Kemerdekaan: Kunci Membina Keteguhan Keluarga Malaysia
Bertemakan ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’, Malaysia akan menyambut hari merdeka kali ke-65 pada tahun ini. Tema kemerdekaan kali ini sekali lagi memberi penekanan kepada kepentingan perpaduan secara kolektif dalam membina keteguhan keluarga Malaysia yang sejahtera.
Oleh itu, perpaduan adalah asas bagi kita mempertahankan kemerdekaan yang kita kecapi selama ini. Cabaran kepada usaha mengekalkan perpaduan pula adalah kepelbagaian kaum, budaya dan agama yang membentuk keluarga Malaysia. Kepelbagaian ini boleh menjadi punca tercetusnya perpecahan dan menggugat keamanan.
Semenjak tahun 1957, kita telah menikmati kemerdekaan yang membebaskan negara daripada cengkaman penjajah. Bagi generasi selepas merdeka, pengalaman perit di bawah kuasa penjajah sukar dirasai. Namun, kemunculan filem Mat Kilau mampu membawa kita merasai dan mengerti makna kehidupan dalam taklukan penjajah. Sekiranya kita mengutip pengajaran yang cuba disampaikan kembali melalui filem tersebut, jelas sekali nilai dan pemikiran penjajah adalah untuk menakluki negara demi kepentingan ekonomi mereka. Manakala penjajahan minda dan jiwa pula adalah bertujuan untuk melemahkan dan menjadikan kita berjiwa penakut dengan dakwaan mereka sebagai bangsa yang lebih maju dan kuat. Kita ditakutkan dengan kecanggihan senjata perang dan ancaman bunuh tanpa berperikemanusiaan.
Penyerahan diri dan kepatuhan kepada kehendak mereka adalah satu paksaan. Maka, dijajah bermakna kita hilang hak dan kebebasan untuk membuat pilihan. Apabila kepatuhan itu bersifat paksaan sudah tentu ia adalah satu kezaliman yang pasti menggugat kesejahteraan. Inilah jiwa dan minda penjajah. Perjuangan yang tumbuh di atas keangkuhan demi kepentingan diri dan bangsa sendiri. Kemajuan senjata perang menjadi alat untuk mengancam dan menunjukkan kekuatan ke atas bangsa yang lain.
Pada hari ini, semangat perjuangan berjiwa dan dengan minda penjajah masih menyelinap secara halus dalam kalangan keluarga Malaysia. Perlumbaan untuk menjadi lebih popular, lebih kaya dan hebat atau ketaasuban melampau kepada personaliti tertentu semakin menjadi-jadi dengan kemajuan media sosial hari ini. Telah wujud keadaan masyarakat lebih mementingkan pencapaian pada ukuran fizikal daripada nilai keilmuan. Akhirnya, lemah pemikiran dan pertimbangan dalam membuat pilihan di antara kebenaran dengan kepalsuan sehingga budaya menipu menjadi satu kebiasaan. Seandainya dibiarkan berterusan akan rosaklah keluarga Malaysia. Oleh itu, perjuangan memerdekakan generasi kini daripada berjiwa dan dengan minda penjajah adalah satu keperluan.
Di manakah kunci kemerdekaan jiwa daripada berjiwa dengan minda penjajah? Menyingkap kembali pengajaran yang dikutip daripada filem arahan pengarah muda Syamsul Yusuf, jelas sekali kunci kemerdekaan jiwa pahlawan Mat Kilau terungkap di sebalik dialog berikut:
“Aku hamba pada Yang Esa, sujud hanya pada yang Satu.”
Maka, kemerdekaan jiwa dan minda terbina atas fitrah manusia itu sendiri iaitu kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Di saat ungkapan ini diucapkan oleh pahlawan Mat Kilau, terbuktilah bahawa kemerdekaan jiwa yang dimiliki telah melahirkan keberanian luar biasa walaupun pada saat itu negara masih dijajah. Kunci kemerdekaan jiwa inilah yang perlu diperteguhkan demi mempertahankan kedaulatan dan kesejahteraan negara.
Kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan membebaskan jiwa manusia daripada ketakutan terhadap ancaman dunia fizikal. Penyerahan jiwa seorang hamba kepada Pencipta adalah satu konsep penyerahan spiritual yang cukup berbeza. Penyerahan ini adalah kekuatan dalaman yang tumbuh bersandarkan kesedaran diri sebagai hamba kepada Tuhan yang Maha Pengasih lagi Penyayang. Oleh itu, Tuhan tidak mungkin menzalimi hamba yang menyerah diri kepada-Nya. Di sebalik kekuasaan Tuhan yang bersifat infinitif, Dia memberi kita kebebasan untuk membuat pilihan agar penyerahan dan kepatuhan lahir daripada kesedaran dan keikhlasan bukan paksaan.
Kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan juga mampu mengeluarkan manusia daripada kepompong keangkuhan diri kerana sedar bahawa diri dan seluruh kejadian alam adalah milik Tuhan. Kasih sayang Tuhan adalah rahsia sebab di sebalik segala kejadian. Oleh itu, terbukalah kepompong keangkuhan dan tumbuhlah jiwa kasih sayang dan rasa cinta kepada kedamaian yang telah disemai oleh Tuhan dalam jiwa setiap insan. Perbezaan bukan lagi punca pertikaian tetapi satu kelebihan dan perlu dimanfaatkan untuk hidup saling lengkap-melengkapi. Maka, terciptalah keunikan keluarga Malaysia yang perlu diperteguhkan sepanjang zaman.
Kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan juga adalah tenaga dalaman yang mampu menumbuhkan keberanian luar biasa. Perjuangan tidak lagi bersandarkan kepentingan diri, individu atau bangsa tertentu tetapi demi sebuah keadilan. Perjuangan di atas prinsip ini juga membebaskan jiwa daripada ketakutan kehilangan harta benda malah nyawa sekalipun. Sekali lagi dialog dalam filem pahlawan Mat Kilau mengingatkan kita:
“Bila ditakutkan mati, kezaliman di depan mata dihalalkan”
Keberanian inilah yang sangat ditakuti dan sukar difahami oleh mereka berjiwa penjajah.
Jiwa merdeka yang tumbuh berlandaskan ideologi prinsip kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan lebih mampu memimpin perubahan akhlak dan tingkah laku manusia. Kepatuhan tanpa dipaksa melahirkan keikhlasan dan kejujuran. Keikhlasan dan kejujuran inilah yang akan mengukuhkan kepercayaan dan perpaduan keluarga Malaysia. Maka, kesepaduan di antara pembangunan kemerdekaan jiwa, minda dengan tingkah laku beradab akan membuahkan kedamaian dan memperteguh kesejahteraan. Inilah pesanan yang dititipkan oleh Mantan Perdana Menteri Malaysia Pertama, Tunku Abdul Rahman:
“Negeri kita ini unik. Tidak ada ‘isme’ yang boleh diimport dari luar negeri. Kita kenalah tadbirkan negeri ini secara sendiri. Jika kita cuba hendak tiru mana-mana ‘isme’ dari negeri luar, maka sudah tentu tidak dapat diterima rakyat negeri ini.”
Inilah kunci kekuatan keluarga Malaysia yang perlu kita hayati iaitu kekuatan dan kesatuan bersifat dalaman dibina di atas ideologi kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan sebagaimana termaktub di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Usaha mendidik dan melahirkan insan berjiwa dan dengan minda merdeka mengikut acuan negara kita adalah satu perjuangan demi memelihara keteguhan Keluarga Malaysia tercinta. Selamat menyambut Hari Merdeka.
Dr. Rohana Hamzah. Penulis adalah Ketua Program (Jabatan Sains Sosial) Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang (UMP).
e-mel: rohanahamzah@ump.edu.my
- 403 views