatan seluruh rakyat Malaysia. Ini disusuli pula dengan terkorbannya 23 anak-anak syahid dalam kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyyah, Keramat, Kuala Lumpur pada 2017 yang mengejutkan kembali negara. Belum reda dengan tragedi ini, pada Julai 2020, sekali lagi negara dikejutkan pula dengan kebakaran yang memusnahkan hampir 85 peratus bangunan asrama lelaki di Sekolah Menengah Agama al-Falah, Batu Talam, Raub. Walaupun kebakaran di sekolah yang berusia 54 tahun ini tidak melibatkan kehilangan nyawa tetapi kejadian tersebut cukup membimbangkan semua pihak. Episod demi episod yang berlaku ini membayangkan bahawa sistem keselamatan di Institusi-institusi Pendidikan Islam khususnya institusi yang diselenggarakan secara persendirian atau pertubuhan tertentu berada dalam keadaan yang memerlukan penambahbaikan yang drastik dan menyeluruh. Islam telah menggariskan pentingnya ilmu dalam mendekatkan diri dengan Allah SWT dan mencari keredaan-Nya. Isu keselamatan bukan merupakan isu kedua dalam menyediakan pendidikan kepada anak-anak tersebut. Justeru, para pentadbir sekolah-sekolah, khususnya yang berkonsepkan asrama perlu cakna terhadap isu-isu keselamatan dan kesihatan kerana ia juga suatu tuntutan yang tidak boleh dipandang sebelah mata sahaja.

Tuntutan melaksanakan pengurusan keselamatan bukan sahaja tuntutan kemanusiaan tetapi berkait rapat dengan syariah Islam. Islam juga sangat meraikan dapatan keilmuan dan pendapat yang selari dengan kehendak syariat. Oleh itu, kaedah pengurusan keselamatan tersebut bergantung kepada kesesuaian dan keadaan semasa (taghayur al-zaman). Walau bagaimanapun, ia perlu dipandu dan disuntik dengan prinsip-prinsip Islam. Umumnya, sistem pengurusan keselamatan yang diamalkan oleh kebanyakan organisasi adalah lebih bersifat eksklusif dan dalam sesetengah keadaan, ia bukan menjadi isu yang diutamakan. Kekangan seperti kurangnya pengetahuan, keadaan kewangan dan faktor-faktor dalaman yang pelbagai masih lagi menghantui institusi-institusi pendidikan Islam. Kekangan ini adalah lebih ketara dihadapi oleh institusi-institusi persendirian atau swasta. Kepentingan mewujudkan sistem pengurusan keselamatan secara inklusif adalah sesuatu yang perlu dipertimbangkan. 

 

Isu Keselamatan di Institusi-institusi Pendidikan Islam - Episod yang Perlu Ditamatkan

Rajah 1: Pendekatan inklusif pengurusan keselamatan di Institusi-institusi Pendidikan Islam.

Pendekatan al-ta’awun (kerjasama) dan jaringan kerjasama di antara institusi-institusi pengajian Islam, pemegang taruh dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) juga merupakan kaedah yang diyakini boleh membantu dalam memastikan persekitaran selamat dapat diberikan (Rajah 1). Konsep ini juga dapat menggarap idea dan kaedah terbaik secara bantu-membantu serta berupaya memberikan manfaat dalam memastikan keselamatan para pelajar dan pengajar. Pelaksanaan sistem pengurusan keselamatan bukan sahaja merupakan tuntutan sejagat bahkan juga bertepatan dengan maqasid al-shari’ah yang memberi penekanan kepada pengurusan yang bermatlamatkan ‘mendatangkan kebaikan dan menolak kemudaratan (Jalb al-masalih wa dar‘al-mafasid)’. Syariat Islam merupakan suatu sistem yang komprehensif dan alami. Pemahaman terhadap maqasid al-shariah dan mengaplikasikannya dalam tuntutan untuk melaksanakan sistem pengurusan keselamatan secara tidak langsung dapat menjadi medan dakwah. Ia menjadi tanggungjawab kita untuk menyepadukan sistem ini dengan nilai-nilai Islam yang memayungi. Mungkin, pada pendapat penulis, pelaksanaan di institusi-institusi pendidikan Islam dapat membuka satu medan dakwah baru agar masyarakat dapat melihat Islam itu sebagai cara hidup dan bukan hanya pada ritual individu semata-mata. Islam itu juga perlu dicerminkan oleh penganutnya dari sudut yang lebih terbuka dan luas khususnya dalam mendepani isu-isu keselamatan dalam ekosistem pendidikan Islam. Marilah kita bergerak dengan segera dan berganding bahu bagi memastikan semua lapisan masyarakat faham akan kepentingan untuk melaksanakan pengurusan keselamatan secara serius bagi memelihara nyawa anak-anak yang menjadi aset negara.

Quickness is the essence of the war. – Sun Tzu

Quickness is the essence of the war – Sun Tzu

Program sinergi di Madrasah Tahfiz Anwarul Tanzil al-Othmaniah, Bukit Goh, Kuantan bersama pensyarah, pelajar, Pejabat Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHMO), OSH Club UMP dan Malaysian Society for Occupational Safety and Health (NGO- MSOSH) Cawangan Pantai Timur.

 Dr. Azizan Ramli

Penulis ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang (UMP). 

Oleh: Ts. Dr. Azizan Ramli 
e-mel: azizanramli@ump.edu.my

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News