Menjana kepercayaan dalam menangani rasuah dan memacu transformasi digital
Malaysia adalah sebuah negara yang sentiasa berusaha meningkatkan integriti dan tadbir urus kerajaan yang baik setelah dicalarkan dengan skandal rasuah 1MDB telah bergerak ke hadapan dalam usaha menangani rasuah. Dengan komitmen yang tinggi bagi menangani rasuah untuk membina integriti sebagai asas, inisiatif utama yang perlu diambil adalah melalui reformasi institusi yang mana ianya perlu dilaksanakan dengan segera ke atas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Tindakan ini boleh memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa penegakan undang-undang dan penyiasatan rasuah berlaku secara telus dan tanpa pengaruh.
Komitmen tinggi Kerajaan Madani dalam menangani rasuah adalah teras kepada kejayaan usaha ini. Keberanian untuk melaksanakan perubahan dan memastikan keadilan dalam sistem perundangan adalah asas kepada pembentukan integriti. Pentingnya pelaksanaan reformasi institusi adalah untuk memberikan keyakinan kepada rakyat mengenai komitmen kerajaan dalam menangani rasuah secara aktif dan berkesan. Jika ia segera dilaksanakan, reformasi ini akan mengukuhkan lagi peranan SPRM sebagai penguatkuasaan undang-undang yang bebas dan bertanggungjawab.
Peranan aktif masyarakat
Kesedaran masyarakat terhadap bahaya rasuah menjadi tumpuan utama kerajaan dalam menangani isu ini. Melalui program pendidikan dan kesedaran yang diperkenalkan dan dilaksanakan, ia diharap dapat mewujudkan masyarakat yang tidak hanya menjadi penonton, tetapi juga pelaku dalam menyokong usaha-usaha pencegahan. Keterlibatan aktif mereka adalah kunci kejayaan dalam menangani rasuah. Pendedahan secara terang dan proses pengadilan yang telus adalah senjata dalam pencegahan rasuah. Media juga memainkan peranan penting dalam membuka ruang untuk penilaian masyarakat dan memberikan tekanan terhadap pelaksanaan proses perundangan dengan jujur. Manakala transformasi digital menjadi landasan yang seiring dengan usaha menangani isu ini.
Kesedaran bahawa pembaharuan dalam aspek teknologi dan digitalisasi adalah penting untuk memperkasa dan membudayakan amalan integriti dalam dunia digital hari ini. Peningkatan kecekapan dan ketelusan dalam pengurusan maklumat termasuk penguatkuasaan undang-undang digital, adalah aspek yang tidak dapat diabaikan. Masyarakat perlu diberi kemudahan untuk mengakses maklumat dengan mudah melalui pelbagai platform digital. Sistem pelaporan rasuah dalam talian, aplikasi mudah alih dan laman web yang menyediakan maklumat berkaitan dengan pencegahan rasuah adalah langkah-langkah yang boleh digunakan untuk memastikan masyarakat terlibat secara langsung dalam usaha pencegahan rasuah. Secara keseluruhannya, peranan aktif masyarakat, media yang telus dan transformasi digital adalah unsur-unsur yang saling berkait dalam usaha menangani rasuah. Kesedaran, keterlibatan dan akses kepada maklumat yang mudah adalah kunci untuk membentuk masyarakat yang peka terhadap bahaya rasuah dan memastikan integriti menjadi teras dalam struktur sosial dan institusi negara.
Transformasi digital bukan sahaja untuk golongan profesional tetapi juga merangkumi masyarakat secara keseluruhannya. Kecekapan digital, akses Internet yang meluas dan pendedahan kepada teknologi digital adalah untuk memastikan kesemua lapisan masyarakat dapat menyertai pembangunan ekonomi digital. Langkah-langkah seperti transparensi dan akauntabiliti dalam pengurusan kewangan dan tadbir urus negara perlu dititikberatkan melalui pelaksanaan sistem e-perolehan dan pelaporan kewangan dalam talian. Ini bagi membuktikan komitmen kerajaan dalam mengurangkan peluang penyelewengan dan memastikan penggunaan dana awam yang bertanggungjawab.
Dengan pelancaran Pangkalan Data Utama (PADU) pada 2 Januari 2024, Malaysia kini memasuki era transformasi digital yang mengintegrasikan data daripada pelbagai agensi kerajaan dan membina maklumat lengkap tentang setiap isi rumah rakyat Malaysia. Langkah ini bukan hanya memacu keberkesanan tetapi juga memastikan bantuan kerajaan disalurkan dengan lebih sasaran dan adil. Malaysia mengiktiraf keutamaan transformasi digital dalam melonjakkan ekonomi. Transformasi ini mempercepatkan proses pengambilan keputusan, meningkatkan kebolehcapaian maklumat dan menyediakan perkhidmatan awam yang lebih cekap dan responsif. Walau bagaimanapun, Kerajaan Madani perlu membuat tindakan segera bagi membantu golongan luar bandar dan pendalaman yang tidak celik digital dibantu melalui agensi yang telah dipertanggungjawabkan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau membantu menggerakkan Badan Bukan Kerajaan (NGO) agar proses mendapatkan maklumat dapat diperoleh secara menyeluruh dan tidak tercicir.
Kaizen dalam menangani rasuah
Rasuah telah menjadi isu yang memerlukan penyelesaian serius dalam masyarakat bukan sahaja di Malaysia namun hampir seluruh negara di dunia menghadapi masalah ini. Malah, di sesetengah negara kegiatan rasuah sudah dianggap seperti perkara biasa. Dengan menggunakan pendekatan kaizen, rasuah boleh ditangani melalui pembentukan budaya bebas rasuah. Kaizen adalah satu konsep atau prinsip yang berasal daripada perkataan Jepun iaitu kai dan zen yang bermaksud ‘perubahan baik’, adalah pendekatan yang menitikberatkan perbaikan berterusan dalam semua aspek kehidupan termasuklah dalam konteks menangani rasuah dalam perniagaan dan pentadbiran negara. Kaedah ini boleh membentuk kesedaran tentang pentingnya integriti dalam setiap tindakan.
Prinsip kaizen melibatkan seluruh lapisan masyarakat iaitu bermula daripada pihak berkuasa sehinggalah rakyat biasa, dalam usaha memperbaiki proses dan sistem. Kaizen tidak terlibat dalam perubahan besar-besaran tetapi menumpukan kepada perbaikan kecil secara berterusan. Kaizen mencorakkan budaya organisasi yang menghormati dan menghargai sumbangan setiap individu serta mengenal pasti dan menghapuskan aktiviti yang tidak memberikan nilai tambah. Dalam konteks transformasi digital, prinsip kaizen mengiktiraf keutamaan transformasi dalam memacu pertumbuhan ekonomi bagi mempercepatkan proses pengambilan keputusan, meningkatkan kebolehcapaian maklumat dan menyediakan perkhidmatan awam yang lebih cekap dan responsif. Manakala bagi isu rasuah, kaizen boleh mendorong kepada transparensi dengan mengekalkan aliran maklumat yang jelas, lebih mudah untuk mendedahkan dan melaporkan aktiviti yang mencurigakan.
Kaizen sangat membantu dalam membina budaya organisasi yang mengutamakan integriti dan kejujuran. Pemimpin dan kakitangan yang terlibat akan melihat rasuah sebagai ganjaran rendah dalam budaya kaizen ini. Budaya kaizen juga dapat diterapkan dalam pembangunan sistem aduan yang lebih efektif dan pemantauan proses untuk memastikan ketaatan kepada etika perniagaan dan amalan pentadbiran yang bersih. Dengan melibatkan semua lapisan masyarakat, Malaysia boleh bergerak ke hadapan dengan tekad dalam menangani rasuah dan mencapai transformasi positif menuju sebuah negara yang integriti. Kaizen bukan sekadar satu kaedah, tetapi satu perjalanan berterusan ke arah pembaharuan dan kecemerlangan.
Melalui usaha berterusan dan komitmen dalam menangani rasuah serta memacu transformasi digital, Kerajaan Madani boleh membina kepercayaan dalam kalangan rakyat dan pelabur. Kejayaan Malaysia membuktikan bahawa negara ini bukan sahaja mampu menangani cabaran dalam era moden tetapi juga memanfaatkan peluang dengan integriti dan tekad yang tinggi. Dengan pemimpin yang berwawasan, rakyat yang prihatin dan usaha yang berterusan, Malaysia boleh membuktikan bahawa ia adalah sebuah negara yang mampu menjana kepercayaan dan kemajuan, mengukuhkan kedudukannya di persada antarabangsa. Dalam era yang penuh cabaran, Malaysia boleh melangkah ke hadapan dan menjadi contoh bagi negara-negara lain.
Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Industri (FPI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
E-mel: reeduan@umpsa.edu.my
- 1155 views