Sistem Pangkalan Data Ahli Qariah Masjid: Nadi Penggerak Pentadbiran Masjid
Umat Islam pada zaman ini kini mencecah sehingga dua juta penduduk dunia dan tersebar ke sekitar 200 negara. Menurut laporan Mastercard dan Crescent Rating, pada tahun ini sahaja, 63.5 peratus daripada 32.4 juta populasi rakyat Malaysia adalah beragama Islam.
Meskipun jumlah adalah ramai, perselisihan faham dan pendapat sering berlaku hingga memecah-belahkan umat Islam yang banyak dibuktikan dengan peristiwa sejarah Perang Sifin dan Perang Jamal. Malah, hadis Rasulullah SAW telah menerangkan secara terperinci tentang keadaan umat Islam pada akhir zaman yang tidak mendatangkan manfaat, seakan buih di lautan kerana terlalu sibuk mencintai dunia sehingga takut kepada kematian.
Maka, masjid perlu pantas mengambil peranan dalam penyatuan ummah ini. Dengan mengambil ibrah daripada kisah Rasulullah SAW sewaktu berhijrah, perkara yang pertama yang dibina Baginda adalah Masjid Quba dan menjadikan Masjid Nabawi Madinah sebagai nadi penggerak pentadbiran dan pemerintahan negara Islam ketika itu. Perpaduan yang terhasil dalam kalangan Bani Aus dan Bani Khazraj di Madinah menjadi contoh sejarah terbaik kerana pendamaian oleh kedua-dua kabilah ini selepas datangnya Islam. Maka, daripada sudut pandang Rasulullah SAW, masjid boleh dijadikan sebagai tempat untuk berkumpul dan menyatukan umat Islam melalui dasar agama dan bukan melalui semangat perkauman yang sangat menebal ketika itu.
Dengan mendepani zaman teknologi yang sangat pesat, masjid perlu seiring ke hadapan dalam mendekati hati masyarakat. Satu langkah yang perlu dilaksanakan adalah dengan membangunkan pangkalan data masjid. Pengumpulan data daripada ahli qariah membolehkan kebajikan dan kesejahteraan ahli lebih terjaga dan mudah untuk didekati. Malah, dana masjid yang disumbang oleh orang ramai dapat ditunjukkan dengan telus bahawa pihak masjid telah memanfaatkan sumber kewangan masjid kepada orang ramai. Ini dapat membuang tanggapan sesetengah individu yang menganggap pihak pengurusan masjid menyimpan sumbangan orang ramai untuk dibangga-banggakan. Oleh yang demikian, aplikasi perlu dibangunkan agar ahli qariah mudah untuk mendapat akses dan info berkaitan program yang dijalankan di masjid.
Tambahan lagi, aplikasi itu juga boleh dinaik taraf dengan menjadikan aplikasi itu sebagai medium permohonan bantuan yang ada di masjid. Dengan program bantuan yang sering dijalankan oleh masjid, ini akan membuka mata ramai pihak untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan dengan menggunakan perantaraan masjid. Sebagai contoh, ahli yang terdiri dalam kalangan asnaf dapat mengetahui bantuan terkini yang disediakan oleh masjid seperti baucar makanan asasi, permohonan zakat, dan makanan percuma.
Oleh itu, antara data yang amat diperlukan dalam pembangunan sistem pengkalan adalah senarai anak qariah, senarai fakir miskin dan anak yatim, senarai warga emas, dan senarai ahli jawatankuasa masjid. Data-data ahli qariah boleh dikumpulkan di dalam satu sistem agar sistem pentadbiran dapat diselaraskan dengan baik oleh ahli jawatankuasa masjid.
Sistem ini akan memudahkan pelbagai urusan berkenaan dengan masjid seperti pendaftaran perkahwinan, khairat kematian, pembahagian sumbangan kepada para asnaf. Oleh itu, perpaduan dapat dipupuk dengan berlakunya konsep bantu-membantu dalam kalangan ahli qariah. Jika sistem ini dapat dijalankan dengan efisien dan telus di seluruh negara, masyarakat akan lebih mudah percaya kepada pentadbiran pengurusan masjid sekali gus membuang stigma kepada masyarakat bahawa masjid khusus dan ekslusif kepada ahli masjid.
Satu inisiatif yang boleh kita teladani adalah daripada sistem al-Qariah yang dibangunkan oleh Mechatronic Gallery khusus untuk kegunaan Jabatan Agama Islam Pulau Pinang bagi merekodkan lebih 4,000 ahli qariah. Satu contoh lain adalah Masjid Temerloh Jaya yang telah ditadbir oleh pengerusinya, Dr. Abdullah Ismail. Masjid tersebut telah dianugerahkan sebagai Anugerah Masjid Malaysia pada 2020 kerana berjaya menjadikannya sebagai tempat berkumpulnya masyarakat setempat dengan pengimarahan solat dan program kemasyarakatan. Pelan strategik yang telah dirancang selama tiga tahun telah membuahkan hasil iaitu barisan saf jemaah telah bertambah daripada dua kepada 15 saf. Maka, tidak dinafikan Sistem Qariah Masjid merupakan usaha terbaik demi memakmurkan masjid agar lebih dinamik.
Bagi masjid-masjid yang sudah membangunkan sistem pangkalan data pula, pemantauan perlu sentiasa dibuat secara berkala, dikemas kini dan dinaik taraf kerana jumlah data akan bertambah dari semasa ke semasa. Naik taraf paparan dan kekemasan juga perlu dititikberatkan untuk memastikan sistem ini selari dengan kemajuan teknologi pada waktu itu. Antara inisiatif yang boleh dibuat adalah dengan membuat kerjasama dengan Jabatan Perangkaan Malaysia untuk menambah baik pangkalan data. Selain itu, pendedahan kepada masyarakat setempat tentang pentingnya sistem pangkalan data boleh dibuat secara konsisten melalui sosial media masjid atau ketika solat Jumaat.
Kesimpulannya, keperluan membangun dan memantau pangkalan data masjid sangat diperlukan bagi memastikan setiap ahli qariah tidak dipinggirkan oleh pihak masjid. Kekuatan masjid bukan terletak pada kuantiti masjid dan seni bina tetapi kualiti pentadbiran dan pengurusan masjid yang cekap dan telus dalam melaksanakan amanah. Semoga masjid-masjid di Malaysia dilihat sebagai gelanggang terbaik untuk menyucikan jiwa, memantapkan akhlak dan nilai manusiawi serta mengeratkan lagi hubungan sesama manusia.
Penulis ialah Pegawai Hal Ehwal Islam, Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN), Universiti Malaysia Pahang (UMP).
e-mel: sallehudin@ump.edu.my
- 180 views