Penerimaan Pelajar UMP terhadap Pembelajaran Subjek Pengajian Malaysia: Satu Kajian Ringkas
Usaha kerajaan bagi melahirkan pelajar yang berminda kelas pertama merupakan suatu usaha yang berterusan dan ia tidak mustahil untuk dilakukan dan dilaksanakan. Falsafah Pendidikan Kebangsaan menyatakan:
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.
Ini bermakna, generasi yang ingin dilahirkan adalah generasi yang seimbang bukan sahaja dari segi rohani dan jasmani malahan seimbang dari segi penerimaan ilmu. Dalam konteks ilmu Kejuruteraan, pelajar tidak sahaja mampu menguasai ilmu Kejuruteraan malahan mereka juga mampu menguasai ilmu-ilmu di luar bidang Kejuruteraan atau dengan kata lain ilmu kemanusiaan. Jika universiti mampu melahirkan para jurutera yang berilmu Kejuruteraan dan pada masa yang sama mampu menguasai ilmu kemanusiaan ini merupakan satu kejayaan yang luar biasa. Hasilnya kelak, ia akan memberi nilai kepada sesuatu ciptaan teknologi iaitu wujudnya teknologi yang mesra alam, mesra pengguna dan ada nilai kemanusiaan. Inilah yang kita perlukan dalam era globalisasi ini di mana nilai-nilai kemanusiaan semakin nipis ditelan zaman.
Di Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah mengambil tugas ini bagi membantu pihak fakulti untuk melahirkan jurutera yang mempunyai kemahiran kepimpinan, kerja berkumpulan, pembelajaran sepanjang hayat, kemahiran berfikir dan menyelesaikan masalah serta pengetahuan Kenegaraan atau Pengajian Malaysia.
Baru-baru ini satu tinjauan ringkas bersama pelajar tahun 2 dan 3 semester 1 2021/2022 telah diadakan bagi melihat sejauh manakah penerimaan pelajar Kejuruteraan terhadap salah satu subjek di PSK iaitu subjek Pengajian Malaysia. Subjek Pengajian Malaysia merupakan subjek elektif di PSK dan ia merupakan subjek wajib bagi pelajar antarabangsa dan subjek pilihan bagi pelajar tempatan. Berikut dipaparkan pendapat pelajar tentang subjek tersebut.
“Dengan mempelajari Pengajian Malaysia, saya dapat mengingat kembali semua peristiwa sejarah yang telah saya lupakan sejak kali terakhir saya belajar Sejarah di sekolah menengah. Pengajian Malaysia adalah mata pelajaran yang sangat menarik. Saya dapat mempelajari tentang sistem kerajaan, dasar luar dan juga isu-isu politik yang saya tidak tahu sebelum ini”.
"Mereka yang tidak mempelajari sejarah pasti akan mengulanginya." Kata-kata itu mula-mula diucapkan oleh George Santayana, dan ia masih sangat relevan hari ini kerana kebenarannya. Sejarah memberi kita peluang untuk belajar daripada kesilapan lalu. Ia membantu kita memahami banyak sebab kenapa dan mengapa orang berkelakuan seperti yang mereka lakukan sekarang ini. Dengan mempelajari Pengajian Malaysia, ia membantu saya menjadi lebih belas kasihan sebagai manusia dan tidak berat sebelah apabila membuat keputusan”.
“Apa yang saya dapat daripada mengikuti kursus ini ialah saya dapat menambah pengetahuan saya dalam mengenali Malaysia dan mengetahui bagaimana Malaysia ditadbir. Selain itu, saya juga dapat mengetahui bagaimana pembentukan bangsa Malaysia dan sejarah Malaysia dahulu. Ia juga mengajar saya untuk menjadi warganegara Malaysia yang bertanggungjawab dengan menjaga nama baik negara”.
“Dengan mengambil subjek ini, saya dapat meningkatkan pengetahuan saya tentang sejarah Malaysia, bangsa negara kita, budaya lain dan sebagainya. Subjek ini membantu warga asing mengetahui lebih lanjut tentang Malaysia. Subjek ini sangat bagus kerana ia menunjukkan lebih banyak info tentang Malaysia dari semua aspek bermula dari sejarah, masyarkat, sistem dan bentuk pentadbiran negara, perlembagaan dan undang-undang negara, dasar-dasar kerajaan, hubungan luar negara serta isu-isu semasa yang berlaku dalam negara dan negara luar”.
“Dengan mengikuti kursus ini, saya boleh menimba lebih banyak pengetahuan tentang Sejarah menarik di Malaysia. Pensyarah juga menghiburkan saya dan sentiasa berinteraksi antara satu sama lain. Saya berkongsi pengetahuan tentang sejarah seperti bangsa, agama, tempat bersejarah, budaya dan banyak lagi yang bermanfaat untuk menjadi rakyat Malaysia”.
“Melalui kursus ini, saya mula belajar untuk menghayati Sejarah pembentukan negara tercinta, Perlembagaan Malaysia, peraturan dan undang-undang kerajaan, rakyat dan budaya serta apa yang berlaku dalam negara. Selain itu, subjek ini adalah sesuatu yang menarik, santai dan menyeronokkan untuk dipelajari kerana ia mengembalikan ingatan semasa mempelajari subjek Sejarah di sekolah”.
“Sepanjang kursus ini, saya telah banyak belajar daripada kursus ini. Saya perlu belajar lebih lanjut tentang apa itu menjadi rakyat Malaysia yang sebenar dan lebih berbangga dengan negara tercinta. Kursus ini telah membantu saya memahami dengan lebih baik sistem negara dalam semua aspek sama ada pentadbiran, undang-undang, atau isu-isu kontemporari yang saya tidak fahami sebelum ini. Secara keseluruhan, saya gembira kerana saya memilih subjek ini sebagai subjek elektif saya dan pasti akan mengesyorkannya kepada rakan sebaya saya”.
“Dengan mempelajari kursus ini, saya berasa kagum dan bersyukur kerana tinggal di Malaysia. Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian budaya, bangsa, agama dan makanan. Mempelajari Sejarah Malaysia menjadikan kita lebih sedar tentang negara luar dan tidak mengulangi kesilapan yang sama. Malaysia adalah sebuah negara demokrasi yang mana rakyatnya memilih pemimpin melalui pilihan raya. Malaysia merupakan salah satu negara berbilang kaum yang yang terdiri daripada tiga kaum utama Melayu, Cina dan India”.
“Dengan mengikuti kursus ini, saya telah mempelajari lebih lanjut tentang politik di Malaysia, isu-isu yang dihadapi oleh Malaysia dan mengimbas kembali pencapaian Malaysia. Kita sebagai warganegara Malaysia mesti tahu mengenai Sejarah Malaysia”.
“Dengan mengikuti kursus ini, saya dapat mempelajari lebih mendalam tentang Malaysia. Sejarah, dasar dan isu negara di Malaysia pada masa kini dan banyak lagi. Saya bangga menjadi rakyat Malaysia”.
“Saya belajar lebih lanjut tentang sejarah, institusi dan budaya Malaysia. Selain itu juga, saya turut mempelajari tentang Tanah Melayu seperti apa yang berlaku sebelum kita merdeka. Akhir sekali, kursus ini mengajar kita untuk lebih mencintai negara kita, Malaysia”.
“Kursus ini membantu saya mengetahui lebih lanjut tentang sejarah Malaysia. Saya juga belajar mengenai institusi, politik, peraturan dan budaya. Seronok dan menarik untuk mengadakan masa perbincangan selepas setiap kelas jadi saya telah mempelajari lebih lanjut tentang Malaysia daripada perbincangan dan pendapat pelajar”.
“Saya belajar banyak tentang sejarah Malaysia dan kursus ini benar-benar menyegarkan kembali ingatan kami tentang Sejarah Malaysia. Saya memperoleh perkara baharu seperti politik dan peraturan di Malaysia”.
“Apa yang saya dapat melalui subjek ini ialah saya belajar tentang budaya dan Sejarah Malaysia, sangat bagus untuk mengetahui sejarah negara kita sendiri, kalau bukan kita, siapa lagi yang harus mengingati Sejarah Malaysia. Ingatlah "mereka yang lupa sejarahnya akan dihukum untuk mengulanginya".
Secara umumnya, daripada apa yang dinyatakan oleh para pelajar tersebut ternyata kursus sebegini memberikan mereka kesedaran tentang sejarah negara mereka, sistem pentabiran negara, budaya, masyarakat, undang-undang serta isu-isu semasa. Ini secara tidak langsung telah menanamkan bibit-bibit patriotisme dalam kalangan UMP. Ini dapat dibuktikan dengan kata-kata mereka iaitu kursus ini mengajar kita untuk lebih mencintai negara kita, Malaysia, “Saya bangga menjadi rakyat Malaysia dan ia mengajar saya untuk menjadi warganegara Malaysia yang bertanggungjawab dengan menjaga nama baik negara”.
Penulis ialah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang (UMP).
e-mel: hasnah@ump.edu.my