Skip to main content

Menyampaikan Ilmu Kepada Masyarakat: Tugas Istimewa Pensyarah

Umum mengetahui bahawa salah satu dari aspek penting dalam tugas dan tanggungjawab sebagai seorang pensyarah ialah untuk menjalankan penyelidikan. Aktiviti penyelidikan amat penting dalam bidang pengajian tinggi kerana ia mampu menambah baik ilmu pengetahuan dalam sesuatu bidang. Penyelidikan yang dijalankan oleh pensyarah boleh terdiri daripada penyelidikan berbentuk fundamental dan juga aplikasi. Untuk menjalankan penyelidikan yang efektif, para pensyarah hendaklah menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak seperti rakan pensyarah di institusi pengajian tinggi (IPT) yang lain, agensi-agensi kerajaan, badan-badan berkanun dan tidak ketinggalan juga kerjasama dengan pihak industri terutamanya dengan syarikat tempatan.

Hasil kerjasama penyelidikan oleh para pensyarah biasanya akan diterbitkan di dalam jurnal-jurnal penyelidikan. Sebelum sesuatu artikel boleh diterbitkan, kebiasannya ia akan melalui proses editorial sekurang-kurangnya sebanyak dua kali. Artikel penyelidikan akan melalui saringan pihak editor terlebih untuk menentukan kesesuaian artikel tersebut untuk diterbitkan di dalam sesebuah jurnal. Setelah melalui proses ini, artikel tersebut akan disaring pula oleh pensyarah-pensyarah lain di dalam bidang tersebut. Ini bertujuan untuk mempastikan bahawa artikel penyelidikan tersebut wajar diterbitkan dengan tajuk, isi dan data yang benar dan tepat. 

Proses editorial yang ketat ini menyebabkan sesetengah pensyarah merasa terbeban lantas mengambil jalan mudah dengan cuba menerbitkan artikel penyelidikan mereka di dalam jurnal-jurnal pemangsa. Jurnal-jurnal pemangsa atau predatory journals merupakan jurnal-jurnal yang diwujudkan oleh sesetengah syarikat dengan tujuan untuk menerbitkan artikel penyelidikan tanpa melalui proses editorial yang ketat. Tambahan pula, jurnal-jurnal seperti ini biasanya mengenakan bayaran yang tinggi untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda berbanding dengan jurnal-jurnal yang lain. 

Para pensyarah seharusnya berwaspada dari menerbitkan artikel penyelidikan mereka di dalam jurnal-jurnal pemangsa. Walau bagaimanapun, mereka juga seharusnya tidak mengambil jalan mudah dengan hanya menerbitkan prosiding-prosiding dari seminar yang mereka hadiri. Para pensyarah seharusnya melakukan perancangan strategik untuk berusaha menerbitkan artikel-artikel penyelidikan mereka di jurnal berwasit Web of Science. Ini kerana jurnal-jurnal berwasit Web of Science biasanya akan dibaca dan diteliti oleh rakan-rakan pensyarah di seluruh dunia termasuk di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan lain-lain. 

Menerbitkan artikel penyelidikan di dalam jurnal berwasit Web of Science akan membolehkan para pensyarah dikenali dalam bidang mereka. Ini akan menyebabkan para pensyarah lain di dalam dan luar negara akan memetik artikel penyelidikan mereka dan kadar petikan ini boleh diukur melalui Hirsh index atau singkatannya H-index. H-index didefinisikan sebagai metrik untuk mengukur produktiviti dan kesan petikan sesuatu artikel penyelidikan atau seseorang pensyarah. 

Di samping itu, suka diingatkan bahawa para pensyarah juga mempunyai tugas moral yang agak penting. Sebagai seorang yang pakar di dalam sesuatu bidang, para pensyarah mesti dilatih dan diberi galakan dan insentif yang sesuai untuk menggalakkan mereka menulis mengenai hasil penyelidikan mereka di media massa. Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada tahun 2017 menganggarkan terdapat lebih 32,000 pensyarah di universiti awam (UA) di seluruh negara. Ini tidak termasuk lagi dengan bilangan pensyarah di universiti swasta dan kolej-kolej pengajian tinggi di seluruh negara. Cuba kita bayangkan jika kesemua setiap pensyarah dapat menghasilkan karya kreatif di media massa, pasti kita akan dapat menghasilkan lebih 32,000 artikel berbentuk ilmiah di media massa. 

Sebagai seorang pensyarah, sememangnya menjadi tanggungjawab kita untuk melakukan penyelidikan yang bertujuan untuk menambah ilmu pengetahuan, menyelesaikan masalah di industri dan lain-lain lagi. Dengan latihan dan galakan yang tepat, marilah bersama-sama kita berganding bahu untuk menjayakan usaha murni ini. Masih banyak lagi yang mampu kita sumbangkan kepada masyarakat; hasil dari penyelidikan yang kita jalankan. 

Menyampaikan Ilmu Kepada Masyarakat: Tugas Istimewa Pensyarah

Penulis ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang (UMP).
Disediakan Oleh: Dr. Ahmad Mahfuz Gazali
e-mel: mahfuz@ump.edu.my

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News